Tag Archives: apex

Universiti dan Kuasa Badan Berkanun

DALAM tulisan saya terdahulu yang menyentuh isu kemunculan universiti apex Malaysia, saya ada mengemukakan beberapa cadangan bagaimana impian itu boleh dilaksanakan. Apabila ianya muncul nanti, universiti apex itu bukan sekadar ‘apex’ melalui pengisytiharan kerajaan Malaysia, sebaliknya apex yang mendapat pengiktirafan dunia melalui beberapa proses lazim yang dilalui oleh universiti unggul di dunia. Dalam cadangan itu saya kemukakan beberapa model atau pakej yang boleh dijadikan panduan.

Kali ini, saya ingin menimbulkan semula isu yang suatu ketika dahulu menjadi perbincangan yang sangat meriah mengenai universiti awam di Malaysia. Isunya ialah isu pengkorporatan pengajian tinggi. Setelah mendapat tempat yang begitu meluas dalam ruangan-ruangan media, selain menimbulkan sedikit histeria di kalangan ahli komuniti universiti, isu itu akhirnya tenggelam sepi. Pengkorporatan yang diimpikan atau dirisaukan hanya berkesudahan dengan pengenalan istilah Lembaga Pengarah Universiti (LPU) bagi menggantikan Majlis Universiti (MU), sementara perkara-perkara pokok yang lain kekal tidak berubah.

(tulisan ini telah disiarkan di ruangan rencana, 1/11/2007 Utusan Malaysia)

Pengalaman pengkorporatan universiti tentulah berbeza dengan pengalaman Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Telekom Malaysia yang masing-masing menjadi Tenaga Nasional dan TM. Pengalaman Abu Zarin, sebagai Ketua Pengarah LLN dahulu, tentulah berbeza dengan cara Che Khalib, CEO Tenaga Nasional Malaysia sekarang. Sedangkan cara Ungku Aziz menerajui Universiti Malaya beberapa tahun yang silam mungkin masih dipakai oleh Rafiah Salim sekarang.

Apakah yang menghalang universiti daripada mengalami transformasi seperti yang dialami oleh beberapa badan berkanun yang benar-benar dikorporatkan? Isunya selalu kembali kepada ringgit dan sen. Banyak isu yang terbit dan berlegar di sekitar perkara paling pokok itu. Kalangan pelajar dan ibu-bapa menjadi murung kerana bimbang yuran pengajian dan sara hidup mahasiswa akan meningkat dengan mendadak. Para pensyarah pula bimbang kalau-kalau skim gaji baru mereka akan dibezakan mengikut bidang yang mempunyai nilai ekonomi dengan yang tidak.

Apakah kaitan isu ini dengan isu mewujudkan universiti apex? Kaitannya ialah: sama ada universiti apex yang bakal diwujudkan itu nanti akan menikmati status seperti Tenaga Nasional dan TM? Bolehkah nanti universiti apex itu mendapat autonomi seperti dua contoh badan korporat yang telah saya sebutkan itu? Bolehkah nanti Naib Canselor univerisiti apex diberikan kuasa ‘hire’ dan ‘fire’ dengan tidak perlu melalui proses di Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perkhidmatan Awam? Mereka juga boleh mempunyai skim gaji sendiri berdasarkan ROI (return on investment) institusi? Bolehkah mereka mempunyai urus tadbir kewangan sendiri tanpa terikat sepenuhnya kepada arahan-arahan perbendaharaan?

Jika hal yang disebutkan itulah yang dipinta oleh universiti apex dan universiti-universiti awam yang lain juga, ia bukanlah permintaan baru. Sebaliknya, ia suatu permintaan untuk mengembalikan universiti awam menikmati statusnya di bawah undang-undang badan berkanun dengan tujuan-tujuan asalnya ia diatur sedemikian. Pada ketika ini universiti awam dijadikan sama seperti jabatan-jabatan kerajaan persekutuan yang lain, sedangkan Akta Badan Berkanun menjanjikan autonomi kepadanya. Isu perjawatan, kewangan, urus tadbir, semuanya telah mengguna pakai pelbagai pekeliling perkhidmatan awam dan perbendaharaan. Hampir tidak ada Lembaga Pengarah Universiti yang berani membuat keputusan tidak mengguna pakai pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan dalam siri PPA dan “TI’, sampailah kepada hal jadual waktu masuk dan keluar bekerja.

