Category Archives: Uncategorized

Sebarkanlah Kebaikan Bukan Melanjutkan Permusuhan

SAYA menerima pesanan ringkas daripada rakan karib saya semenjak kami remaja bernama Dr Hasan yang berasal dari Pontian. Sekarang beliau ialah Setiausaha Agung sebuah badan bukan kerajaan yang di dalamnya puluhan lagi badan-badan mewakili kepentingan Melayu menganggotainya. Pesanan ringkas itu mengajak menyertai perhimpunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur bagi memberi reaksi kepada kenyataan Presiden MCA yang dikatakan sedia berdiri senada dengan DAP bagi menuntut supaya syarat ekuiti bumiputera 30 peratus dalam pelbagai perkara ditiadakan secara beransur-ansur. Akhbar-akhbar juga menyiarkan pelbagai reaksi pemimpin Malayu.

Saya tahu Hasan dari Pontian ini semangat patriotismenya sangat tinggi. Dia tidak berucap berapi-api tapi sangat cekap membuat kerja-kerja operasi. Beliau pernah menjadi penerima Pingat Emas pelajar terbaik sebuah universiti, sebagai tanda dia seorang yang gigih. Oleh cemerlangnya ijazah sarjana mudanya dia terus diterima oleh Universiti London untuk membuat Ijazah Doktor Falsafah, jalan pintas tanpa perlu membuat Ijazah Sarjana. Beliau lulus Doktor Falsafah dalam bidang agronomi tepat pada masanya pada usia yang relatif muda. Personaliti Hasan sangat menawan, pertururannya teratur, budi bahasanya menyenangkan. Namun, Hasan yang saya kenali ada kalanya sangat degil setelah dia membuat sesuatu keputusan, sebab utama mengapa dia tidak lama menjadi pensyarah di sebuah universiti terkemuka di Malaysia.

Dr Chua Soi Lek pula lulusan MBBS Universiti Malaya pada tahun 1973. Untuk terpilih mengikuti pengajian dalam bidang perubatan tentu bukan calang-calang calon. Keputusan HSCnya tentu baik, jika tidak tentu beliau akan terpaksa merayau ke-merata dunia lain mencari tempat yang lebih mudah masuk jika dia telah bulat hati hendak menjadi Doktor Perubatan. Seperti Hasan, Dr Chua juga tidak lama sangat berkhidmat dengan jabatan kerajaan. Siapa tahu, alasannya meninggalkan perkhidmatan kerajaan juga sama dengan Dr Hasan.

Hasan orang Pontian dan Chua dari Batu Pahat. Keduanya tinggal di daerah yang berjiran. Hasan seorang intelektual dan begitu juga Chua. Kedua-duanya mempunyai kebolehan luar biasa untuk merancang strategi dan melaksanakan operasi masing-masing. Hasan mungkin di Kampung Baru dan Chua di Ampang, yang pastinya di Kuala Lumpur. Mereka akan terjun memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing. Gelanggangnya ialah bumi Malaysia yang saya dan keluarga saya juga adalah warganegaranya. Apakah kesudahannya? Apakah hasilnya nanti baik untuk saya dan keluarga saya atau sebaliknya? Oleh baik atau huduh kesudahannya nanti akan tetap tertimpa ke atas saya dan keluarga saya, bolehkah saya berkecuali, tidak mengambil bahagian? Demikian terdesaknya saya dan apakah pendirian saya? Bolehkah saya berkecuali, sedangkan untung nasib saya dan anak-anak saya akan ditentukan oleh tindakan-tindakan mereka? Apakah hak mereka mengheret saya dan orang lain seperti saya untuk menerima akibat daripada permainan fikiran mereka? Saya percaya persoalan seperti ini bermain dalam fikiran orang lain juga.

Kalau Hasan dan Chua dari Pontian dan Batu Pahat, saya pula dari Teluk Intan. Kampung saya bersebelahan dengan Kampung Sungai Manik. Tentu ramai juga yang ingat cerita di Johor dan Perak terutamanya Batu Pahat dan Sungai Manik. Arwah Datuk saya terkenal sebagai ahli silat sendeng. Dia selalu bercerita tentang Kiyai Saleh di Batu Pahat. Kemudian saya membaca buku mengenai Kiyai Saleh. Pada bab-bab tertentu meremang juga bulu roma. Tiga orang yang ada hubungan dengan saya mati dibunuh semasa pemerintahan Bintang Tiga: Cikgu Ajmain, seorang guru, khabarnya dimasukkan ke dalam guni oleh sepasukan Bintang Tiga dan tidak pulang-pulang selepas itu. Cikgu Ajmain, seorang guru, ialah adik kepada ibu arwah ibu saya. Yunan pula, adalah adik kepada datuk saya Haji Abdul Hamid. Yunan gugur dalam pertempuran senjata tangan dengan Bintang Tiga. Haji Sidek adalah seorang guru agama terkenal di daerahnya. Dia juga tidak pulang setelah ditangkap Bintang Tiga. Dia berpesan supaya muridnya, iaitu datuk saya Haji Abdul Hamid menjaga isterinya jika apa-apa terjadi kepadanya. Akhirnya bekas isteri Haji Sidek menjadi nenek tiri saya. Ketiga-tiga mereka menerima nasib buruk itu di Batu Pahat, sezaman dengan Kiyai Saleh yang ceritanya telah dibukukan itu. Khabarnya datuk saya Abdul Hamid juga berperanan di Sungai Manik. Cerita ini membangkitkan semangat saya semasa saya seorang remaja lelaki yang baru membina otot-otot penting.

Sebagai remaja seperti disebutkan, saya meminta supaya datuk saya mengajar saya pencak silat mempertahankan diri dan menyerang. Datuk saya terus mentah-mentah menolak. Katanya orang sekarang tidak lagi bersilat lengan tapi bersilat otak. Saya marah dan merajuk kepada arwah datuk. Hanya kemudian saya tertanya-tanya mengapa dia menolak, bahkan melarang saya belajar silat. Sehingga sekarang saya terus tidak pandai langsung bersilat. Tetapi, ingatannya bahawa orang sekarang bersilat otak sangat berkesan kepada hidup saya.

Semasa remaja juga saya membaca novel kecil cerita rekaan bertajuk ‘Lembing Awang pulang ke Dayang’. Novel itu menceritakan seorang anak muda yang merantau untuk mencari sedikit kesenangan supaya nanti pulang berkahwin dengan tunangnya dan hidup aman. Sebaik pulang, dia mengalami kepedihan hati apabila yang dihadirinya ialah perkahwinan tunangannya, Dayang, dengan orang lain. Orang dahulu, menjinjing buntil bekalan dengan lembing. Dia melejangkan lembingnya ke tengah orang ramai. Yang terkena, mencabut dan melejangkannya pula. Demikianlah berterusan sehingga ramai yang cedera dan mati dan akhirnya singgah di perut ayah Dayang. Ayah Dayang berkata, ‘disinilah akhir lembing ini’ dan dia tidak melejangkan lembing itu seterusnya.

Daripada empat cerita yang saya utarakan: Dr Hasan, Dr Chua, diri saya dan Lembing Awang, saya ingin membuat suatu rumusan berikut: Dr Hasan, sebagai seorang agronomis, menjaga pohon-pohon ujikajinya dengan cermat. Saya sempat melawat makmalnya semasa dia membuat Ph.D di London. Bahannya ialah durian dan mungkin manggis. Bayangkan kalau pohon kecilnya itu cedera tentu susah untuk memperolehi gantinya di London. Dr Chua mengaji bidang perubatan dan saya mengaji psikologi kaunseling. Kedua-dua kami tentu telah membaca ‘sumpah hippocratic’ yang antaranya menyebut sumpah moral supaya tidak menyakiti orang lain walaupun kesakitan itu bagi menyembuhkan. Hasan, Chua dan saya amat tahu kategori moral ‘nonmaleficence’, iaitu larangan supaya jangan sekali-kali kita menyakiti orang lain walaupun tujuan kita untuk membuat kebaikan. Tugas kita kepada manusia lain ialah sentiasa membuat kebaikan, terutamanya apabila menjadi pemimpin. Apabila berlaku dilemma moral yang berkonflik antara memberi autonomi, membuat kebaikan berterusan, larangan menyakiti yang datang serentak, maka utamakanlah dahulu moral menjauhi perbuatan menyakiti. Demikian saya andaikan seorang Doktor Falsafah dan Doktok Perubatan berfikir. Pegangan moral mereka mesti melangit.

