Tag Archives: universiti

Berganjak Dari Pemikiran Silo

DI UNIVERSITI di Malaysia, kerap kali fakulti memperjuangkan kepentingan fakultinya, jabatannya, program pengajiannya dan lebih jauh lagi mengenai mata pelajaran masing-masing. Kadangkala para pentadbir akademik menghadapi jalan buntu bagaimana harus kepentingan-kepentingan nipis itu dapat disatukan semula menjadi kepentingan besar dan bersama. Ahli akademik pula membina dunianya dan meletakkan peraturan kepada ahlinya supaya jangan keluar dari dunia itu.

Dunia itu selalunya dibina berdasarkan latihan formal purata satu setengah tahun untuk Sarjana atau purata tiga tahun setengah untuk Doktor Falsafah yang kemudian menentukan corak hidup seorang ahli akademik puluhan tahun selanjutnya. Calon ditetapkan supaya mengajar, menyelidik, menulis, memberi khidmat masyarakat dan memberi rundingan profesional dalam dunia itu sahaja. Jika dia keluar, maka akan ada tukang sibuk menyemak dan mempersoalkan kenapa ahli akademik itu bekerja di luar dunianya. Seorang yang mempunyai Doktor Falsafah mungkin akan gagal dalam temu duga atau tapisan untuk menjadi seorang Profesor Penuh Gred Khas C jika didapati dia didapati oleh panel pemilih sebagai telah tidak mengajar, menyelidik, menulis dan pelbagai lagi dalam bidang pengkhususan Doktor Falsafahnya dahulu.

Hal ini dipertahankan oleh banyak ahli akademik yang telah berkedudukan dengan mengatakan itulah tradisi ilmu. Mungkin itu benar pada kurun ke-19 tetapi ia mungkin tidak benar lagi dalam kurun ke-21 ini. Apabila diteliti amalan universiti ternama di dunia, tradisi itu mereka telah tidak dipegang lagi. Saya pernah berjumpa dan berkenalan dengan beberapa Profesor (bukan seorang!) dari universiti yang selalu disebut sebagai universiti nombor satu di dunia yang tidak memenuhi kriteria profesor universiti di Malaysia itu.

Ada yang ijazah pertamanya dalam bidang bahasa dan linguistik kemudiannya meneruskan pengajian lanjutannya dalam bidang lain dan sekarang dia menduduki Profesor Berkerusi dalam bidang Teknologi Maklumat. Yang lain pula mempunyai Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah Tulen dan sekarang menduduki Profesor Berkerusi Unggul dalam bidang Pemasaran di Fakulti Pengurusan terunggul di dunia. Seorang lagi berkelulusan dalam bidang Kejuruteraan dan sekarang menduduki Profesor Berkerusi dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia yang teori dan bukunya menjadi pakaian di seluruh dunia.

Saya menekankan perkataan Berkerusi di sini untuk membezakannya dengan amalan Gred Gaji Khas C di Malaysia. Imbuhan dan prestij Profesor Berkerusi di negara maju berbeza antara satu kerusi dengan kerusi yang lain berbanding Gred Khas C di Malaysia yang menyeragamkan Gred Gaji dan taraf Profesor dalam apa jua bidang. Untuk makluman awam, berdasarkan skim akademik ini, secara hakikinya tidak ada seorang pun Profesor Berprestij di universiti awam di Malaysia! Asalkan mereka menjadi Profesor, semua mereka jadi sama sahaja, tidak lebih tidak kurang. Yang ada, mungkin Profesor senior kerana lama pada kedudukan mata gaji Profesor atau pada Gred B dan A (Bukan pun Turus!). Jika pun ada Profesor Berkerusi dan pemegangnya Profesor tempatan, imbuhannya akan diselaraskan dengan Gred-Gred tersebut.

Apakah kaitan Profesor Berkerusi dengan isu yang hendak diketengahkan? Sekali lagi kaitannya ialah sama ada yang berprestij itu ialah dunia akademik tertutup atau dunia akademik terbuka dan merentas bidang? Di Harvard, misalnya, terdapat dua jenis Profesor, iaitu Profesor Bidang dan Profesor Universiti. Mungkin terdapat ribuan Profesor Bidang yang tidak pula diikat oleh bidang pengajian dan penyelidikan Ph.D-nya tetapi ada beberapa kerat sahaja yang dipanggil Profesor Universiti. Yang jelas Profesor Universiti lebih tinggi prestijnya daripada Profesor Bidang. Hanya calon yang telah membuktikan keunggulan merentas bidang sahaja boleh berhajat untuk diangkat ke taraf itu. Maksudnya, seorang Profesor Fiqah tidak mungkin menjadi Profesor Universiti jika dia tidak keluar dari dunia itu dengan mengungguli (pengajaran, penulisan, perkhidmatan masyarakat dan perundingan profesional). Begitu juga dunia Usuluddin, Bahasa dan sebagainya. Ringkasnya, universiti ternama memberi prestij kepada mereka yang berupaya keluar daripada penjara thesis Ph.D-nya dan merentas serta menguasai pelbagai dunia lain.

Banyak penulis, yang antaranya termasuk David De Long (1997) yang menulis untuk Center for Business Innovation, Ernst and Young, percaya bahawa banyak inisiatif baru dalam dunia ilmu pengetahuan dibantutkan oleh budaya aktivis ilmu itu sendiri Oleh itu katanya, kita mesti menukar budaya itu. Yang mungkin kelihatan aneh dalam dunia ilmu ialah biasa aktivis ilmu memperjuangkan slogan ‘kebenaran dan tidak lain dari kebenaran’ tetapi mereka jugalah yang menutup kebenaran itu dengan tembok sempadan-sempadan yang mereka cipta sendiri.

Benar bahawa kemajuan inisiatif ilmu secara dominannya ditentukan oleh sekurang-kurangnya tiga faktor iaitu: (i) proses kerja dan aktiviti yang memanfaatkan ilmu pengetahuan itu sendiri (ii) Prasarana, umpamanya teknologi, yang menyokong perolehan ilmu, pemindahan ilmu dan penggunaan ilmu (iii) norma tingkah laku dan tabiat pekerja-pekerja ilmu – yang selalu disebut sebagai budaya organisasi atau dalam bahasa Inggeris ia popular sebagai ‘organisational culture’ atau ‘organisational behaviour’. Orang selalu percaya bahawa wang dan teknologi biasanya menjadi prasyarat kecekapan pengurusan ilmu. Namun, banyak juga pihak yang mengakui bahawa yang paling asas ialah tingkah laku yang membentuk budaya kerana pada kesudahannya budaya itulah yang akan menyokong atau membantutkan transformasi sesebuah institusi ilmu.

Apa yang cuba diutarakan setakat ini ialah tentang adanya dunia silo dalam alam universiti. Alam ini perlu dipecahkan dalam usaha membawa transformasi pengajian tinggi di Malaysia. Ini sangat fundamental. Adakah ia disentuh dalam dokomen transformasi edisi Kementerian Pengajian Tinggi yang akan dilancarkan tidak lama lagi? Jika tidak, ‘architecture’ Pengajian Tinggi Malaysia nanti mungkin akan kelihatan cantik dan kukuh di luar tetapi belum terjamin sedemikian juga di dalamnya.

Siapakah yang akan beruntung apabila budaya silo di universiti ini dapat dipecahkan? Tentulah pengguna. Pengguna ilmu dari dalam dan luar universiti sama ada pelajar, ahli masyarakat, pembuat dasar, pengguna teknologi dan sebagainya akan mendapat sebuah ‘gambar siap’ bukan cebisan gambar dari pelbagai tangan yang tidak saling mengenal antara satu sama lain. Pelajar misalnya kerap terkial-kial cuba mengintegrasikan sendiri pelbagai mata pelajaran yang diikutinya daripada seorang guru yang apabila ditanya kaitannya dengan mata pelajaran lain akan segera menutup soalan itu dengan jawapan ‘itu bukan bidang saya’. Pemecahan tembok silo akan membuka hijap inspirasi pelajar tadi.