Di dalam ‘Pelan Strategik Pengajian Tinggi, Bahagian B-Tunggak Institusional’, halaman 19, ada disebutkan frasa berikut: “Pada tahun 1998, satu cadangan telah dibuat untuk menjadikan IPTA sebagai entiti korporat. Walau bagaimanapun, perubahan ini tidak dapat dilaksanakan atas alasan tertentu. Pada masa ini, amalan pentadbiran berpusat tidak begitu sesuai. LPU terus berfungsi sebagai majlis universiti tetapi tidak mempunyai kuasa bertindak seperti lembaga korporat. Pindaan akta berkaitan perlu dibuat bagi menjelaskan bidang kuasa lembaga pengarah universiti dengan terperinci. LPU akan dipertanggungjawabkan dengan prinsip pentadbiran seperti yang diamalkan oleh badan perniagaan korporat’. Ini suatu yang menjanjikan kegembiraan.

Jika diteliti asal usul akta badan berkanun (termasuk universiti) jelas dinyatakan bahawa akta tubuh badan berkanun mempunyai autonomi di bawah kuasa Menteri mengikut Ministerial Function Act 1969 (Akta 2) pindaan tahun 1999. Laporan Ketua Audit Negara mengenai badan berkanun, 2005 jelas menyebutkan tentang autonominya setiap badan berkanun: ‘Bidang kuasa sesebuah Badan Berkanun Persekutuan adalah luas dan antaranya boleh membuat pinjaman, memberi pinjaman, melabur, menubuhkan syarikat subsidiari, kumpulan wang, akaun amanah dan melaksanakan program atau aktiviti tertakluk kepada akta tubuhnya’.

Laporan itu juga menegaskan bahawa, ‘Universiti sebagai badan berkanun sepatutnya boleh menggubal peraturan kewangan, sistem dan prosedur sendiri serta menetapkan polisi perakaunan selagi tidak bercanggah dengan piawaian perakaunan yang diterima umum. Badan Berkanun Persekutuan adalah tidak tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan dan sebarang pekeliling kerajaan kecuali yang khusus berkaitannya’. Tegas, bahawa hanya pekeliling mengenai badan berkanun yang boleh dipakai bukan pekeliling umum kepada semua jabatan kerajaan persekutuan.

Oleh itu, sangat jelas bahawa banyak kuasa boleh dikembalikan kepada menteri dan universiti tanpa perlu ada akta-akta baru yang dicadangkan untuk diwujudkan. Memadai sekiranya Menteri mengarahkan Lembaga Pengarah dan eksekutif universiti menyemak semula secara menyeluruh peraturan-peraturan universiti, terutamanya berkaitan perjawatan, perkhidmatan dan kewangan yang telah diadaptasi daripada Pekeliling Perkhidmatan Awam dan Pekeliling Perbendaharaan untuk diubah semula dengan tujuan mengembalikan kuasa autonomi kepada univerisiti. Ini mudah dilakukan dengan hanya melalui keputusan-keputusan Lembaga Pengarah Universiti tanpa perlu menteri meminta Parlimen meluluskan akta baru yang prosesnya akan lebih panjang.

Saya pernah berbual dengan Che Khalib, CEO TNB yang UUM telah lantik bagi menasihati UUM dalam satu program akademik. UUM tertarik melantik beliau berdasarkan pengalaman beliau ‘turn around’ Keretapi Tanah Melayu, KUB dan sekarang Tenaga Nasional. Semasa perbualan itu kami ada berbincang tentang beberapa perkara penting termasuk bagaimana cara mencemerlangkan univerisiti. Beliau bersetuju antara lain bahawa kuasa kewangan dan perjawatan adalah amat kritikal bagi seseorang Ketua Eksekutif. Jika kuasanya dalam aspek itu terlalu terhad, sehebat mana pun personaliti Ketua Eksekutif itu, dia tidak akan boleh ‘turn around’ sesebuah organisasi yang sakit.