Kesimpulannya saya, biarlah Dr Chua menuntut sesuatu untuk kaumnya, biarkan Dr Hasan menyuarakan kepentingan kaumnya tetapi saya tidak akan sekali-kali akan membalas kejadian yang menimpa keluarga saya pada zaman Bintang Tiga dengan lengan saya. Saya bercita-cita untuk membalas kejahatan dengan kebaikan seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi saya atau sekurang-kurangnya menjadi seperti ayah Dayang. Saya berangan-angan untuk, jika berpeluang, untuk menolong Cina miskin supaya keluar daripada kemiskinan mereka. Saya ingin menolong orang Tamil papa yang malang, akibat estet tempat mereka tinggal telah dibina perumahan gergasi, supaya keluar daripada kepapaan mereka. Saya ingin mengeluarkan Cina tak berpelajaran di Ulu Lenggong supaya sampai ke Universiti. Bolehkah Dr Hasan dan Dr Chua melakukan yang sama? Bolehkah Dr Cua tidak mengajak rakan karib saya sekarang Tie Tech Kui ke Ampang dan Dr Hasan tidak mengajak saya ke Kampung Baru. Bolehkah saya yang jemput mereka berdua datang ke Sintok yang dingin ketika ini untuk beberapa hari duduk bertiga memerah otak dan daya intelektual tinggi kita mencari jalan bagaimana menolong Melayu, Cina dan Tamil yang miskin dan tidak berpelajaran keluar daripada kemiskinan dan kejahilan, bukan meneruskan dendam Bintang Tiga dan Lembing Awang?

Saya baharu mengulangkaji teori psikoanalisis Sigmund Freud untuk tujuan mengajar di kelas saya. Antara tajuk yang saya baca ialah helah beladiri ‘reaction formation’. Adakah saya sekarang sedang menggunakan helah beladiri jenis tersebut. Jika benar, saya memerlukan seorang ahli therapist untuk menganalis saya.

(selesai ditulis pada 17 Ogos 2010 waktu isu ini sedang berkocak)

Ucapan Majlis Konvokesyen UUM

KALAU kita baca sejarah yang ada ialah India. Pakistan tidak ada. Tapi oleh kerana mereka ini adalah sama, kaumnya sama, bukan ada orang Melayu di India, semuanya orang India masa itu. Tapi hanya kerana mungkin perbezaan agama, pada hal mungkin adik beradik pun mereka ini, lalu orang Hindu dan orang Islam berperang. Orang Hindu tidak selesa hidup dengan orang Islam, orang Islam pun kata tidak boleh hidup aman dengan adanya orang Hindu di sebelah. Akhirnya berlakulah pemecahan India satu majoriti Hindu, satu majoriti Islam yang dinamakan Pakistan.

Ditubuhkanlah apa yang dipanggil Republik Islam Pakistan atas alasan hanya apabila hidup berasingan barulah kita jadi aman. Republik Islam pun ditubuhkan. Apabila ditubuhkan Republik Islam Pakistan, India yang majoriti Hindu, saling takut-menakuti antara satu sama lain. Orang Hindu takut Islam akan meyerang dan orang Islam juga takut orang Hindu akan menyerang. Lalu mereka menggunakan sumber kewangan negara untuk membina persenjataan.

Sekarang India menjadi sebuah negara nuklear. Pakistan juga menjadi sebuah negara nuklear tetapi hampir 50 tahun mereka menghabiskan wang itu untuk membeli benda persenjataan sehinggakan mereka lupa menggunakan wang itu untuk membangun manusia, rakyat jelatanya. Berbalik kepada Pakistan yang menyatakan kita hanya boleh hidup dengan aman kalau sekiranya kita tidak bercampur dengan orang lain, rupanya tidak begitu kesudahannya. Dalam masa yang singkat sahaja orang Islam sesama orang Islam berperang, lalu muncullah sebuah negara baru yang bernama Bangladesh, yang asalnya Pakistan. Pengajaran ini harus menjadi iktibar kepada kita sama ada kita sanggup atau tidak untuk hidup bersama walaupun kita berbeza agama, berbeza kulit, mungkin berbeza asal usul. Alhamdulillah kita telah menjaganya setakat ini adakah kita mahu merosakkannya.

Di timbulkan isu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada masa ini, pada hal mungkin kalau kita merenung secara mendalam DEB itulah yang menyelamatkan kita dapat hidup aman dari tahun 70-an sehingga sekarang selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kenapa saya katakan begini? Peristiwa 13 Mei berlaku akibat daripada ketidakpuasan hati sesama macam-macam kaum yang ada dalam negara kita. Lalu DEB diperkenalkan yang mungkin kaum lain, pada ketika itu memang sangat ragu-ragu dengan apakah niat DEB. Bahkan banyak yang menentang. Tetapi rupanya DEB telah ditekankan dia tidak akan merampas hak sesiapa, sebaliknya kita memperbesarkan kek ekonomi dengan menumpukan tenaga untuk pembangunan ekonomi.

Sebagai contoh apa yang dimaksudkan dengan memperbesarkan ekonomi. Mungkin anak-anak muda di sini tidak faham. Satu-satunya universiti yang ada sebelum tahun 1970 ialah Universiti Malaya (UM). Jumlah pelajarnya ialah 5,000 orang. Jumlah pelajar Bumiputera di Universiti Malaya terutama dalam bidang sains ialah empat peratus sampai ke tahun 70. Bermakna tiap-tiap 100 orang pelajar di Universiti Malaya hanya ada empat orang Melayu Bumiputera pada tahun 70 walaupun dia telah ada di situ semenjak tahun 63. Mungkin kaum lain akan marah apabila datang DEB dengan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus Bumiputera di universiti. Kemudian pada tahun 1981 dasar itu diubah di IPT supaya 51/45, tetapi rupanya banyak orang bukan Melayu/bukan Bumiputera menyedari selepas beberapa tahun tidak terlampau buruk.

Kalau sekiranya orang bukan Melayu kekal hendak 96 peratus tempat di universiti, mesti diberi kepada orang bukan Bumiputera berdasarkan kepada merit. Ok, tetapi 94 peratus daripada 5,000. 94 peratus daripada 5,000 mungkinlah dalam 4,500 bukan Bumiputera, dan ada dalam 500 untuk Bumiputera. Dan itu kekal sehingga sekarang mungkin iaitu hanya ada 4,500 walaupun mengekalkan peratusan 96 peratus, tetapi memperbesarkan kek ekonomi bererti sekarang kita ada 20 universiti. Walaupun ia hanya mungkin 45 peratus atau 40 peratus bukan Bumiputera tetapi 40 peratus daripada 200,000. Dia sudah menjadi hampir 100,000, jadi yang mana yang kita nak, real number atau percentage? Pada hal kita belajar, statistics can be abused. Peratusan mungkin kita lihat besar tetapi nombor sebenar bagaimana? Adakah kita nak kekal 4,000 atau kita nak dapat 90 ribu orang pelajar bukan Bumiputera di dalam universiti. Inilah yang harus difahami apakah maksud memperbesarkan kek ekonomi yang menjadi inti kepada DEB.