Apakah budaya silo ini unik kepada dunia universiti sahaja di Malaysia? Jawabnya tidak! Budaya ini diamalkan secara meluas dalam segenap aspek kehidupan. Kaum di Malaysia bercakap mengenai kaumnya. Integrasi harus dipaksakan. Tidak ada kerelaan. Tidak banyak yang mahu berkongsi. Perkongsian ditafsir sebagai bertentangan dengan keutamaan merit. Parti politik dengan kepentingan parti masing-masing. Budaya pemikiran ‘biarlah jumlahnya sedikit asalkan dapat semua’ mengalahkan pemikiran ‘biar tidak dapat semua asalkan jumlahnya banyak’.

Dari perspektif sektor ekonomi pula setiap sektor mementingkan sektornya dan tidak melihatnya sebagai suatu rantaian aktiviti menguntungkan semua pihak yang merentas sektor. Apabila gaji naik misalnya peniaga akan menaikkan harga tanpa memikirkan kesan buruk jangka panjang yang lambat laun akan mengetuk pintu rumahnya sendiri. Jabatan-jabatan kerajaan juga hidup dalam silo masing-masing dengan bersaing-saing supaya dapat masuk buku baik autoriti tertentu. Antara satu perkhidmatan (service) bersaing dengan perkhidmatan lain dan mesti menang. Jika tidak menang tercalarlah imej perkhidmatan! Tentulah rakyat jelata amat berharap agar pemikiran silo tidak sampai menjengah pemimpin setinggi Menteri yang berfikir untuk Kementerian masing-masing sahaja.

Abad 21 nampaknya mengajak manusia seluruh dunia untuk keluar dari tempat pertapaan masing-masing. Marilah kita keluar beramai-ramai!

Universiti dan Kuasa Badan Berkanun

DALAM tulisan saya terdahulu yang menyentuh isu kemunculan universiti apex Malaysia, saya ada mengemukakan beberapa cadangan bagaimana impian itu boleh dilaksanakan. Apabila ianya muncul nanti, universiti apex itu bukan sekadar ‘apex’ melalui pengisytiharan kerajaan Malaysia, sebaliknya apex yang mendapat pengiktirafan dunia melalui beberapa proses lazim yang dilalui oleh universiti unggul di dunia. Dalam cadangan itu saya kemukakan beberapa model atau pakej yang boleh dijadikan panduan.

Kali ini, saya ingin menimbulkan semula isu yang suatu ketika dahulu menjadi perbincangan yang sangat meriah mengenai universiti awam di Malaysia. Isunya ialah isu pengkorporatan pengajian tinggi. Setelah mendapat tempat yang begitu meluas dalam ruangan-ruangan media, selain menimbulkan sedikit histeria di kalangan ahli komuniti universiti, isu itu akhirnya tenggelam sepi. Pengkorporatan yang diimpikan atau dirisaukan hanya berkesudahan dengan pengenalan istilah Lembaga Pengarah Universiti (LPU) bagi menggantikan Majlis Universiti (MU), sementara perkara-perkara pokok yang lain kekal tidak berubah.

(tulisan ini telah disiarkan di ruangan rencana, 1/11/2007 Utusan Malaysia)

Pengalaman pengkorporatan universiti tentulah berbeza dengan pengalaman Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Telekom Malaysia yang masing-masing menjadi Tenaga Nasional dan TM. Pengalaman Abu Zarin, sebagai Ketua Pengarah LLN dahulu, tentulah berbeza dengan cara Che Khalib, CEO Tenaga Nasional Malaysia sekarang. Sedangkan cara Ungku Aziz menerajui Universiti Malaya beberapa tahun yang silam mungkin masih dipakai oleh Rafiah Salim sekarang.

Apakah yang menghalang universiti daripada mengalami transformasi seperti yang dialami oleh beberapa badan berkanun yang benar-benar dikorporatkan? Isunya selalu kembali kepada ringgit dan sen. Banyak isu yang terbit dan berlegar di sekitar perkara paling pokok itu. Kalangan pelajar dan ibu-bapa menjadi murung kerana bimbang yuran pengajian dan sara hidup mahasiswa akan meningkat dengan mendadak. Para pensyarah pula bimbang kalau-kalau skim gaji baru mereka akan dibezakan mengikut bidang yang mempunyai nilai ekonomi dengan yang tidak.

Apakah kaitan isu ini dengan isu mewujudkan universiti apex? Kaitannya ialah: sama ada universiti apex yang bakal diwujudkan itu nanti akan menikmati status seperti Tenaga Nasional dan TM? Bolehkah nanti universiti apex itu mendapat autonomi seperti dua contoh badan korporat yang telah saya sebutkan itu? Bolehkah nanti Naib Canselor univerisiti apex diberikan kuasa ‘hire’ dan ‘fire’ dengan tidak perlu melalui proses di Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perkhidmatan Awam? Mereka juga boleh mempunyai skim gaji sendiri berdasarkan ROI (return on investment) institusi? Bolehkah mereka mempunyai urus tadbir kewangan sendiri tanpa terikat sepenuhnya kepada arahan-arahan perbendaharaan?

Jika hal yang disebutkan itulah yang dipinta oleh universiti apex dan universiti-universiti awam yang lain juga, ia bukanlah permintaan baru. Sebaliknya, ia suatu permintaan untuk mengembalikan universiti awam menikmati statusnya di bawah undang-undang badan berkanun dengan tujuan-tujuan asalnya ia diatur sedemikian. Pada ketika ini universiti awam dijadikan sama seperti jabatan-jabatan kerajaan persekutuan yang lain, sedangkan Akta Badan Berkanun menjanjikan autonomi kepadanya. Isu perjawatan, kewangan, urus tadbir, semuanya telah mengguna pakai pelbagai pekeliling perkhidmatan awam dan perbendaharaan. Hampir tidak ada Lembaga Pengarah Universiti yang berani membuat keputusan tidak mengguna pakai pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan dalam siri PPA dan “TI’, sampailah kepada hal jadual waktu masuk dan keluar bekerja.

Di dalam ‘Pelan Strategik Pengajian Tinggi, Bahagian B-Tunggak Institusional’, halaman 19, ada disebutkan frasa berikut: “Pada tahun 1998, satu cadangan telah dibuat untuk menjadikan IPTA sebagai entiti korporat. Walau bagaimanapun, perubahan ini tidak dapat dilaksanakan atas alasan tertentu. Pada masa ini, amalan pentadbiran berpusat tidak begitu sesuai. LPU terus berfungsi sebagai majlis universiti tetapi tidak mempunyai kuasa bertindak seperti lembaga korporat. Pindaan akta berkaitan perlu dibuat bagi menjelaskan bidang kuasa lembaga pengarah universiti dengan terperinci. LPU akan dipertanggungjawabkan dengan prinsip pentadbiran seperti yang diamalkan oleh badan perniagaan korporat’. Ini suatu yang menjanjikan kegembiraan.

Jika diteliti asal usul akta badan berkanun (termasuk universiti) jelas dinyatakan bahawa akta tubuh badan berkanun mempunyai autonomi di bawah kuasa Menteri mengikut Ministerial Function Act 1969 (Akta 2) pindaan tahun 1999. Laporan Ketua Audit Negara mengenai badan berkanun, 2005 jelas menyebutkan tentang autonominya setiap badan berkanun: ‘Bidang kuasa sesebuah Badan Berkanun Persekutuan adalah luas dan antaranya boleh membuat pinjaman, memberi pinjaman, melabur, menubuhkan syarikat subsidiari, kumpulan wang, akaun amanah dan melaksanakan program atau aktiviti tertakluk kepada akta tubuhnya’.