Bayangkan bagaimana saya boleh berkesan di UUM jika saya hanya hendak melantik seorang profesor dari luar negeri saya terpaksa melalui proses sekurang-kurangnya setahun melalui pelbagai birokrasi di KPT, JPA dan diskrutini pula oleh LPU. Munasabahnya, pihak Kementerian dan JPA bolehlah memberi panduan peraturan umum, LPU meneliti ‘output dan KPI’, sementara Ketua Eksekutif pula hendaklah diberi kebebasan menguruskan proses. Sewajarnya, jika Profesor yang dilantik oleh eksekutif tidak berprestasi atau tidak memenuhi KPI, LPU kemudiannya bolehlah meminta eksekutif untuk menamatkan perkhidmatan profesor tersebut atau mengeluarkan celaan kepapda eksekutif kerana tidak melaksanakan proses dengan sebaiknya. Ketua Eksekutif dinilai melalui outputnya bukan proses, kecuali hal yang berkaitan salah laku.

Oleh kerana ‘nature’ IPTA berbeza-beza antara satu sama lain, maka adalah kurang bijak jika Kementerian Pengajian Tinggi yang menyediakan suatu KPI seragam. Sebaiknya Kementerian hendaklah memberi kepercayaan kepada LPU yang dilantiknya untuk menggubal dan memantau KPI untuk universiti berkenaan. Dengan cara begini Kementerian juga boleh menilai sejauh mana kebijaksanaan dan kefahaman setiap individu LPU yang dilantik di bawah kuasa menteri dalam memainkan peranan mereka sebagai ahli LPU yang berkesan. Keputusan untuk melantik atau menyambung tempoh ahli LPU hendaklah berasaskan prestasi mereka dalam aspek ini. Ketua Eksekutif pula bolehlah ditamatkan atau tidak disambung perkhidmatan jika berlaku salah laku atau kerana tidak memenuhi KPI yang mewakili indeks ‘output’. Semua ini telah ada peruntukan dalam akta tubuh dan ‘spirit asal penubuhan’ badan berkanun yang boleh dikembalikan semula. Tujuan asal mengapa diwujudkan badan berkanun ialah untuk memendekkan proses pelaksanaan pelbagai agenda penting kerajaan dan negara, tetapi perlaksanaannya kini mengambil masa yang lebih panjang.

Saya berpengalaman mengetuai sebuah jabatan penuh kerajaan persekutuan dan sekarang menerajui universiti sebagai sebuah badan berkanun dan dapat membuat perbandingan peribadi, walaupun mungkin tidak semestinya representatif. Saya mendapati, semasa mengetuai jabatan yang lama, banyak proses berjalan dengan lebih cepat berbanding tanggungjawab saya sekarang. Dalam aspek perjawatan, contohnya, saya berurusan terus dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan dalam aspek kewangan saya berurusan terus dengan Perbendaharaan. Ketua Jabatan saya pada ketika itu, iaitu Ketua SetiausahaNegara, menasihati saya dan ‘facilitate’ cadangan-cadangan yang saya kemukakan. Semuanya berlaku cepat. Sekarang, saya harus melalui Majlis Eksekutif Universiti (dalaman universiti), melalui LPU dan melalui Kementerian, sebelum saya sampai ke JPA dan Perbendaharaan.

Kalau dahulu saya hanya perlu menjelaskannya kepada ‘immediate boss’ sekarang saya perlu menjelaskannya kepada sangat banyak orang. Prestasi saya dahulu sebagai Ketua Pengarah dinilai oleh dua orang, yang saya sentiasa boleh menyemak dan berbincang kelemahan-kelemahan saya, dan sekarang saya tak tahu siapa dan berapa banyak yang menilainya. Jika lebih dipercayai bahawa Ketua Eksekutif sesuai dinilai oleh banyak orang yang ada kepentingan (stake-holders), seperti pemegang saham, mungkin elok universiti mengadakan mesyuarat agong tahunan sama seperti amalan Universiti Malaya pada masa lalu atau seperti kewajipan semua badan-badan perniagaan sekarang.