Yang kedua, mulai tahun 1970 juga disasarkan supaya Bumiputera akan memiliki 30 peratus daripada kekayaan di dalam negara. Pada masa itu Bumiputera hanya ada 2.4 peratus dalam tahun 1970. Bermakna kalau ada 100 ringgit di dalam negara, milik Bumiputera pada masa itu hanya ada RM2.40. Cakap Kedah kata dua ringgit empat kupang. Tapi bukan semuanya pula milik bukan Bumiputera. Milik bukan Bumiputera ialah 30 ringgit atau 30 peratus. Negara kemudian bukannya kerajaan orang Melayu tetapi kerajaan yang bersama-sama berkongsi pada ketika itu memutuskan keadaan ini tidak elok untuk negara, lalu dicari formula hak Bumiputera di dalam milik ekuiti, hendaklah ditingkatkan kepada 30 peratus. Ia dibuat bukan melalui paksaan tetapi melalui peluang-peluang yang disediakan untuk mereka boleh memajukan diri, dan tempoh yang diberikan ialah 20 tahun. Menjelang tahun 1990, angka disemak semula didapati Bumiputera memang mengalami peningkatan. Semua kita adalah hasil daripada DEB. Kadang-kadang kita lupa. Peningkatan telah berlaku daripada RM2.40 ekuiti Bumiputera di dalam tiap-tiap RM100 di dalam negara pada tahun 1990, telah meningkat menjadi RM22, walaupun tidak mencapai RM30. Akibat daripada serangan ekonomi tahun 1997, angka berkenaan merosot menjadi lebih kurang 18.6 peratus ataupun RM18.60 sekarang.

Tapi apabila kita lihat pula bukan Bumiputera yang dahulu ianya RM30 telah meningkat dalam tahun 1990 menjadi RM36. Bukan tidak meningkat mungkin peratusan peningkatan tidak seperti mana peningkatan Bumiputera sebanyak 20 peratus tetapi dia meningkat daripada 30 peratus hingga ke 36 peratus, kemudian akibat daripada serangan ekonomi, bukan Bumiputera juga turun semula kepada 34 peratus. Jadi bermakna kedua-dua pihak boleh membawa keuntungan melalui formula ini. Semua orang dapat. Bagaimana semua orang boleh dapat?

Kita ambil contoh, saya pun dulu pernah sebut contoh ini. Katakan sebuah Rancangan FELDA membuka mungkin 500 hektar tanah di hutan Pahang untuk Bumiputera. Projek FELDA ini untuk Bumiputera. 500 hektar tanah, kemungkinan boleh memuatkan kira-kira 400 penghuni-penghuni FELDA yang terdiri daripada mungkin orang Melayu dari kampung-kampung. Negara mungkin terpaksa berbelanja mungkin juga RM100 juta. Jadi RM100 juta diluluskan oleh Parlimen untuk orang Melayu. Ini nampak tidak adil RM100 juta untuk orang Melayu. Sedangkan yang membayar cukai bukan semuanya orang Melayu. Gambaran awal kelihatan tidak adil. Tapi, kepada mereka yang mahu menyelam untuk memahami, didapati bukan tidak adil kerana RM100 juta itu peruntukan untuk Melayu, 500 hektar tanah untuk peneroka FELDA menanam getah. Peneroka FELDA menanam getah akan menunggu tujuh tahun baru getah itu boleh ditoreh yang mungkin mereka dapat masa itu dalam RM700, iaitu selepas tujuh tahun mereka menunggu. Pendapatan bulanan mungkin dalam RM40 sahaja sara hidup mereka pada ketika itu, sebagai peneroka-peneroka awal. Jadi ke mana duit itu pergi?

Walaupun projek itu diluluskan atas nama Bumiputera tetapi apabila tiba kepada menebang hutan masa itu tidak ada Bumiputera mempunyai jentera untuk menebang hutan besar di hutan Pahang. Jadi mungkin habis RM20 juta. RM20 juta serta merta pergi ke tangan bukan Bumiputera untuk menebang hutan. Walaupun projek itu dulu RM100 juta diperuntukkan untuk Bumiputera. Jadi bermakna walaupun projek itu diluluskan atas nama Bumiputera, orang bukan Bumiputera juga memperolehinya. Mungkin seperti saya katakan tadi peneroka FELDA menunggu tujuh tahun untuk memperolehi RM700 sebulan, tapi bukan Bumiputera boleh memperolehi 20 juta dalam tempoh serta-merta untuk menebang hutan.

Selepas hutan ditebang, jalan perlu dibina. Mana ada Bumiputera masa itu boleh membina jalan. RM10 juta pula untuk membina jalan. Habis sudah RM35 juta juga serta-merta. Faedahnya pergi pada semua orang. Selepas jalan dibina, paip air hendak dimasukkan. Habis lagi RM10 juta. Sudah RM55 juga. Selepas paip air dimasukkan rumah-rumah hendak dibina dengan cepat. Lagi RM15 juta sebab tidak ada Bumiputera yang boleh membuat rumah-rumah FELDA dengan cepat. Sekolah kena dibina dan sebagainya. Akhirnya RM100 juta itu habis dapat dinikmati oleh semua orang.

Saya percaya kerana inilah pemimpin-pemimpin pelbagai kaum baik Melayu, Cina dan India yang dulu mereka sangat fahami hal yang seperti ini. Sebab keputusan itu bukan dibuat keputusan berseorangan tapi keputusan semua orang. Akhirnya semua orang rupanya mendapat nikmat walaupun projek itu diluluskan atas nama Bumiputera. Jadi saya amat berharap graduan UUM adalah mereka yang sangat memahami hal seperti ini kerana kalau kita lupa tentang formula seperti ini berkemungkinan kita bukan menyumbang ke arah kebaikan negara, tapi sebaliknya mungkin membawa negara kita ke arah kemerosotan.

Di tempat lain saya tidak dapat bercakap seperti ini mungkin tetapi di hadapan saya ini, saya rasa bertanggungjawab kerana mahasiswa dulunya di sini telah pun diajar dan sekarang akan menjadi graduan yang akan berjuang di tengah-tengah masyarakat. Kami ingin memesankan pesanan yang terakhir sebelum saudara-saudari menjadi anggota masyarakat sepenuhnya di luar sana supaya apabila kita ada masalah, kita kembali kepada mengapakah sesuatu itu dibuat. Mungkin ada alasan-alasan yang kita selama ini tidak faham sehingga menjadikan kadang-kadang membangkitkan emosi dan sebagainya yang bukan bakal membawa kebaikan. Oleh itu saudara-saudari sekalian menjadi kewajipan kita untuk menjaga negara kerana negara tidak jadi seperti ini dengan sendirinya.

Siapa sangka dulu bukan Bumiputera yang dulunya di dalam Perlembagaan negara yang layak untuk menerima bantuan-bantuan kewangan dalam bentuk biasiswa pendidikan ialah Bumiputera, tetapi sekarang kita telah pun dapat menyediakan wang PTPTN misalnya kepada semua orang yang memang layak tidak kira kaum. Proses ini akan berlanjutan, berterusan supaya semua orang merasa mendapat keadilan berdasarkan kepada kerana bukan Bumiputera tiba-tiba terus dapat. Sebaliknya kepada mereka yang layak. Saya misalnya, anak saya ada empat orang. Tiga orang sudah masuk universiti. Ketiga-tiganya saya tidak dapat PTPTN kerana pendapatan saya dikatakan tidak layak menerima PTPTN. Walaupun kadang-kadang pening juga duit pun tidak berapa cukup juga untuk membiayai anak. Tapi oleh kerana saya tidak layak, saya tidak layaklah walaupun saya Bumiputera. Bendahari UUM, Dato’ Maidin Syed Ali menghantar anak beliau ke Indonesia untuk mengambil bidang perubatan juga mungkin tidak layak untuk menerima bantuan dan sebagainya. Terpaksalah mencari kewangan sendiri. Faedahnya ialah untuk generasi akan datang.

Mudah-mudahan satu ketika nanti hal ini tidak akan berlaku lagi kerana masing-masing telah boleh berdiri sendiri tanpa bantuan. Kerana itu diserukan kepada Bumiputera terutama Melayu supaya perlahan-lahan kita buangkan tongkat sokongan ini, kerana andaikan satu ketika nanti tongkat tidak ada lagi bolehkah Bumiputera berdiri sendiri tanpa bantuan. Bolehkah mereka berhubung sesama sendiri antara rakyat dengan rakyat tanpa ada campur tangan daripada kerajaan.