Laporan itu juga menegaskan bahawa, ‘Universiti sebagai badan berkanun sepatutnya boleh menggubal peraturan kewangan, sistem dan prosedur sendiri serta menetapkan polisi perakaunan selagi tidak bercanggah dengan piawaian perakaunan yang diterima umum. Badan Berkanun Persekutuan adalah tidak tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan dan sebarang pekeliling kerajaan kecuali yang khusus berkaitannya’. Tegas, bahawa hanya pekeliling mengenai badan berkanun yang boleh dipakai bukan pekeliling umum kepada semua jabatan kerajaan persekutuan.

Oleh itu, sangat jelas bahawa banyak kuasa boleh dikembalikan kepada menteri dan universiti tanpa perlu ada akta-akta baru yang dicadangkan untuk diwujudkan. Memadai sekiranya Menteri mengarahkan Lembaga Pengarah dan eksekutif universiti menyemak semula secara menyeluruh peraturan-peraturan universiti, terutamanya berkaitan perjawatan, perkhidmatan dan kewangan yang telah diadaptasi daripada Pekeliling Perkhidmatan Awam dan Pekeliling Perbendaharaan untuk diubah semula dengan tujuan mengembalikan kuasa autonomi kepada univerisiti. Ini mudah dilakukan dengan hanya melalui keputusan-keputusan Lembaga Pengarah Universiti tanpa perlu menteri meminta Parlimen meluluskan akta baru yang prosesnya akan lebih panjang.

Saya pernah berbual dengan Che Khalib, CEO TNB yang UUM telah lantik bagi menasihati UUM dalam satu program akademik. UUM tertarik melantik beliau berdasarkan pengalaman beliau ‘turn around’ Keretapi Tanah Melayu, KUB dan sekarang Tenaga Nasional. Semasa perbualan itu kami ada berbincang tentang beberapa perkara penting termasuk bagaimana cara mencemerlangkan univerisiti. Beliau bersetuju antara lain bahawa kuasa kewangan dan perjawatan adalah amat kritikal bagi seseorang Ketua Eksekutif. Jika kuasanya dalam aspek itu terlalu terhad, sehebat mana pun personaliti Ketua Eksekutif itu, dia tidak akan boleh ‘turn around’ sesebuah organisasi yang sakit.

Bayangkan bagaimana saya boleh berkesan di UUM jika saya hanya hendak melantik seorang profesor dari luar negeri saya terpaksa melalui proses sekurang-kurangnya setahun melalui pelbagai birokrasi di KPT, JPA dan diskrutini pula oleh LPU. Munasabahnya, pihak Kementerian dan JPA bolehlah memberi panduan peraturan umum, LPU meneliti ‘output dan KPI’, sementara Ketua Eksekutif pula hendaklah diberi kebebasan menguruskan proses. Sewajarnya, jika Profesor yang dilantik oleh eksekutif tidak berprestasi atau tidak memenuhi KPI, LPU kemudiannya bolehlah meminta eksekutif untuk menamatkan perkhidmatan profesor tersebut atau mengeluarkan celaan kepapda eksekutif kerana tidak melaksanakan proses dengan sebaiknya. Ketua Eksekutif dinilai melalui outputnya bukan proses, kecuali hal yang berkaitan salah laku.

Oleh kerana ‘nature’ IPTA berbeza-beza antara satu sama lain, maka adalah kurang bijak jika Kementerian Pengajian Tinggi yang menyediakan suatu KPI seragam. Sebaiknya Kementerian hendaklah memberi kepercayaan kepada LPU yang dilantiknya untuk menggubal dan memantau KPI untuk universiti berkenaan. Dengan cara begini Kementerian juga boleh menilai sejauh mana kebijaksanaan dan kefahaman setiap individu LPU yang dilantik di bawah kuasa menteri dalam memainkan peranan mereka sebagai ahli LPU yang berkesan. Keputusan untuk melantik atau menyambung tempoh ahli LPU hendaklah berasaskan prestasi mereka dalam aspek ini. Ketua Eksekutif pula bolehlah ditamatkan atau tidak disambung perkhidmatan jika berlaku salah laku atau kerana tidak memenuhi KPI yang mewakili indeks ‘output’. Semua ini telah ada peruntukan dalam akta tubuh dan ‘spirit asal penubuhan’ badan berkanun yang boleh dikembalikan semula. Tujuan asal mengapa diwujudkan badan berkanun ialah untuk memendekkan proses pelaksanaan pelbagai agenda penting kerajaan dan negara, tetapi perlaksanaannya kini mengambil masa yang lebih panjang.

Saya berpengalaman mengetuai sebuah jabatan penuh kerajaan persekutuan dan sekarang menerajui universiti sebagai sebuah badan berkanun dan dapat membuat perbandingan peribadi, walaupun mungkin tidak semestinya representatif. Saya mendapati, semasa mengetuai jabatan yang lama, banyak proses berjalan dengan lebih cepat berbanding tanggungjawab saya sekarang. Dalam aspek perjawatan, contohnya, saya berurusan terus dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan dalam aspek kewangan saya berurusan terus dengan Perbendaharaan. Ketua Jabatan saya pada ketika itu, iaitu Ketua SetiausahaNegara, menasihati saya dan ‘facilitate’ cadangan-cadangan yang saya kemukakan. Semuanya berlaku cepat. Sekarang, saya harus melalui Majlis Eksekutif Universiti (dalaman universiti), melalui LPU dan melalui Kementerian, sebelum saya sampai ke JPA dan Perbendaharaan.

Kalau dahulu saya hanya perlu menjelaskannya kepada ‘immediate boss’ sekarang saya perlu menjelaskannya kepada sangat banyak orang. Prestasi saya dahulu sebagai Ketua Pengarah dinilai oleh dua orang, yang saya sentiasa boleh menyemak dan berbincang kelemahan-kelemahan saya, dan sekarang saya tak tahu siapa dan berapa banyak yang menilainya. Jika lebih dipercayai bahawa Ketua Eksekutif sesuai dinilai oleh banyak orang yang ada kepentingan (stake-holders), seperti pemegang saham, mungkin elok universiti mengadakan mesyuarat agong tahunan sama seperti amalan Universiti Malaya pada masa lalu atau seperti kewajipan semua badan-badan perniagaan sekarang.

Rumusannya, mengambilkira cadangan Pelan Strategik Pengajian Tinggi yang antara lain meminta supaya univerisiti diberi ‘empowerment’ (tidak disebut autonomi) untuk menjadi cemerlang, mungkin baik jika disemak semula kuasa-kuasa sedia ada di universiti yang diperuntukkan di bawah akta badan berkanun. Kesudahannya, boleh jadi banyak perkara yang dituntut telah pernah ada di universiti, tetapi melalui peredaran masa orang universiti telah menyerahkan perkara yang dituntut itu kepada pihak lain. Atas alasan inilah saya selalu mengajak rakyat Malaysia melihat hal-hal ‘indigenous’ juga selain mesti membuat rujukan-rujukan di dunia luar. Kerap kali kebijaksanaan tempatan ‘terlepas pandang’ kerana terlalu takjub melihat ukuran-ukuran luar.

Pengalaman autonomi universiti di Britain dengan tradisi ‘Royal Charter’ yang memberi kuasa pemutus kepada universiti sama dengan ‘Royal Charter’ yang diberikan kepada Syarikat Hindia Timur Inggerís yang menakluk negeri-negeri di Asia mungkin boleh diambil kira. Atas semangat yang sama bolehkah universiti di Malaysia menikmati kuasa sekurang-kurangnya menyamai syarikat-syarikat GLC Malaysia melalui akta tubuh badan berkanun?