Rumusannya, mengambilkira cadangan Pelan Strategik Pengajian Tinggi yang antara lain meminta supaya univerisiti diberi ‘empowerment’ (tidak disebut autonomi) untuk menjadi cemerlang, mungkin baik jika disemak semula kuasa-kuasa sedia ada di universiti yang diperuntukkan di bawah akta badan berkanun. Kesudahannya, boleh jadi banyak perkara yang dituntut telah pernah ada di universiti, tetapi melalui peredaran masa orang universiti telah menyerahkan perkara yang dituntut itu kepada pihak lain. Atas alasan inilah saya selalu mengajak rakyat Malaysia melihat hal-hal ‘indigenous’ juga selain mesti membuat rujukan-rujukan di dunia luar. Kerap kali kebijaksanaan tempatan ‘terlepas pandang’ kerana terlalu takjub melihat ukuran-ukuran luar.

Pengalaman autonomi universiti di Britain dengan tradisi ‘Royal Charter’ yang memberi kuasa pemutus kepada universiti sama dengan ‘Royal Charter’ yang diberikan kepada Syarikat Hindia Timur Inggerís yang menakluk negeri-negeri di Asia mungkin boleh diambil kira. Atas semangat yang sama bolehkah universiti di Malaysia menikmati kuasa sekurang-kurangnya menyamai syarikat-syarikat GLC Malaysia melalui akta tubuh badan berkanun?

Tradisi Ivy atau Oxbridge

USAHA kerajaan Malaysia hendak mewujudkan sebuah dua universiti apex seperti yang dinyatakan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi sangat merangsang fikiran. Mungkin rakyat Malaysia, terutamanya kalangan intelektual, berdebar menunggu apakah modeliti yang bakal digunakan oleh Malaysia. Adakah Malaysia akan mencipta modelitinya sendiri bagi melahirkan universiti apex atau akan menyerah sahaja kepada pelbagai badan pengeluar ‘ranking’ seperti akhbar Times Higher Education Supplement (THES) dan banyak lagi.

Raffles dalam Memoir Lady Raffles hampir dua ratus tahun yang lalu menyatakan bahawa beliau pernah bercadang mendirikan sebuah universiti di Malaya yang bukan hanya untuk Malaya sebaliknya untuk region yang melewati sempadan Malaya. Alasannya ialah wilayah ini tidak sekali-kali kekurangan tradisi ilmu tinggi berbanding apa yang ada di Eropah. Yang perlu ialah sebuah institusi yang boleh mengumpul ilmu tinggi di wilayah ini ke dalam suatu sistem, iaitu universiti. Jika pendapat Raffles ini diyakini juga oleh para pemimpin Malaysia sekarang dalam melihat pengajian tingginya, dijangka universiti apex Malaysia akan muncul dengan modelitinya sendiri.

(tulisan ini telah disiarkan di ruangan rencana, 25/09/2007 Utusan Malaysia)

Sebagai panduan untuk mencari modeliti universiti apex Malaysia, kita mungkin boleh merujuk sekurang-kurangnya tiga modeliti universiti yang boleh dipanggil sebagai apex di dunia: model Bologna-Paris di Eropah, model Ivy League di Amerika Syarikat dan model Oxbridge di Great Britain. Meneliti model-model ini, kita akan menemui kepelbagaian asal-usul kewujudannya.

Model Bologna-Paris menunjukkan kewujudannya berdasarkan keutamaan pengajian. Paris menekankan teologi kerana dia diwujudkan oleh kuasa gereja bagi melahirkan ahli agama, sementara Bologna menekankan ‘hujah’ atau reason yang kemudiannya mencipta undang-undang kanun. Bologna diwujudkan oleh golongan yang sudah sedia intelektual. Dari sana mereka menjadi universiti apex seawal 200 tahun sebelum Melaka dibuka. Jika ini modelitinya, universiti apex di Malaysia mungkin akan memilih sebuah universiti liberal arts dan sebuah universiti khusus atau teknikal. Kedua-duanya akan menyumbang kepada pembinaan tamadun hadapan Malaysia melalui dua jalur garisan selari, tetapi tidak sama.