Tapi malangnya sehingga sekarang kalau disuruh rakyat melakukannya secara sukarela supaya bekerjasamalah sesama kaum, ianya tak terjadi sehingga terpaksa dilakukan campur tangan oleh kerajaan. Ianya tidak berlaku walaupun dibuat secara putih hati, sukarela dan jiwa murni. Di dalam kampus pun, saya lihat Bumiputera tidak hendak bergaul dengan bukan Bumiputera, bukan Bumiputera pun bergaul sesama sendiri. Apabila keadaan semuanya menyokong ke arah itu, semua orang berfikir ini adalah baik. Walaupun baik kita keberatan melakukannya sehingga terpaksa diadakan campur tangan daripada pihak pentadbiran dan sebagainya untuk membolehkan saudara-saudari bergaul. Kalau didudukkan satu bilik saja pun seorang yang bernama Ramlah dan seorang lagi bernama Siow Mei Mei, misalnya, akan datanglah ke Pejabat Naib Canselor kerana tidak selesa duduk berbeza kaum.

Pada hal apa salahnya, inilah peluang mungkin pada masa akan datang, manalah tahu saudara-saudari pelbagai kaum dapat membina jaringan perhubungan persahabatan yang akhirnya dapat membina empayar perniagaan di luar kerana dulu dia adalah kawan baik saya. Kalau kita belajar di luar negara hendak sangat pula kita duduk dengan “Mat Saleh” . Kalau kita belajar di United Kingdom atau Amerika Syarikat mahu pula duduk di asrama “if possible I want to live in the same room with student of Mat Saleh, I don’t want to live with my colleagues from Malaysia, but why can’t we do it here in Malaysia”. Kenapa? Bukankah ini tempat yang paling baik kita untuk menyemai benih supaya pada masa akan datang sempadan-sempadan seperti ini akan tiada lagi.

Tapi apabila masing-masing membina kelompok-kelompok, tidak berinteraksi, berfikir di dalam kotak masing-masing. Sorang duduk di dalam bakul, seorang duduk di dalam tempayan, seorang duduk di dalam cerek lalu semuanya kita lihat perspektif kenegaraan dilihat dalam cerek. Perspektif kenegaraan kita lihat dalam bakul, perspektif kenegaraan kita lihat dalam tempayan. Graduan, “graduate”, di Malaysia ini hanya terdiri dalam lingkungan 20 peratus sahaja orang yang seumur, 80 peratus lagi ialah mereka yang tidak berpeluang untuk masuk ke universiti.

Bayangkan kalau yang 20 orang daripada tiap-tiap 100 ini tidak mampu mencorakkan negara yang bakal menikmati kemakmuran dan keamanan apa akan jadi kepada 80 yang lain atau adakah nanti saudara-saudari keluar yang 80 itu akan menggoda saudara-saudari untuk menjadi seperti mereka. Sensitif perkauman, sentimental perkauman, dogmatik kepada ideologi perkauman, saudara-saudari tidak akan dapat melihat anak-anak saudara-saudari dapat duduk dengan aman sebanyak 21 kali di UUM seperti yang telah kita dapat lihat sekarang. Inilah harapan saya. Sebelum saya berhenti daripada berucap saya hendak tunjukkan video klip yang saya telah minta Pejabat Perhubungan Awam menyediakan sebagai barangkali ingatan semula kita kepada perjuangan kita yang belum lagi tamat. Kita belum boleh lagi bermain-main, silakan….

Perjuangan Yang Belum Selesai

Langkah, beribu langkah,
Ke destinasi yang di impi,
Tiba terhenti, tercari-cari,
Haluan arah, yang telah pun musnah,
Harapan tak kesampaian.

Hina, hinanya diri,
Hanya menantikan bantuan,
Bagaimanakah ini terjadi,
Kerdilnya diri bukan lagi tuan,
Inikah rupanya nasib bangsaku.

Langkah demi langkah,
Biarkan bertatih,
Impiankan juga terlaksana,
Martabat diri ini, tiadakan bererti,
Tanpa usaha, janganlah leka.

Mewah negaraku semerbak harumnya,
Renjisan keringat oh bangsaku,
Teruskan langkah ini,
Biarkan ia kekal selamanya…
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya.

Bukankah sejak zaman berzaman,
Mereka menjadi pelaut, pengembara,
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,
Menjadi pedagang dan peniaga,
Selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang?

Bukankah bangsaku pernah mengharung samudera,
Menjajah dunia yang tak dikenal?
Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau,
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian?
Di manakah silapnya?

Langkah demi langkah,
Biarkan bertatih,
Impian kan jadi terlaksana,
Martabat diri ini, tiadakan bererti,
Usahalah, jangan leka.

Mewah negaraku semerbak harumnya,
Renjisan keringat oh bangsaku,
Teruskan langkah ini,
Biarkan ia kekal sentiasa…

Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku,
Kerana masa depan belum tentu menjanjikan syurga,
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa,
Perjuangan kita belum selesai,
Kerana hanya yang cekal dan tabah,
Dapat membina mercu tanda,
Bangsanya yang berjaya.

Saya ini anak kampung. Saya biasa bekerja kampung dan di kampung kebudayaan seni silat dan sebagainya memang menjadi kebiasaan. Datuk saya dikatakan sebagai seorang pendekar, tapi pernah semasa kecil semasa saya sudah kenal orang, saya berjumpa dengan datuk saya, “datuk”, saya kata, “ajarlah saya bersilat”. Datuk saya telah berkata kepada saya, “orang sekarang tidak bersilat-silat lagi. Orang sekarang menggunakan otak”. Jadi saya hairan mengapa datuk saya yang di kampung itu yang disebut-sebut sebagai pendekar tidak mahu menurunkan kependekarannya kepada saya. Rupanya mungkin datuk saya berpesan kepada saya lebih baik kamu tumpu kepada mengaji, belajar mengasah otak. Bukan saya kata bersilat ini tidak bagus, minta maaf saya, tetapi supaya kita berangan-angan pada satu ketika nanti kita akan dapat menolong orang dengan lebih banyak lagi.

Selain daripada mungkin di dalam bentuk semata-mata persilatan. Saya tidak sekali-kali memperkecilkan persilatan tapi maksud saya bagaimanakah cara-cara lain yang, mungkin datuk saya ingin tanamkan kepada saya, yang kamu Nordin boleh mencari jalan dapat menolong orang lain tanpa mengira kaum. Kemudian baru saya faham. Oleh kerana saya orang Islam, saya tidak ada pilihan. Saya mesti bekerja bersungguh-sungguh, jika saya hendak tempat yang mulia sebagai orang Islam yang mati nanti, tempat yang mulia ialah yang paling banyak membawa kebaikan kepada manusia. Agama tidak berkata kepada orang Islam sahaja kerana saya diajarkan bahawa orang Islam yang baik ialah orang Islam yang dapat membawa yang dipanggil sebagai “Rahmatal lilalamin”, rahmat kepada seluruh alam. Bila rahmat kepada seluruh alam bermakna bukan untuk orang Islam sahaja tetapi juga untuk kucing, tikus, babi, biawak, buaya semuanya mendapat rahmat kerana adanya Islam.

Apa lagi orang yang bukan Islam yang mereka juga adalah manusia kerana mereka itu mungkin lebih-lebih lagi sayangnya kita kepada mereka. Jadi inilah yang saya harap terutamanya orang Melayu Bumiputera berazam untuk bangun bukan untuk menindas orang lain, tetapi berazam untuk bangun bagi bagi membolehkan kita sentiasa dalam kedudukan menolong orang lain. Kalaulah misalnya nanti saudara-saudari senang di dalam kehidupan selepas graduat dari UUM, namanya mungkin Abdullah, tiba-tiba dia terdengar di Kampung Ulu Grik ada seorang mungkin Cina miskin namanya Tan Ker Ker atau anaknya bernama Siow Mei Mei. Siow Mei Mei tidak dapat menyambung pelajaran kerana tidak ada duit, saya berharap Abdullah yang akan pergi segera berlari ke Ulu Grik untuk bercakap kepada Tan Ker Ker, jangan bimbang Siow Mei Mei akan dapat belajar. Saya akan membiayainya. Saya harap semua graduan UUM bercita-cita seperti ini. Saya tidak berani untuk menyeru kaum Cina, kaum India nanti kata sebab Nordin orang Melayu, tapi saya juga berharap kalau itu juga dapat dilakukan.