Idealisme Kepemimpinan Untuk Kemajuan Negara

‘Idealism Kepemimpinan Untuk Kemajuan Negara’ menjadikan kemajuan negara sebagai objek, sementara ‘idealisme’ dan ‘kepemimpinan’ adalah medium untuk mendekati objek. Mencuba berbeza daripada kebiasaan, saya membincangkan tajuk itu daripada belakang iaitu mengenai objek.

Saya digoda untuk bercakap tentang kemajuan negara seperti kebiasaan dengan memberi preskripsi hampir mutlak tentang apa-apa yang mesti ada bagi memenuhi apa yang dinamakan ‘kemajuan negara’. Seperti biasa orang bercakap tentang pembangunan ekonomi, pembangunan insan, pembangunan sosial, pemuliharaan alam sekitar dan sebagainya. Yang lain pula akan menyebut tentang pembangunan holistik, selain daripada ada yang menolak perkataan holistik supaya digantikan dengan ‘syumul’ seperti perkataan ‘sembahyang’ boleh digunakan untuk beberapa agama tetapi tidak boleh untuk satu agama khusus kerana dikatakan gantinya yang lebih tepat ialah ‘solat’.

Begitu bernafsu saya untuk menjadi begitu preskriptif, tetapi tiba-tiba saya tersedar, saya berhadapan dengan khalayak mahasiswa yang meskipun saya dan mereka tetap berada dalam satu kontinum generasi tetapi kami berada pada perhentian berbeza. Pengalaman peribadi saya berbeza dengan pengalaman peribadi mereka dalam banyak perkara seperti wajah lingkungan sosial, alam keliling fizikal, bahkan mungkin kombinasi gas-gas yang berinteraksi dengan diri dalam alam kami yang tak kelihatan juga berbeza.

Oleh kerana itu perbincangan ini saya mulakan dengan para pertama yang mendebatkan sama ada sesuatu objek itu mind-dependent atau mind-independent? Adakah pembangunan negara sebagai satu objek wujud sendiri, mungkin sebagai proses nature atau mind-creation? Jika dia dikatakan wujud sendiri, maka seandainya alam ini dikembalikan jutaan tahun ke belakang semula dan melalui prosesnya, dia tetap akan menemui masa kini yang kita lihat sekarang. Sebaliknya jika dia adalah objek yang mind-dependent, maka alam sekarang dengan alam yang dikembalikan kepada asalnya itu, pada masa kini akan mempunyai wajah yang berbeza dengan yang dilihat sekarang. Dia bukan nature, sebaliknya adalah mind creation.

Kita tentu boleh membayangkan bagaimana homosapien pada masa silam yang sentiasa kelaparan, tewas kepada alam yang ganas dengan kepanasan dan kedinginan yang amat sangat, ribut serta taufan. Mungkin mereka semuanya vegetarian kerana tidak mampu menangkap haiwan oleh ketiadaan teknologi. Mereka hanya memandang burung yang terbang, kijang yang melejang langkah dan gajah yang berang. Entah secara kebetulan atau oleh mind-creation mereka memperoleh busur dan panah. Mereka lalu dapat menguasai haiwan yang terbang dan melata. Penemuan api mempunyai kesan besar kepada kehidupan, tetapi tidak diketahui berapa lama jarak masa antara penemuan api dengan busur dan panah.

Meskipun pelbagai tamadun wujud di Pheonicia, Mesir, India, China, Rome, Greece, Kota Tampan, Lembah Bujang dan sebagainya, dari segi kehidupan manusia, mungkin penemuan panah, busur dan api adalah penemuan yang lebih agung berbanding penemuan-penemuan lain selepasnya sehingga sekarang. Sekali lagi, adakah semuanya itu laluan bersama berusianya alam atau mereka adalah mind-creation?

Dengan analogi yang demikian, saya kembalikan kepada khalayak untuk membuat pendirian tentang objek ‘kemajuan negara’. Bagi yang berpendirian bahawa objek adalah mind-independent, maka variable lain seperti idealisme dan kepimpinan hanyalah merupakan aktiviti rekreasi kerana kemajuan sebagai suatu objek akan tetap menemui apa yang telah ditentukannya, bebas daripada hubungan sebab dan musabab dengan variable lain. Bagi yang berpendirian sebaliknya, akan mengatakan bahawa kemajuan berada di dalam fikiran mereka, mungkin di dalam otak mereka. Kepada penganut aliran pertama alang-alang berekreasi biarlah seseronok mungkin, dan kepada aliran kedua, alang-alang mencipta biar selebar mungkin kegunaannya. Bagi penganut aliran pertama, yang berekreasi seseronok mungkin, mereka boleh meninggalkan pelbagai game untuk disambung oleh orang kemudian dan aliran kedua pula membawa kepada kemunculan perbezaan kelompoknya dengan kelompok lain seperti masih adanya masyarakat savage, yang masih menggunakan teknologi termudah, hidup sezaman dengan masyarakat yang menggunakan teknologi sophitiscated.

Demikianlah halnya juga dengan kepemimpinan yang selalu dibahagi-bahagikan kepada pelbagai dikotomi atau kontinum seperti ekstrem demokratik dengan ekstrem autokratik atau pragmatik seperti digambarkan oleh Lao Tse: ‘But of a good leader, who talks little: when his work is done, his arm fulfilled, they will say ‘Our work is done’. Pemimpin yang baik kepada Lao Tse ialah pemimpin yang membolehkan kerja bagi sesuatu kepentingan kelompok disiapkan. Panggilan demokratik atau autokratik, jika begitu, adakah hanya konsepsi yang dicipta oleh fikiran atau sesuatu yang benar-benar wujud, seperti tidak wujud ‘ kami’ dan ‘ kita’ dalam bentuk yang boleh dipegang berbanding wujudnya ‘aku’ dan ‘engkau’?

Work is done yang disebutkan Loa Tze membawa tafsiran menghasilkan sesuatu yang boleh dipegang atau diberi nilai. Oleh itu, adakah kepemimpinan yang baik mencipta senibina, arca, ukiran, lukisan, perlombongan, metalurgi, navigasi, binaan terusan, lebuhraya dan sebagainya yang dinamakan penghasilan tamadun, atau kepemimpinan adalah pemain-pemain game yang cukup seronok menggunakan perkara-perkara yang disebutkan itu sebagai alat yang sememangnya wujud sendiri? Pemain game akan mencipta nama-nama bagi melabelkan alat-alat permainannya untuk memudahkannya mengulangi atau mengenali, sementara pencipta akan mengubah yang ada kepada bentuk yang baru atau mengadakan sesuatu daripada yang relatif tiada.

Adakah Isaac Newton bermain-main dengan graviti atau mencipta graviti? Adakah Galileo sambil bermain loceng gereja kemudiannya menamakannya ‘the law of oscillation of pendulum’ atau dia mencipta hukum itu? Berkenaan masterpiece muzik Mozart, dia sendiri berkata: ‘I do not know myself and can never find out. When I am in particularly good condition, perhaps riding in carriage, or on a walk after a good meal, and in a sleepless night, then the thoughts come into me in a rush and best of all. When and how – that I do not know and cannot learn. Those which please me I retain in my head, and hum them perhaps also to myself…’ Adakah Mozart mencipta atau bermain-main game?

Sama ada kepemimpinan adalah pemain-pemain game atau ‘pencipta’ mereka adalah difahami oleh orang lain melalui alam empirikal yang diketahui being in dependent on the knowing of it. Sekali lagi, perkara ini nampaknya merupakan activities of the minds. Mengikut ontologi Kant ‘the mind and the world jointly make up the mind and the world’. Aktiviti fikiran yang tidak dihubungkan dengan alam dikatakan sebagai idealisme. Misalnya, aktiviti fikiran bebas bermain tanpa sempadan.