Bagi model Oxbridge pula, tradisinya penuh dengan tradisi persaingan. Oxford dilahirkan apabila rakyat England yang asalnya mahasiswa di Universiti Paris dihantar pulang, antaranya kerana ada konfrontasi istana di antara dua negara. Selain daripadanya, mereka ingin bebas daripada kekuasaan gereja terhadap universiti. Sebelumnya England tidak ada universiti.

Universiti Cambridge pula tertubuh daripada larinya mahasiswa dan guru di Oxford kerana sekali lagi inginkan kebebasan daripada kuasa mahkota. Oleh kerana sejarah yang demikian, persaingan sentiasa menjadi sengit. Jika modeliti ini pula dipilih oleh Malaysia, universiti apex ini nanti akan muncul atas perlumbaan sengit sesama universiti yang ada di Malaysia kini dan akan datang.

Model Ivy juga sangat menarik diperhatikan. Universiti Ivy di Amerika Syarikat kini terkenal sebagai antara sepuluh universiti teratas dalam ranking dunia. Lapan buah universiti dikelompokkan dalam kumpulan ini iaitu Universiti Brown, Columbia, Cornell, Dartmouth, Harvard, Pennsylvania, Princeton dan Yale.

Yang saya katakan menarik ialah konsep Ivy tidak berasal daripada kecemerlangan ilmiah sebaliknya adalah bermula daripada liga sukan. Oleh itu, berbeza dengan tradisi Oxbridge yang saling bersaingan idea, tradisi Ivy lebih berbentuk bagaimana mereka boleh bekerjasama menganjurkan sukan. Yang bersaing ialah sukannya tetapi mereka bersatu dari segi organisasi. Melalui kerjasama organisasi ini, mereka kemudian berjaya menjadi cemerlang dalam bidang ilmiah sehingga Lord Robins, yang mengkaji semula kedudukan pengajian tinggi di England, mengakui bahawa universiti di Amerika Syarikat, walaupun telah ditubuhkan oleh kuasa kolonial Inggeris, telah jauh berada di hadapan berbanding universiti negara bekas penjajahnya. Perlu diulang sebut bahawa tradisi Ivy tidak berasaskan tradisi persaingan.

Satu perkara yang wajar diperhatikan ialah, kesemuanya – Paris-Bologna, Oxbridge dan Ivy tidak muncul melalui pengisytiharan kerajaan. Sebaliknya mereka muncul melalui proses yang sangat natural.

Rakyat Malaysia menunggu adakah kerajaan akan mengisytiharkan universiti yang akan menjadi universiti apex seperti sebuah negeri di Malaysia pernah mengisytiharkan negeri itu sudah menjadi negeri maju sepenuhnya, atau sama seperti kerajaan mengisytiharkan beberapa universiti sebagai universiti penyelidikan tidak lama dulu. Walaupun cara seperti ini tidak begitu biasa berlaku di negara yang sudah maju sepenuhnya, ia tidak akan pelik jika berlaku di Malaysia dan ia bukanlah suatu kesalahan. Ini mungkin acuan kita dan kita tidak perlu rasa bersalah dengan cara itu kerana budaya kita memang kaya dengan tradisi ceremonial. Tentulah nanti akan ada acara gilang-gemilang untuk melancarkan universiti apex itu.

Beberapa modeliti yang telah saya kemukakan mungkin boleh menjadi panduan pemimpin kerajaan dalam membuat persediaan sebelum memutuskan bagaimana universiti apex Malaysia harus muncul.

Jika model Bologna-Paris hendak dipilih, kerajaan boleh melihat beberapa alternatif. Antaranya mungkin kombinasi universiti awam-universiti swasta, kombinasi liberal arts-teknikal atau khusus, dua atau lebih universiti tertua, dan ada beberapa cara lagi.