Kalau saudara-saudari mendengar kaum lain mendapat kesusahan, cepat-cepat berlari untuk menolong mereka supaya kita dapat buktikan kepada mereka bahawa bantuan pertolongan kepada manusia tidak ada sempadan berdasarkan kepada kaum supaya dengan demikian bangsa akan dimuliakan dan dihormati. Inilah agak tadi yang disebutkan tadi, perjuangan kita yang belum selesai kerana kita ingin membawa mesej kemanusiaan di dalam negara kita sambil juga membawa mesej kemanusiaan ke seluruh dunia. Inilah formula yang telah kita pegang selama ini. Dan hati-hati, jangan-jangan kita mencari formula yang lain, yang mungkin baik dan mungkin tidak baik untuk kita. Jangan sampai apa yang kita kendong berciciran, apa yang kita kejar tidak dapat. Kita bimbang nanti yang telah tercicir itu tidak dapat dikutip lagi yang telah tidak dapat itu tidak dapat dikembalikan.

Mungkin inilah pesanan kami daripada pihak pengurusan dan guru-guru di universiti. Mudah-mudahan menjadi bekal kepada saudara-saudari untuk menjadi pemimpin dalam apa juga bentuk di tengah-tengah masyarakat.

(tarikh ucapan 17 Mac 2008)

Budaya Istimewa Universiti

BARU-BARU ini saya telah ditemu bual oleh sebuah akhbar Malaysia berkaitan dengan pelan strategik bagi tranformasi pengajian tinggi di Malaysia. Berikutan daripadanya saya banyak menerima pesanan ringkas dan e-mel yang menyokong dan memberi amaran tentang radikalnya beberapa ayat jawapan saya. Salah satu daripada yang banyak ditimbulkan ialah mengenai perbezaan antara kuasa perundangan dan kuasa etika.

Kemudian, saya membaca pula berita tentang Tun Fairuz, Ketua Hakim Negara yang juga Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia dilaporkan telah menghantar laporan tentang hakim yang tidak menulis catatan penghakiman mereka kepada Perdana Menteri. Membaca laporan ini, saya menjadi sedikit keliru tentang proses ini – adakah ia isu etika atau isu perundangan? Selama ini saya faham bahawa dalam konsep pemisahan kuasa – kehakiman, eksekutif dan legislatif – sepatutnya saling tidak mencampuri atau saling menghormati sempadan masing-masing. Dalam kes ini bagaimanakah, ahli legislatif, Karpal Singh pada awalnya boleh dibenarkan mendebatkan isu yang bersangkutan dengan perundangan di dewan legislatif? Kemudian, diberitakan pula Ketua Hakim Negara menghantar laporan mengenainya kepada Perdana Menteri, iaitu ketua kepada kuasa eksekutif.

(tulisan ini telah disiarkan di ruangan rencana, 18/09/2007 Utusan Malaysia)

Dalam prinsip pemisahan kuasa, saya selama ini memahami bahawa tidak ada satu kuasa yang tiga itu lebih berkuasa daripada yang lain. Jika ahli legislatif dibenarkan mendebatkan kuasa perundangan dalam dewan legislatif maka para hakim juga akan bebas menyebut hal-hal berkaitan legislator di mahkamah. Demikian pula, bolehkah Perdana Menteri, ketua kepada kuasa eksekutif mengarahkan Ketua Hakim Negara menghantar laporan berkaitan dengan urusan perundangan kepadanya? Meskipun mungkin Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara atas syor Perdana Menteri tetapi setelah terlantik, Ketua Hakim Negara tidak bertanggungjawab kepada Perdana Menteri.

Demikian, suatu contoh besar yang pada saya perlu difahami oleh rakyat negara maju dan bertamadun yang diimpikan untuk Malaysia mencapainya.

Apabila Perdana Menteri menekankan perjalanan ke hadapan Malaysia melalui pemajuan modal insan, saya merasakan bahawa yang hendak dimajukan itu bukan semata-mata kemahiran harian bekerja tetapi ‘budaya halus’ yang banyak berkaitan dengan falsafah dan etika kehidupan. Contohnya, prinsip tidak melanggar undang-undang kerana takut dihukum, pada saya, adalah budaya yang masih primitif, bukan budaya sebuah negara maju yang kita pernah lihat dan impikan. Yang kita mahu tentulah, bahawa tiadanya pelanggaran undang-undang kerana ia falsafah dan prinsip setiap individu rakyat. Ada atau tiadanya undang-undang berkanun, orang tetap tidak mencipta kemudaratan kepada orang lain kerana itulah prinsip dan falsafah hidup mereka.

Ada sesuatu yang perlu difahami oleh mereka yang ingin membuat transformasi menjadi rakyat negara maju supaya rakyat Malaysia maju bukan pada jenama baju yang dipakai, sebaliknya apa yang ada di dalam. Rakyat negara maju banyak diikat oleh kebiasaan-kebiasaan dan budaya yang tidak tertulis tetapi mempunyai pengaruh yang sangat kuat terhadap kehidupan. Hidup individu banyak diatur oleh falsafah dan etika peribadi yang dipegangnya.

Dalam kes kuasa legislatif, eksekutif dan perundangan, mungkin kerana adanya undang-undang dan peraturan yang ditulis maka bolehlah dicari di sana sini ruang dokumen itu bagi mana-mana jua kuasa itu dihalalkan mencampuri urusan sesuatu kuasa yang lain atas prinsip ikut, tafsir dan buat apa yang telah tertulis.

Setakat ini saya telah bercakap mengenai falsafah dan etika. Falsafah dan etika berada dalam diri dan menjadi pemandu paling kuat dalam kehidupan harian dan kehidupan yang panjang.

Apakah aplikasi kepada isu yang saya cuba ketengahkan ini kepada dunia universiti? Secara sejarahnya orang di universiti sewajarnya yang amat memahami akan hal ini. Namun, sekali lagi, apa yang terjadi tidak sentiasa demikian. Mungkin tidak sedikit bilangan mereka yang telah memperoleh gelaran Doktor Falsafah tetapi tidak berminat untuk berbincang soal falsafah sebaliknya lebih cenderung kekal sebagai juruteknik bercakap mengenai hal teknikal. Dalam hal teknikal, selalu orang bergantung kepada menu yang tertulis.

Sebagai Naib Canselor, saya mungkin mempunyai pelbagai menu kuasa terhadap semua staf di universiti yang saya ketuai berdasarkan pelbagai kuasa-kuasa tertulis yang dibekalkan kepada saya. Namun, saya mesti juga menyedari beberapa hal budaya dan tradisi universiti yang tidak tertulis yang saya mesti kekalkan dan hormati. Demikianlah juga staf saya, mungkin mereka boleh pula merujuk dokumen undang-undang seperti hak dalam perlembagaan negara yang lebih besar daripada peraturan universiti untuk berurusan dengan kuasa Naib Canselor. Pada kesudahannya, adakah masih difahami adanya beberapa tradisi institusi ilmu yang tidak tertulis tentang adab dan etika berurusan dengan institusi Naib Canselor.

Kefahaman terhadap erti kesucian institusi adalah amat penting kepada rakyat sebuah negara maju. Ini bukan setakat ‘modal insan’ yang disebut ‘human capital’ sebaliknya lebih luas kepada modal budaya dan sosial atau cultural and social capital. Individu boleh datang dan pergi, sedangkan sistem alam keliling budaya dan sosial lebih panjang usianya.

Universiti adalah institusi negara dan masyarakat. Oleh itu mereka yang hendak berurusan dengan universiti perlu memahami adab-adab yang telah bertapak lama di universiti. Jika saya telah menyebut akan janggalnya dewan legislatif membincangkan isu perundangan dan janggal bagi Ketua Hakim Negara menghantar laporan kepada Perdana Menteri, beberapa perkara janggal tatkala kuasa-kuasa lain berurusan dengan universiti juga wajar diperhatikan. Adakah dengan ini saya bermaksud bahawa sempadan universiti tidak boleh dibuka? Jawabnya tidak, bukalah, tetapi buka dengan berhemah.