Socrates mempercayai bahawa semua ahli falsafah menunggu-nunggu kematian dengan riang dan pengharapan kerana melaluinya soul akan bergerak bebas tanpa halangan keperluan tubuh badan. Tubuh badan perlukan air, makanan, udara, sedangkan soul katanya tidak terikat dengan keperluan–keperluan itu. Misalnya semasa pembentangan ini, soul saya boleh berada di Makkah bersama jemaah haji di sana tetapi ini tidak terjadi sepenuhnya kerana tubuh saya memerlukan kenderaan, memerlukan visa dan sebagainya.

Socrates berkata kira-kira begini: ‘in order to examine the world accurately and learn the truth accurately, one must remove oneself off all distraction’. Pemimpin idealis akan mengatakan dia akan bermain atau mencipta dengan baik ‘jika….’ Ertinya permainannya atau kerja-kerjanya mencipta bersyarat. Kecuali syarat-syarat itu dipenuhi, dia tidak akan menjadi pemain atau pencipta yang baik. Contoh frasa yang agak popular antaranya termasuk ‘dunia akan selamat hanya jika hukum Islam dilaksanakan’. ‘Dunia akan aman hanya jika semua orang sama rata dan sama merasa’. ‘Dunia hanya akan aman jika semua orang yang telah membut salah dihukum’.

Berbeza dengan golongan idealis, golongan pragmatis senantiasa melihat keupayaan berbuat sesuatu dalam sesuatu keadaan yang diberi. Keadaan tidak boleh diubah serta merta. Bagaimanakah dia boleh bermain atau mencipta dalam lingkungan sumber atau keadaan yang diberi. Dia tidak terikat dengan hukum ceteris paribus atau other things being equal. Dia mahu ‘semua orang yang bersalah dihukum’ pada masa yang sama dia juga menerima kenyataan bahawa ‘bukan semua orang yang bersalah menerima hukuman’. Dia menerima bahawa ‘marijuana boleh membunuh sel otak’. Pada masa yang sama dia juga menerima ‘marijuana boleh mencegah glucoma’. Dia tidak mencuba menggubah ayat-ayat itu dan dia tidak perlu membunuh orang yang memberi tafsiran berbeza dengannya.

Apa yang saya lakukan dalam tulisan ini mengajak khalayak berbincang sesama sendiri. Adakah kemajuan negara boleh dicipta atau kemajuan negara akan terus bergerak sendiri menuju destinasinya yang sudah ditetapkan. Adakah pemimpin mencipta kemajuan negara atau pemimpin bermain-main di dalam atau bersama kemajuan negara yang wujud sendiri itu? Adakah dalam berurusan dengan objek kemajuan negara itu pemain/pencipta meletakkan syarat untuk dia bermain atau mencipta dengan baik, atau dia bermain/mencipta dalam lingkungan atau keadaan yang diberi?

nota: kertas kerja yang dibentangkan kepada sebuah persidangan pemimpin pelajar di Genting Highlands

Hala Tuju Universiti: Memorandum Kepada kerajaan

LATAR BELAKANG

Sejarah perkembangan universiti di Malaysia bermula setahun selepas kemerdekaan negara, dengan penubuhan cawangan University of Malaya, Singapura di Kuala Lumpur pada tahun 1958. Ini diikuti oleh penubuhan USM (1969), UKM (1970) dan seterusnya universiti-universiti awam lainnya. Kini, negara memiliki 18 buah IPTA dengan perancangan untuk menubuhkan 2 buah lagi IPTA menjelang tahun 2007. Pada amnya, IPTA yang diwujudkan mempunyai tujahan disiplin yang tersendiri, tetapi berteraskan kepada sifat kepelbagaian disiplin ilmu yang jelas dan hampir seimbang di antara IPTA.

Pada tahun 1996, Kerajaan Malaysia telah memperkenal dan menguatkuasakan Akta 555 (Akta Pengajian Tinggi Swasta) dan Akta 556 (Akta Lembaga Akreditasi Negara).  Melalui kedua-dua akta tersebut, Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah mendapat pengiktirafan formal.  Akta itu diletakkan di bawah Menteri Pendidikan sebagai pihak berkuasa Akta.  Berikutan dengannya, tertubuhlah beberapa universiti dan kolej universiti swasta sebagai pelengkap kepada kewujudan IPTA dalam usaha Malaysia ingin menjadi hub kecemerlangan pendidikan tinggi serantau.

Sebelum ini, penubuhan universiti awam yang boleh mengeluarkan diploma dan ijazah bernaung di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30), manakala pada universiti swasta tertakluk kepada Akta 555 dan Akta 556.

Penubuhan sebuah Kementerian baru iaitu Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) pada tahun 2004 adalah keputusan yang signifikan melibatkan perubahan struktural yang penting dalam merealisasikan wawasan pendidikan tinggi negara. Tanggungjawab KPTM amat besar sebagai pemimpin tadbir-urus, penguatkuasa peraturan dan dasar-dasar, pemudah cara, pemantau pelaksanaan, menilai pencapaian, dan memberi sokongan serta bantuan sewajarnya tanpa mengehadkan kebebasan, mengekang kreativiti dan membantutkan inovasi atau produktiviti IPT itu sendiri.

Sehingga kini, walaupun terdapat beberapa Kementerian lain yang mengendalikan institusi pengajian tinggi seperti Kementerian Usahawan dan Kementerian Sumber Manusia, tetapi umumnya institusi pelaksana bernaung di bawah Akta IPTS. Antara contohnya termasuklah institusi seperti Kolej Profesional Mara dan beberapa kolej mengendali program MLVK yang didaftar di bawah Akta IPTS.

Dalam perkembangan terbaru menunjukkan terdapat beberapa  Kementerian berusaha menubuhkan institusi pengajian tinggi masing-masing dan seperti mahukan insitutusi mereka tidak berada di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi.  Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA), misalnya, sudah membentangkan Rang Undang-Undang  Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 di Parlimen yang bakal menawarkan pelbagai ijazah berkaitan dengannya.  Tujuan  KEKWA adalah untuk membolehkan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dinaikkan taraf bagi membolehkan institusi berkenaan mengeluarkan ijazah sendiri.

Perkara 4 dalam Rang Undang-Undang Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 dengan jelas menyatakan bahawa Akta 30, Akta 550 atau Akta 555 tidak lagi diigunapakai.

Parlimen sudah meluluskan Rang Undang-Undang Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 untuk akademi ini mengeluarkan ijazah sendiri yang tidak bernaung di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Dijangka akan muncullah banyak lagi akta pengajian tinggi yang akan dikemukakan oleh pelbagai Kementerian. Kementerian lain seperti Kementerian Belia dan Sukan akan mengangkat Insititut-institut Kemahirannya menjadi Universiti Belia, Kementerian Usahawan akan memindahkan semua IPT-nya yang bernaung di bawah KPTM untuk dijaganya sendiri, Kementerian Kesihatan akan mengangkat Pusat-Pusat Latihan Kejururawatan mengeluarkan Ijazah sebagai permulaan sebelum menubuhkan dan amat munasabah untuk mengambilalih semua Fakulti Perubatan di universiti sedia ada untuk menjadi Universiti Perubatan.  Kementerian Sumber Manusia melalui program MLVK tentu tidak akan berhenti separuh jalan untuk menubuhkan banyak Universiti Kejuruteraan yang akan bernaung di bawahnya.  Kementerian Pengangkutan tentu mengangkat Akademi Laut Malaysia untuk menjadi universiti di bawahnya dan yang lain–lain untuk menjadi universiti yang mengeluarkan Ijazah Perkapalan dan Penerbangan, Kementerian Kerja Raya akan mengambilalih Kolej Universiti Infrastruktur untuk bernaung di bawahnya, Kementerian Pertahanan akan mengemukakan akta untuk menubuhkan universiti di bawahnya. Kementerian Kewangan mungkin tidak ketinggalan daripada menubuhkan Universiti Percukaian dan Pengauditannya dengan hanya mengangkat Pusat-Pusat Latihannya yang sudah pun ada.