Jika model Oxbridge hendak digunakan, mungkin boleh dicari apakah ada ideologi tertentu yang saling bertentangan antara universiti di Malaysia seperti ideologi ekonomi, ideologi agama, ideologi falsafah dan sebagainya. Tujuannya supaya negara akan sentiasa mendapat yang terbaik daripada dua aliran pendapat yang sentiasa berbeza dalam melihat pelbagai isu ilmu, kemasyarakatan dan keagamaan. Apabila negara berada di persimpangan, misalnya menghadapi kemelut ekonomi seperti yang pernah berlaku pada tahun 1997, dua universiti akan berperang bagaimana cara untuk menghadapi masalah itu. Apabila bajet dibentangkan, dua universiti ini akan sentiasa memberi pendapat yang bertentangan. Demikian pula dalam mengeluarkan fatwa keagamaan. Akhirnya negara boleh memilih yang paling sesuai dan praktikal untuk kesejahteraan rakyat.

Jika Malaysia ingin berinovasi dengan cara Ivy pula, mungkin kerajaan boleh menggabungkan beberapa universiti yang sudah sangat kuat. Bayangkan apa akan terjadi jika Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), yang telah diakui kekuatan mereka dalam penyelidikan di Malaysia, digabungkan menjadi sebuah universiti sahaja dengan empat kampus berlainan. Jumlah pelajarnya akan menjadi 90,000 orang.

Jumlah pensyarahnya yang juga saintis akan menjadi lebih 8,000 orang di bawah satu bumbung pentadbiran. Nilai aset keempat-empat universiti itu jika disecuritize akan bernilai lebih RM10 bilion. Universiti baru itu boleh berdiri sendiri dari segi kewangan bukan setakat seperti sekarang menyumbang 20 peratus untuk belanja operasi setiap tahun. Saya fikir universiti baru hanya memerlukan satu malam untuk mendapat tempat sepuluh universiti terbaik di dunia. Kerajaan Malaysia tidak perlu menunggu lama untuk hal ini terjadi.

Jika penggabungan ini berlaku, beberapa universiti lain di Malaysia juga mungkin sesuai digabungkan mengikut suatu cara tertentu. Contohnya, semua universiti yang muncul pada atau selepas tahun 1980 boleh digabungkan menjadi sebuah universiti yang mengamalkan sistem federal seperti sistem University of California, State University of New York (SUNY) dan sistem University of Wales.Ini bermakna, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan beberapa lagi universiti yang asalnya kolej universiti akan digabungkan menjadi sebuah universiti sahaja dengan sistem cawangan. Atau, suatu cara lain ialah semua universiti teknikal dengan diketuai oleh UTM akan bergabung menjadi sebuah universiti teknikal unggul seperti Universiti CALTEC atau yang boleh setara MIT di Boston.

Pada kesudahannya hanya ada lima sistem universiti sahaja di Malaysia iaitu Sistem Universiti Nasional Malaysia atau ‘Malaysia National University System’ (UM, UKM, UPM, USM, UTM), Universiti Teknologi Mara, Sistem Universiti Malaysia Moden atau ‘Modern Malaysia University System’ (UUM, UMS, UNIMAS, UMT, UMAP dan lain-lain), Universiti Syarikat Berkepentingan Kerajaan atau Malaysia GLCs’ University (MMU, Universiti Petronas, Universiti Tenaga, Universiti Islam) dan universiti swasta. Bayangkan kekuatan lima sistem itu belayar (bukan bersaing) di pentas dunia.

Cara berfikir begini mungkin asing bagi mereka yang sentiasa memikirkan persaingan seperti tinju satu lawan satu sesama sendiri dalam dunia akademik. Bagi mereka yang memilih untuk belayar di lautan biru yang luas, mereka akan melihat kekuatan bahtera universiti Malaysia melayari lautan ilmu dan bakal menemui sumber kekayaan yang baru. Saya percaya Timbalan Perdana Menteri yang dikatakan berminat dengan Strategi Lautan Biru dapat memahami cadangan ini.

Adakah ini akan menghilangkan tradisi? Memang sebahagian tradisi itu akan hilang dan suatu tradisi baru akan terbina. Bagaimana pula nilai sentimental? Untuk sementara, tentulah akan ada tangisan di sana-sini seperti hilangnya Bank Bumiputera yang kini menjadi CIMB atau seperti Guthrie dan Sime Darby yang akan mungkin mendapat nama baru di bawah Synergy Drive. Soalannya mudah: Mahukah? Beranikah? Namun jawapannya tentulah tidak semudah menyoal.