Berkurun lamanya, tradisi universiti sangat kritikal terhadap apa yang orang universiti perhatikan berlaku di luar, di tengah-tengah masyarakat. Orang universiti amat bebas mengeluarkan pelbagai idea. Namun, orang universiti juga menghormati hukum kebenaran tentatif. Setiap pendapat yang dikemukakan oleh orang universiti secara saintifiknya dianggap sebagai kebenaran tentatif. Ia hendaklah terus dibahas. Tidak ada finaliti. Melaluinya masyarakat beruntung dengan kayanya idea yang dijana oleh univerisiti.

Entah bila, terutamanya di Malaysia, tiba-tiba muncul golongan absolutism di universiti yang mengaitkan diri dengan pelbagai kuasa seperti kuasa NGO, kuasa politik dan sebagainya bagi menguatkuasakan idea mereka kepada anggota masyarakat universiti yang lain. Pendapat seseorang atau sesuatu kumpulan itu tiba-tiba menjadi final oleh adanya sokongan kuasa luar tersebut. Oleh kerana idea yang dipaksakan itu pasti ada defect maka himpunan yang cacat itu tidak dapat berdiri kuat apabila dijual kepada masyarakat terbuka.

Natijahnya, kalau dahulu universiti adalah gedung penjana idea pengkritik masyarakat, sekarang dunia itu telah diterbalikkan dengan universiti menjadi punching bag bagi petinju-petinju di luar universiti. University bashing sedang hidup subur – ‘universiti layu, universiti tidak berkualiti, universiti kekampungan’ dan banyak lagi gelaran yang boleh didengar di mana-mana. Paling menjolok ialah apabila kuasa luar mengeluarkan preskripsi apa yang mesti dibuat oleh universiti bagi menggantikan kuasa institusi suci universiti iaitu Dewan Senat.

Adakah salah orang di luar universiti menggantikan senat universiti dalam membuat sesuatu keputusan untuk universiti? Tidak salah dari segi undang-undang bertulis tetapi salah dari segi adab, budaya, tradisi dan etika dunia universiti. Mahukah adab ini dipertahankan atau dikembalikan? Siapa yang harus melakukannya? Ia mesti dilakukan oleh orang universiti sendiri. Orang universiti hendaklah menolak dengan keras idea absolutism sesama sendiri di universiti. Jika tidak, jangan sesekali menuduh orang luar telah mencerobohi kesucian tradisi universiti.

Mahu Kekal Dalam Dunia Determinism?

SAINS mengatakan kita mengetahui sesuatu melalui satu proses yang bermula daripada cahaya menyentuh retina lalu mengubah komposisi kimia mata. Berikutan itu arus elektrik mengalir di sepanjang saraf optik, terus ke otak, lalu sesuatu berlaku dan seseorang dapat melihat sesuatu.

Adakah jika begitu kita benar-benar memberi respons kepada sesuatu? Bukankah berdasarkan huraian pada para atas, kita hanya merespons kepada kejadian elektrik dan kimia yang terjadi di dalam otak dan saraf, bukan objek sebenar yang dikatakan ‘sesuatu’ atau ‘kejadian sebenar’ itu?

Oleh itu apa yang kita alami bukan respons kepada objek sebenar, sebaliknya reaksi kimia dan elektrikal. Hujahnya, tanpa mata kita tidak melihat apa-apa. Tanpa saraf optik kita tidak melihat. Tanpa bits otak kita tidak melihat. Ertinya kita tidak pernah melihat ‘sesuatu’ secara terus.

Perbezaan proses tidak terus ini menyediakan setiap orang dengan ribuan malah jutaan bakul-bakul ‘bias’ dalam melihat sesuatu. ‘Kebenaran’ dilihat mengikut ‘bias’ kita masing-masing. Seseorang melihat huruf-huruf Al-Quran, misalnya, mendengar bunyi bacaan dan sebagainya, kemudian memberi tafsiran ‘pengalaman’ berdasarkan bias-bias masing-masing.

Walaupun ada golongan determinis yang akan memaksakan tafsiran ‘pengalaman’nya kepada orang lain, tafsiran penerimaan pihak yang menerima paksaan itu tetap akan mempunyai biasnya tersendiri. Seseorang lain yang melihat skriptur-skriptur ‘Bible’ akan memperolehi tafsiran pengalaman berdasarkan ‘bias’nya. Demikianlah dalam banyak perkara lain. Paksalah! Pengalaman penerimanya tetap berbeza mengikut ‘bias’nya masing-masing.

Hirarki dan struktur penguasaan dalam sesuatu komuniti membawa kepada kecenderungan untuk menyatukan sesuatu tafsiran pengalaman. Hasilnya muncullah apa yang dipanggil tradisi – tafsiran pengalaman yang bersifat majoriti. Tetapi kerap kali tafsiran majoriti dicemar oleh banyak variable lain.

Variable seperti keganasan alam keliling yang menyebabkan manusia tewas membawa kepada ketakutan manusia kepada sesuatu yang tak pasti. Tahyul pun tercipta. Kebenaran menjadi semakin kabur (lebih jauh daripada kes melihat objek melalui reaksi terhadap perubahan kimia dan arus elektrik saraf optik).

Bayangkan bagaimana masyarakat Melayu misalnya pernah percaya ‘anak dara jangan menyanyi di dapur kelak akan dapat suami tua. Lebih tua daripada datuk lelakinya’. Ini kebenaran yang sama sekali tidak boleh diharap. Ini tahyul. Tapi ada orang boleh percaya.

Keupayaan menerima perbezaan ‘bias’ sebagai satu realiti membolehkan individu menerima ‘wisdom’ yang berbeza antara individu. Teori kuantum telah mencabar teori determinism fizikal, apalagi dalam dunia subjektif yang lebih abstrak. Membuat keputusan melalui melambung ‘duit’ untuk menentukan ‘kepala atau ekor’ merupakan proses mekanikal deterministik, tetapi meramal apakah yang akan terhasil adalah sesuatu yang ‘inordinate’. Bukankah, kalau begitu, ketidakpastian kuantum itulah yang benar-benar mewakili realiti?

Apakah pula realiti itu? Cerita popular ‘Matrix’ sehingga berani menyoal apa yang kita rasa sebagai realiti itu mungkin hanya satu ilusi. Adakah ‘engkau’ dan ‘aku’ wujud sebagai realiti? Atau ‘kita’ hanya wujud dalam fikiran. Adakah ‘engkau’ dan ‘aku’ benar-benar wujud sebagai wujudnya ‘objek’ di luar kotak fikiran atau semua ini adalah permainan ilusi fikiran? Siapakah dapat membuktikan andaian yang lain itu salah? Nampaknya semua perkara ‘tentative truth’ dan ‘tentative reality’.

Payahkah kita, terutamanya golongan muda, untuk meninggalkan dunia tua yang deterministik dan berhijrah ke dunia ‘continuous inquiry’ dan bersedia menghadapi pelbagai cabaran dan kesusahan yang datang bersamanya?

Yang lebih berani akan sanggup meneroka lewat hal-hal agama tanpa rasa akan diburu oleh dosa kerana begitu yakin bahawa ‘true knowledge is impossible under determinism’. Jawapannya ‘boleh’ dengan syarat ada keberanian, ada keghairahan, ada niat, ada motivasi yang dirumuskan sebagai ‘keazaman’ atau ‘will’.

Keazaman bukan sesuatu yang terjadi sekali sebaliknya dia adalah subjek yang berterusan dan senantiasa berubah. Pilihan makanan berubah, minat seks berubah, kerjaya berubah, minat berubah, dunia seluruhnya terus berubah. Bila lagi perspektif hidup mahu berubah?

nota – tulisan ini saya tulis untuk Akhbar Mahasiswa dan telah disiarkan.