Kabinet juga sebelum ini sudah menyatakan persetujuan untuk menaiktarafkan maktab perguruan (maktab perguruan sebelum ini hanya boleh menganugerahkan diploma perguruan sahaja) kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) yang boleh menganugerahkan ijazah sendiri.   Rang Undang-undang akan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.  IPG akan diletakkan di bawah Kemeterian Pelajaran Malaysia.  Dijangka semua universiti sedia ada yang menawarkan ijazah dengan pendidikan termasuk Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) menjadi tidak relevan lagi.

Monopoli kuasa hanya sebuah Kementerian mengeluarkan Ijazah bakal terbuka seluas-luasnya.  Namun, apakah kesudahannya dan ke mana hala tuju pengajian tinggi negara?

Sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh Jemaah Menteri dengan membiarkan Parlimen memberi kuasa kepada institusi selain dari yang berada di bawah Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengeluarkan ijazah, bakal benar-benar mencipta kepelbagaian sistem Pengajian Tinggi di Malaysia.  Hal ini boleh ditafsir oleh rakyat bahawa kerajaan tidak yakin dengan IPTA dan IPTS di bawah sistem sedia ada lalu berpendapat lebih baik pelbagai IPT ditubuhkan dan bernaung di bawah pelbagai pihak berkuasa lain selain dari KPTM.

Dalam keadaan ini, sistem pendidikan tinggi iaitu IPTA dan IPTS tidak lagi mempunyai hala tujunya.  Takrifan universiti juga menjadi kabur.  Apakah ianya hanya untuk melatih kemahiran, mengeluarkan ijazah atau untuk perkembangan ilmu?   Inilah menyebabkan universiti selalu dituduh dan dijadikan kambing hitam apabila wujud gejala pengangguran.  Lagu lama akan dimainkan semula – kurikulum universiti tidak relevan, graduan tidak tahu berkomunikasi dan semua siswazah kena dilatih ilmu keusahawanan.

Satu takrifan `universiti’ telah dibuat dalam satu kes landmark di Lampeter, United Kingdom di mana mahkamah yang membuat keputusan pada masa itu telah menyatakan sesuatu institusi itu dikatakan `universiti’ apabila:

  1. ilmunya bersifat sejagat.
  2. Guru-gurunya datang dari segenap penjuru alam.
  3. Pelajar-pelajarnya juga datang dari pelbagai negara.

Semua IPTA khususnya yang lama sudahpun mencapai ketiga-tiga kategori ini, walaupun ada beberapa aspek yang boleh diperbaiki lagi.  Sungguhpun guru atau pensyarah di IPTA berasal dari negara ini, tetapi ilmu pensyarah berkenaan datang dari pelbagai pelusuk dunia termasuk di United Kingdom, Amerka Syarikat, Jerman, Jepun, Australia dan pelbagai negara lain.

Langkah kerajaan membenarkan semua kementerian atau mana-mana pihak menubuhkan universiti tidak berdasarkan akta sedia ada, menghantar mesej yang salah kepada rakyat.  Sedangkan, penubuhan IPTS bertaraf universiti (layak menganugerahkan ijazah) mengikut Akta Pengajian Tinggi Swasta mestilah atas jemputan atau pelawaan Kementerian Pengajian Tinggi.

HALA TUJU IPTA – KEMANA?

Pengalaman negara maju menunjukkan kerajaan masing-masing telah meletakkan azam untuk mengangkat pengajian tinggi mereka mampu menyaingi universiti-universiti lain yang lebih tua di dunia.  Universiti di Amerika Syarikat dan Kanada, misalnya, dengan dasar-dasar yang kukuh, telah menghasilkan universiti yang umurnya relatif muda tetapi mampu mengatasi universiti yang telah berumur ribuan tahun seperti di Itali,  Perancis bahkan England, bekas penjajahnya.  Jika Itali terkenal dengan Universiti Bologna dan Padoa, Perancis dengan Universiti Paris, England dengan Oxbridge tetapi negara muda USA dan Kanada telah menghasilkan lebih banyak universiti terbaik dunia dengan Ivy-League, di USA dan The Silver-Seven di Kanada.  Semuanya terhasil dengan keazaman yang  ‘focused’  bukan kepelbagaian yang mengelirukan.

Negara maju seperti Amerika Syarikat dan England pernah mengamalkan sistem pengajian tinggi yang pelbagai tetapi mereka kemudiannya berpindah kepada sistem unitari, walaupun dikendalikan oleh pihak awam atau swasta.  Britain, misalnya, mengevolusikan pengajian tinggi mereka daripada multi-system kepada Binary dan kepada Unitari (semasa Perdana Menteri John Major).  Di Amerika Syarikat, pendidikan diletakkan di bawah sektor pertahanan negara melalui National Education Defence Act (selepas mereka kali pertama tertinggal kepada Russia dalam perlumbaan ke angkasa lepas).  Di bawah sistem itu mereka membenarkan sesama IPT untuk ‘self-regulate’ dengan menubuhkan Badan Akreditasi Bebas yang tidak berupa jabatan kerajaan.  Badan-badan itu ditubuhkan oleh persetujuan sesama IPT (tanpa mengira awam atau swasta) atau sesama disiplin pengajian.

Dengan pelbagai Kementerian menubuhkan universiti, maka setiap Kementerian akan menubuhkan juga badan penguasa yang memastikan urustadbir universiti tersebut berjalan dengan sewajarnya.  Ini akan melibat pertindanan kos di pihak kerajaan yang akan pula menghasilkan kepelbagaian kecekapan.  Walaupun USA adalah sebuah negara besar dan kaya tetapi mereka tetap berjimat mengelakkan pertindanan kos dan kepakaran dengan menumpukan kecemerlangan satu sistem.  Adakah rakyat Malaysia akan membiarkan pembayar cukai menanggung kos pembaziran akibat pelbagai pertindanan peranan oleh pelbagai Kementerian ini?

C. Peter Magrath, President of the National Association of State Universities and Land-Grant Colleges, USA pernah memberi amaran:

“American universities have become far more efficient, particularly on the administrative side, as well as increasingly creative in their use of funds. They’ve become committed to greater focus and less duplication. Efficiency and less redundancy will not by themselves bring fiscal sufficiency, but they are critical building blocks if we are to maintain public confidence and attract support..”  (February 12, 1998, Intercom Online, Penn States’s Faculty/staff Newspaper, Volume 27, Issue 20).

Kerajaan Malaysia sentiasa menyeru supaya IPTA dan IPTS Malaysia segera bermain di gelanggang antarabangsa.  Namun demikian, pada masa yang sama,  Kerajaan juga menghantar mesej yang boleh ditafsirkan sebaliknya.   Sumber yang besar tidak diberikan kepada IPT sedia ada sebaliknya menubuhkan institusi baru yang tidak bernaung di bawah KPTM.  Sebagai contoh, kerajaan melalui Bank Negara menubuhkan institusi latihan baru yang bakal mengeluarkan kelayakan profesional dalam bidang Perbankan Islam dengan belanja RM500 juta, tetapi menggunakan kepakaran yang dipinjam daripada IPTA sedia ada, khususnya dari Universiti Utara Malaysia.  Jika biaya sebanyak RM500 juta ini diberikan kepada Universiti Utara Malaysia, satu-satunya universiti di Malaysia (mungkin di dunia) yang mempunyai pengajian kewangan bertaraf fakulti, iaitu Fakulti Kewangan dan Perbankannya, mungkin fakulti ini boleh membuat ‘wonders’ kerana jumlah itu menyamai  belanja fasa pertama pembangunan keseluruhan universiti yang menyediakan kemudahan untuk 14 buah fakulti.  ‘Kursi Profesor’ Perbankan di Universiti Utara Malaysia, contohnya, dibiayai hanya dengan RM2.5 juta, bayangkan dengan RM500 juta ketakjuban boleh berlaku. Mungkin dengan sekelip mata fakulti ini tiba-tiba menjadi pemain di Liga Antarabangsa, bukan terkial-kial baru mahu menubuhkan organisasi, seperti yang berlaku sekarang.

Demikianlah juga dengan beberapa keputusan kerajaan yang lain yang tidak membantu, bahkan menyaingi badan kecemerlangan yang sudah sedia ada di IPTA dan IPTS.

Walaupun dengan membenarkan pelbagai Kementerian menubuhkan IPT masing-masing seperti berniat membuka peluang yang  luas dan bebas untuk akses kepada pengajian tinggi, namun insititusi yang hendak ditubuhkan kelihatan terlalu khusus atau ‘sempit’ disiplin pengajiannya.

Tunggak utama kecemerlangan sesebuah IPT melibatkan kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan serta perkhidmatan masyarakat yang dilaksanakan. Elemen ini sangat fundamental dan sentiasa diberikan keutamaan oleh IPT terkemuka dunia. Kecemerlangan dalam semua perkara tersebut meminta kepada kehadiran tenaga akademik/tenaga akademia yang cemerlang.

Satu elemen penting untuk mencapai pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang ialah pembangunan kurikulum yang kukuh dan bersepadu. Peranan kurikulum ialah untuk membina dan menjayakan perkembangan diri yang serba lengkap meliputi rohani, akal, emosi dan jasmani, di samping menyemai serta memupuk nilai-nilai akhlak yang murni melalui penyampaian ilmu pengetahuan daripada pelbagai disiplin. Namun, untuk menyediakan satu kurikulum yang unggul dan sempurna bukanlah mudah, apatah lagi untuk meramalkan kemahiran yang diperlukan pada masa hadapan. Ini kerana kemahiran tidak bersifat statik, tetapi dinamik dan berubah dengan pantas.

Universiti akan berhadapan dengan risiko tinggi sekiranya fungsi asasnya juga turut bertukar sebagai alat untuk industri semata-mata.  Seandainya identiti serta domain pendidikan tinggi tidak difahami dengan mendalam apalagi untuk mempertahankannya, paling tidak ia menjadi alalatihan vokasional atau mempunyai budaya intelektual yang cetek. Bekas Naib Canselor UM, Prof. Dato’ Dr. Taib Osman pernah merakam kebimbangannya tentang kemelesetan domain universiti melalui bukunya Universiti dan Tradisi Kecemerlangan.

Werner Arber, Pemenang Hadiah Nobel Fisiologi dan Perubatan 1978 menyenaraikan tiga objektif utama pendidikan tinggi yang merangkumi:

(a)     kecemerlangan bidang (disciplinary excellence),

(b)     kecekapan merentasi bidang (trandisciplinary competence),

(c)     pengalaman antara bidang  (interdisciplinary experience)

Gibbons et. al. (1994) dalam bukunya, The New Production of Knowledge, menerangkan penggunaan transdisiplinari sebagai petanda perubahan cara ilmu pengetahuan sains, sosial dan budaya menjelang alaf baru. Maka, penjanaan ilmu pengetahuan bentuk baru adalah bercirikan elemen-elemen complexity, hybridity, non-linearity, reflexivity, heterogeneity dan transdisciplinarity pada peringkat pengajian tinggi serta impaknya kepada ide, norma dan nilai sarwajagat.

Nicolescu (1997) pula melalui kertas kerja bertajuk The Transdisciplinary Evolution of the University – Condition for Sustainable Development menjelaskan bahawa:

“If the universities intend to be valid actors in sustainable  development they have first to recognize the emergence of a new type of knowledge. The transdisciplinarity knowledge – complementary to the traditional, disciplinary knowledge. The process implies a necessary multi-dimensional opening at the University: towards the civil society; towards the other places of production of the new knowledge; towards the cyber-space-time. Towards the aim of universality; towards a redefinition of values governing its own existence.   A viable education can only be an integral education of the human being, an education which is addressed to open totality of the human being and not to just one of its components.”

Ruben (2004) melihat bahawa perpecahan tradisi keilmuan umumnya timbul akibat pengkhususan ekstrem seseorang kepada bidangnya.  Hal ini boleh menjejaskan inisiatif antara disiplin yang  kepentingannya kini sedang meningkat.  Menurutnya:

“Whether in health care, community orchestras, or higher education, when organization subcultures become too differentiated and disconnected, core values, operational effectiveness, and ultimately institutional excellence are all at risk.”

Pendekatan interdisiplin ini dikatakan sesuai bagi perkembangan ilmu peringkat tinggi yang jelas berlaku interaksi antara manusia dengan sistem semula jadi, seperti bidang pertanian, perhutanan, industri, dan sebagainya. Pendekatan interdisiplin telah mula berlaku di IPTA negara ini seperti dalam bidang pembangunan teknikal (contoh, nuklear-teknologi, bioteknologi dan genetik); Pendekatan ini terbukti berkesan bagi bidang yang adanya interaksi antara pembangunan sosial, teknikal dan ekonomi dengan unsur-unsur nilai dan budaya – tenaga, penjagaan kesihatan, pemakanan, pembangunan lestari dan sebagainya.

Apabila semua Kementerian di Malaysia nanti menubuhkan universiti masing-masing, pendekatan transdisiplin yang dicadangkan oleh pelbagai pakar pengajian tinggi itu dijangka tidak akan terlaksana.  Universiti di Malaysia akan benar-benar menjadi sekolah vokasional dan cita-cita untuk menjadikan Malaysia menjadi hub kecemerlangan pengajian tinggi serantau akan hanya tinggal angan-angan kerana kerajaan sendiri nampaknya tidak mempunyai kepercayaan terhadap insititusi pengajian tinggi sedia ada yang ditubuhkannya sendiri.

KEPELBAGAIAN: APA KEWAJARANNYA?

1. Belanjawan: Purata perbelanjaan awal untuk penubuhan sebuah IPT adalah di antara RM300 – RM600 juta. Jika jumlah ini diperuntukkan kepada IPT sedia ada, ia mampu menampung penubuhan hampir 10 – 15 buah fakulti penuh.  Fakulti-fakulti ini berupaya menawarkan disiplin ilmu atau jurusan yang dicadangkan melalui penubuhan IPT khusus berkenaan. Misalnya penubuhan sebuah fakulti maritim/ pengurusan pengangkutan/ pengajian strategik yang lengkap cuma memerlukan belanjawan maksimum RM20j, merangkumi keperluan sumber manusia dan prasarana fizikal. Penambahan atau menaik-taraf fakulti di IPT sedia ada mungkin lebih relevan dan dapat menawarkan program-program berkaitan dengan lebih cekap dan berkualiti untuk pembangunan modal insan negara.

2.  Perkongsian pakar: Adalah lebih baik digembelingkan kepakaran dalam IPT sedia ada bagi mengembangkan bidang pengajian yang diperlukan berbanding membina sebuah IPT khusus (dengan kos pembinaan yang besar). Alasannya, setiap bidang tujahan masih memerlukan asas-asas disiplin ilmu yang generik dan komponen ini telah sedia ditawarkan oleh IPT yang ada dalam negara.

3. Pengiktirafan Antarabangsa: IPT sedia ada telah mempunyai jaringan serta pengiktirafan antarabangsa yang sekian lama terbina kukuh. Oleh itu, kepakaran luar negara dalam pelbagai disiplin ilmu menjadi lebih mudah untuk dikongsi atau diperolehi. Walaupun agensi-agensi yang bercadang menubuhkan IPT tersendiri turut memiliki kelebihan ini berdasarkan latarbelakang agensi berkaitan, adalah lebih berfaedah jika ianya disalurkan melalui IPT sedia ada bagi menawarkan sebarang bentuk program yang sesuai sama ada secara kerjasama langsung atau kawal selia. Kaedah ini memang telah lama digunapakai oleh IPT-IPT dengan kolej/IPTS dalam dan luar negara.