Hala Tuju Universiti: Memorandum Kepada kerajaan

LATAR BELAKANG

Sejarah perkembangan universiti di Malaysia bermula setahun selepas kemerdekaan negara, dengan penubuhan cawangan University of Malaya, Singapura di Kuala Lumpur pada tahun 1958. Ini diikuti oleh penubuhan USM (1969), UKM (1970) dan seterusnya universiti-universiti awam lainnya. Kini, negara memiliki 18 buah IPTA dengan perancangan untuk menubuhkan 2 buah lagi IPTA menjelang tahun 2007. Pada amnya, IPTA yang diwujudkan mempunyai tujahan disiplin yang tersendiri, tetapi berteraskan kepada sifat kepelbagaian disiplin ilmu yang jelas dan hampir seimbang di antara IPTA.

Pada tahun 1996, Kerajaan Malaysia telah memperkenal dan menguatkuasakan Akta 555 (Akta Pengajian Tinggi Swasta) dan Akta 556 (Akta Lembaga Akreditasi Negara).  Melalui kedua-dua akta tersebut, Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah mendapat pengiktirafan formal.  Akta itu diletakkan di bawah Menteri Pendidikan sebagai pihak berkuasa Akta.  Berikutan dengannya, tertubuhlah beberapa universiti dan kolej universiti swasta sebagai pelengkap kepada kewujudan IPTA dalam usaha Malaysia ingin menjadi hub kecemerlangan pendidikan tinggi serantau.

Sebelum ini, penubuhan universiti awam yang boleh mengeluarkan diploma dan ijazah bernaung di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30), manakala pada universiti swasta tertakluk kepada Akta 555 dan Akta 556.

Penubuhan sebuah Kementerian baru iaitu Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) pada tahun 2004 adalah keputusan yang signifikan melibatkan perubahan struktural yang penting dalam merealisasikan wawasan pendidikan tinggi negara. Tanggungjawab KPTM amat besar sebagai pemimpin tadbir-urus, penguatkuasa peraturan dan dasar-dasar, pemudah cara, pemantau pelaksanaan, menilai pencapaian, dan memberi sokongan serta bantuan sewajarnya tanpa mengehadkan kebebasan, mengekang kreativiti dan membantutkan inovasi atau produktiviti IPT itu sendiri.

Sehingga kini, walaupun terdapat beberapa Kementerian lain yang mengendalikan institusi pengajian tinggi seperti Kementerian Usahawan dan Kementerian Sumber Manusia, tetapi umumnya institusi pelaksana bernaung di bawah Akta IPTS. Antara contohnya termasuklah institusi seperti Kolej Profesional Mara dan beberapa kolej mengendali program MLVK yang didaftar di bawah Akta IPTS.

Dalam perkembangan terbaru menunjukkan terdapat beberapa  Kementerian berusaha menubuhkan institusi pengajian tinggi masing-masing dan seperti mahukan insitutusi mereka tidak berada di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi.  Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA), misalnya, sudah membentangkan Rang Undang-Undang  Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 di Parlimen yang bakal menawarkan pelbagai ijazah berkaitan dengannya.  Tujuan  KEKWA adalah untuk membolehkan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dinaikkan taraf bagi membolehkan institusi berkenaan mengeluarkan ijazah sendiri.

Perkara 4 dalam Rang Undang-Undang Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 dengan jelas menyatakan bahawa Akta 30, Akta 550 atau Akta 555 tidak lagi diigunapakai.

Parlimen sudah meluluskan Rang Undang-Undang Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 untuk akademi ini mengeluarkan ijazah sendiri yang tidak bernaung di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Dijangka akan muncullah banyak lagi akta pengajian tinggi yang akan dikemukakan oleh pelbagai Kementerian. Kementerian lain seperti Kementerian Belia dan Sukan akan mengangkat Insititut-institut Kemahirannya menjadi Universiti Belia, Kementerian Usahawan akan memindahkan semua IPT-nya yang bernaung di bawah KPTM untuk dijaganya sendiri, Kementerian Kesihatan akan mengangkat Pusat-Pusat Latihan Kejururawatan mengeluarkan Ijazah sebagai permulaan sebelum menubuhkan dan amat munasabah untuk mengambilalih semua Fakulti Perubatan di universiti sedia ada untuk menjadi Universiti Perubatan.  Kementerian Sumber Manusia melalui program MLVK tentu tidak akan berhenti separuh jalan untuk menubuhkan banyak Universiti Kejuruteraan yang akan bernaung di bawahnya.  Kementerian Pengangkutan tentu mengangkat Akademi Laut Malaysia untuk menjadi universiti di bawahnya dan yang lain–lain untuk menjadi universiti yang mengeluarkan Ijazah Perkapalan dan Penerbangan, Kementerian Kerja Raya akan mengambilalih Kolej Universiti Infrastruktur untuk bernaung di bawahnya, Kementerian Pertahanan akan mengemukakan akta untuk menubuhkan universiti di bawahnya. Kementerian Kewangan mungkin tidak ketinggalan daripada menubuhkan Universiti Percukaian dan Pengauditannya dengan hanya mengangkat Pusat-Pusat Latihannya yang sudah pun ada.

Kabinet juga sebelum ini sudah menyatakan persetujuan untuk menaiktarafkan maktab perguruan (maktab perguruan sebelum ini hanya boleh menganugerahkan diploma perguruan sahaja) kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) yang boleh menganugerahkan ijazah sendiri.   Rang Undang-undang akan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.  IPG akan diletakkan di bawah Kemeterian Pelajaran Malaysia.  Dijangka semua universiti sedia ada yang menawarkan ijazah dengan pendidikan termasuk Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) menjadi tidak relevan lagi.

Monopoli kuasa hanya sebuah Kementerian mengeluarkan Ijazah bakal terbuka seluas-luasnya.  Namun, apakah kesudahannya dan ke mana hala tuju pengajian tinggi negara?

Sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh Jemaah Menteri dengan membiarkan Parlimen memberi kuasa kepada institusi selain dari yang berada di bawah Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengeluarkan ijazah, bakal benar-benar mencipta kepelbagaian sistem Pengajian Tinggi di Malaysia.  Hal ini boleh ditafsir oleh rakyat bahawa kerajaan tidak yakin dengan IPTA dan IPTS di bawah sistem sedia ada lalu berpendapat lebih baik pelbagai IPT ditubuhkan dan bernaung di bawah pelbagai pihak berkuasa lain selain dari KPTM.

Dalam keadaan ini, sistem pendidikan tinggi iaitu IPTA dan IPTS tidak lagi mempunyai hala tujunya.  Takrifan universiti juga menjadi kabur.  Apakah ianya hanya untuk melatih kemahiran, mengeluarkan ijazah atau untuk perkembangan ilmu?   Inilah menyebabkan universiti selalu dituduh dan dijadikan kambing hitam apabila wujud gejala pengangguran.  Lagu lama akan dimainkan semula – kurikulum universiti tidak relevan, graduan tidak tahu berkomunikasi dan semua siswazah kena dilatih ilmu keusahawanan.

Satu takrifan `universiti’ telah dibuat dalam satu kes landmark di Lampeter, United Kingdom di mana mahkamah yang membuat keputusan pada masa itu telah menyatakan sesuatu institusi itu dikatakan `universiti’ apabila:

  1. ilmunya bersifat sejagat.
  2. Guru-gurunya datang dari segenap penjuru alam.
  3. Pelajar-pelajarnya juga datang dari pelbagai negara.

Semua IPTA khususnya yang lama sudahpun mencapai ketiga-tiga kategori ini, walaupun ada beberapa aspek yang boleh diperbaiki lagi.  Sungguhpun guru atau pensyarah di IPTA berasal dari negara ini, tetapi ilmu pensyarah berkenaan datang dari pelbagai pelusuk dunia termasuk di United Kingdom, Amerka Syarikat, Jerman, Jepun, Australia dan pelbagai negara lain.

Langkah kerajaan membenarkan semua kementerian atau mana-mana pihak menubuhkan universiti tidak berdasarkan akta sedia ada, menghantar mesej yang salah kepada rakyat.  Sedangkan, penubuhan IPTS bertaraf universiti (layak menganugerahkan ijazah) mengikut Akta Pengajian Tinggi Swasta mestilah atas jemputan atau pelawaan Kementerian Pengajian Tinggi.