4. Jenama IPT: Kewujudan IPT dengan penjenamaan yang terlalu spesifik mungkin melambangkan kejumudan disiplin ilmu itu sendiri. Ia juga mungkin mengurangkan daya saingan serta ‘sustainability’ pasaran graduan yang dihasilkan. Dalam masa yang sama, syarat-syarat kemasukan akan menjadi terlalu rigid atau mungkin juga terlalu khusus untuk kelompok-kelompok bakal pelajar yang tertentu sahaja.

5. Brain drain: Penubuhan IPT baru pasti memerlukan sumber manusia yang ramai seperti tenaga mahir atau bepengalaman. Walaupun ini suatu situasi yang boleh merangsang upaya gunatenaga di kalangan tenaga kerja di pasaran, masalah mungkin timbul apabila berlaku ‘aliran keluar’ tenaga mahir/pakar daripada IPT sedia ada. Secara langsung situasi ini mungkin menjejaskan kemajuan dan pembangunan IPTA sedia ada akibat daripada kehilangan beberapa pakar/tenaga mahir yang berhijrah keluar. Seperti dimaklumi, bukanlah mudah untuk sesebuah IPTA atau IPTS melatih tenaga kerjaya sehingga mencapai tahap kepakaran/kemahiran tertentu. Secara langsung ia akan memberi kesan negatif kepada IPT asal, berbanding mungkin kesan positif kepada IPT yang dicadangkan penubuhannya.

6.      Tujahan ilmu: Di samping bersifat transdisiplinari, IPT sedia ada memang sudah memiliki upaya tujahan ilmu (niche area) yang tersendiri.  Adalah wajar untuk sebarang cadangan program pengajian baru diselaraskan melalui program atau fakulti di IPTA-IPTA sedia ada berbanding menubuhkan IPT baru yang semata-mata terkhusus kepada sub-bidang tertentu sahaja.

RUMUSAN DAN CADANGAN

Keputusan mengujudkan kepelbagaian sistem pengajian tinggi adalah langkah ke belakang jika negara-negara yang IPT-nya telah sampai ke tahap terbilang dijadikan rujukan.

Kementerian Pengajian Tinggi mesti terus menjadi kementerian tunggal dalam memaju, mengurus dan memantau perkembangan pengajian tinggi di negara ini.

KPTM haruslah menjadi penasihat kepada kerajaan supaya universiti tidak boleh sewenang-wenangnya ditubuhkan untuk menyelesaikan suatu masalah jangka pendek dengan mengambilkira:

a)      akan berlaku pembaziran kewangan sedangkan wang yang ada boleh digunakan untuk membangunkan program-program di Universiti sedia ada.

b)      akan ujud pertindihan Ijazah dan subjek-subjek dalam bidang berkenaan yang menimbulkan persoalan kualiti dan kecekapan tenaga akademik, pentadbiran dan pelbagai lagi.

c)      akan ujudnya `brain drain’, di mana berdasarkan pengalaman, institusi baru ini akan mencubit tenaga akademik IPTA dan IPTS sedia ada.

d)      akan menimbulkan persoalan bagaimanakah masa depan Institusi baru yang terlalu khusus itu apabila permintaan dan penawaran kerja dalam bidang berkenaan telah `tepu’.

e)    mengenai status institusi di bawah kementerian tertentu yang bakal mengeluarkan ijazah, apakah ianya boleh dikategorikan sebagai IPTA atau IPTS?

Implikasi negatif  akibat kewujudan trend Kementerian atau organisasi  mewujudkan institusi mengeluarkan Ijazah masing-masing patut dimaklumkan kepada rakyat secara meluas supaya ia tidak menjadi program separuh jalan dan selepas itu menjadi gajah putih yang akan bakal dipersoalkan oleh pembayar cukai.

IPTA yang telah diwujudkan mempunyai wawasan yang jelas demi memenuhi hasrat Dasar Pelajaran Kebangsaan.  Kekurangan-kekurangan yang ada hendaklah dibaiki, bukan dengan cara menubuhkan Universiti (atau apa jua nama yang seerti dengannya) dengan skopnya begitu kecil sekali. Jalan keluar masih ada iaitu dengan mengadakan kerjasama dengan universiti sedia ada.

Implikasi yang lebih besar adalah bahawa dengan penubuhan IPT oleh pelbagai kementerian akan membawa maksud bahawa Kementerian Pengajian Tinggi yang baharu berumur dua tahun ini sudah tidak relevan lagi.

Oleh itu dicadangkan supaya kerajaan tidak membenarkan mana-mana pihak atau mana-mana Kementerian selain daripada Kementerian Pengajian Tinggi, menubuhkan institusi pengajian tinggi yang menawarkan ijazah bernaung di bawah mereka bagi mengelakkan pelbagai kerugian kepada negara dalam usaha mencapai status hub kecemerlangan pengajian tinggi serantau.

Nota

Memorandum ini merupakan hasil Perbincangan Meja Bulat Hala Tuju Institusi Pengajian Tinggi yang diadakan di Bilik Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 16 Julai 2006, jam 9.30 pagi hingga 11.30 tengahari  (ahli meja bulat: lihat muka sebelah). Konteks memorandum ini dan jawatan ahli perbincangan meja bulat, berdasarkan kedudukan semasa pada tahun 2006).

AHLI PERBINCANGAN MEJA BULAT

HALA TUJU PENGAJIAN TINGGI

1. Dato’ Dr Nordin Kardi                                                   (Pengerusi)

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM)

Merangkap Presiden Penaja Persatuan Universiti Malaysia

2.  Prof. Dato’ Dzulkifli bin Abdul Razak

Naib Canselor

Universiti Sains Malaysia (USM)

Merangkap Presiden Majlis Naib Canselor Malaysia

3.  Prof. Dato’ Dr. Ramlah Adam

Ketua Eksekutif

Kolej Yayasan Melaka

4. Dato’ Shagul Hamid Abdullah

Ketua Pengarah

Biro Tatanegara (BTN)

5. Prof. Madya Datuk Dr. Ahmad Faiz Abdul Hamid

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

UUM

6. Prof Dr Aminah Ayob

Timbalan Naib Canselor (Akademik) UPSI

(Wakil Naib Canselor)

7. Prof. Madya Dr. Abdul Razak Chik

Timbalan Naib Canselor

(Hal Ehwal Akademik dan Pengantarabangsaan) UUM

8. Dato’ Prof. Dr. Shahol Hamid Abu Bakar

Timbalan Naib Canselor (A)

Universiti Teknologi MARA (UiTM)

(Wakil Naib Canselor)

9.  Prof. Madya Dr. Zul Azhar

Timbalan Rektor (P & I)

Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM)

(Wakil Rektor)

10. Prof. Hamdan Suhaimi

Timbalan Rektor

Kolej Universiti Sains & Teknologi Malaysia (KUSTEM)

(Wakil Rektor)

11. Prof. Datuk Dr. Khalid Yusoff

Dekan

Fakulti Perubatan UiTM

12. Datuk Saifuddin Abdullah

Pengerusi Akademi Belia

13. Prof. Dr. Ding  Choo Ming

Senior Research Fellow ATMA

Universiti Kebangsaan Malaysia

14.  Dr. Haji  Mahmood Bin Jaafar

Director

International Universiti College of Technology Twintec (IUCTT)

Urus Setia

  1. 1. Harun Amin
  2. 2. Anuar Mahayudin Mokhtar
  3. 3. Kori Ariff