HALA TUJU IPTA – KEMANA?

Pengalaman negara maju menunjukkan kerajaan masing-masing telah meletakkan azam untuk mengangkat pengajian tinggi mereka mampu menyaingi universiti-universiti lain yang lebih tua di dunia.  Universiti di Amerika Syarikat dan Kanada, misalnya, dengan dasar-dasar yang kukuh, telah menghasilkan universiti yang umurnya relatif muda tetapi mampu mengatasi universiti yang telah berumur ribuan tahun seperti di Itali,  Perancis bahkan England, bekas penjajahnya.  Jika Itali terkenal dengan Universiti Bologna dan Padoa, Perancis dengan Universiti Paris, England dengan Oxbridge tetapi negara muda USA dan Kanada telah menghasilkan lebih banyak universiti terbaik dunia dengan Ivy-League, di USA dan The Silver-Seven di Kanada.  Semuanya terhasil dengan keazaman yang  ‘focused’  bukan kepelbagaian yang mengelirukan.

Negara maju seperti Amerika Syarikat dan England pernah mengamalkan sistem pengajian tinggi yang pelbagai tetapi mereka kemudiannya berpindah kepada sistem unitari, walaupun dikendalikan oleh pihak awam atau swasta.  Britain, misalnya, mengevolusikan pengajian tinggi mereka daripada multi-system kepada Binary dan kepada Unitari (semasa Perdana Menteri John Major).  Di Amerika Syarikat, pendidikan diletakkan di bawah sektor pertahanan negara melalui National Education Defence Act (selepas mereka kali pertama tertinggal kepada Russia dalam perlumbaan ke angkasa lepas).  Di bawah sistem itu mereka membenarkan sesama IPT untuk ‘self-regulate’ dengan menubuhkan Badan Akreditasi Bebas yang tidak berupa jabatan kerajaan.  Badan-badan itu ditubuhkan oleh persetujuan sesama IPT (tanpa mengira awam atau swasta) atau sesama disiplin pengajian.

Dengan pelbagai Kementerian menubuhkan universiti, maka setiap Kementerian akan menubuhkan juga badan penguasa yang memastikan urustadbir universiti tersebut berjalan dengan sewajarnya.  Ini akan melibat pertindanan kos di pihak kerajaan yang akan pula menghasilkan kepelbagaian kecekapan.  Walaupun USA adalah sebuah negara besar dan kaya tetapi mereka tetap berjimat mengelakkan pertindanan kos dan kepakaran dengan menumpukan kecemerlangan satu sistem.  Adakah rakyat Malaysia akan membiarkan pembayar cukai menanggung kos pembaziran akibat pelbagai pertindanan peranan oleh pelbagai Kementerian ini?

C. Peter Magrath, President of the National Association of State Universities and Land-Grant Colleges, USA pernah memberi amaran:

“American universities have become far more efficient, particularly on the administrative side, as well as increasingly creative in their use of funds. They’ve become committed to greater focus and less duplication. Efficiency and less redundancy will not by themselves bring fiscal sufficiency, but they are critical building blocks if we are to maintain public confidence and attract support..”  (February 12, 1998, Intercom Online, Penn States’s Faculty/staff Newspaper, Volume 27, Issue 20).

Kerajaan Malaysia sentiasa menyeru supaya IPTA dan IPTS Malaysia segera bermain di gelanggang antarabangsa.  Namun demikian, pada masa yang sama,  Kerajaan juga menghantar mesej yang boleh ditafsirkan sebaliknya.   Sumber yang besar tidak diberikan kepada IPT sedia ada sebaliknya menubuhkan institusi baru yang tidak bernaung di bawah KPTM.  Sebagai contoh, kerajaan melalui Bank Negara menubuhkan institusi latihan baru yang bakal mengeluarkan kelayakan profesional dalam bidang Perbankan Islam dengan belanja RM500 juta, tetapi menggunakan kepakaran yang dipinjam daripada IPTA sedia ada, khususnya dari Universiti Utara Malaysia.  Jika biaya sebanyak RM500 juta ini diberikan kepada Universiti Utara Malaysia, satu-satunya universiti di Malaysia (mungkin di dunia) yang mempunyai pengajian kewangan bertaraf fakulti, iaitu Fakulti Kewangan dan Perbankannya, mungkin fakulti ini boleh membuat ‘wonders’ kerana jumlah itu menyamai  belanja fasa pertama pembangunan keseluruhan universiti yang menyediakan kemudahan untuk 14 buah fakulti.  ‘Kursi Profesor’ Perbankan di Universiti Utara Malaysia, contohnya, dibiayai hanya dengan RM2.5 juta, bayangkan dengan RM500 juta ketakjuban boleh berlaku. Mungkin dengan sekelip mata fakulti ini tiba-tiba menjadi pemain di Liga Antarabangsa, bukan terkial-kial baru mahu menubuhkan organisasi, seperti yang berlaku sekarang.

Demikianlah juga dengan beberapa keputusan kerajaan yang lain yang tidak membantu, bahkan menyaingi badan kecemerlangan yang sudah sedia ada di IPTA dan IPTS.

Walaupun dengan membenarkan pelbagai Kementerian menubuhkan IPT masing-masing seperti berniat membuka peluang yang  luas dan bebas untuk akses kepada pengajian tinggi, namun insititusi yang hendak ditubuhkan kelihatan terlalu khusus atau ‘sempit’ disiplin pengajiannya.

Tunggak utama kecemerlangan sesebuah IPT melibatkan kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan serta perkhidmatan masyarakat yang dilaksanakan. Elemen ini sangat fundamental dan sentiasa diberikan keutamaan oleh IPT terkemuka dunia. Kecemerlangan dalam semua perkara tersebut meminta kepada kehadiran tenaga akademik/tenaga akademia yang cemerlang.

Satu elemen penting untuk mencapai pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang ialah pembangunan kurikulum yang kukuh dan bersepadu. Peranan kurikulum ialah untuk membina dan menjayakan perkembangan diri yang serba lengkap meliputi rohani, akal, emosi dan jasmani, di samping menyemai serta memupuk nilai-nilai akhlak yang murni melalui penyampaian ilmu pengetahuan daripada pelbagai disiplin. Namun, untuk menyediakan satu kurikulum yang unggul dan sempurna bukanlah mudah, apatah lagi untuk meramalkan kemahiran yang diperlukan pada masa hadapan. Ini kerana kemahiran tidak bersifat statik, tetapi dinamik dan berubah dengan pantas.

Universiti akan berhadapan dengan risiko tinggi sekiranya fungsi asasnya juga turut bertukar sebagai alat untuk industri semata-mata.  Seandainya identiti serta domain pendidikan tinggi tidak difahami dengan mendalam apalagi untuk mempertahankannya, paling tidak ia menjadi alalatihan vokasional atau mempunyai budaya intelektual yang cetek. Bekas Naib Canselor UM, Prof. Dato’ Dr. Taib Osman pernah merakam kebimbangannya tentang kemelesetan domain universiti melalui bukunya Universiti dan Tradisi Kecemerlangan.

Werner Arber, Pemenang Hadiah Nobel Fisiologi dan Perubatan 1978 menyenaraikan tiga objektif utama pendidikan tinggi yang merangkumi:

(a)     kecemerlangan bidang (disciplinary excellence),

(b)     kecekapan merentasi bidang (trandisciplinary competence),

(c)     pengalaman antara bidang  (interdisciplinary experience)

Gibbons et. al. (1994) dalam bukunya, The New Production of Knowledge, menerangkan penggunaan transdisiplinari sebagai petanda perubahan cara ilmu pengetahuan sains, sosial dan budaya menjelang alaf baru. Maka, penjanaan ilmu pengetahuan bentuk baru adalah bercirikan elemen-elemen complexity, hybridity, non-linearity, reflexivity, heterogeneity dan transdisciplinarity pada peringkat pengajian tinggi serta impaknya kepada ide, norma dan nilai sarwajagat.

Nicolescu (1997) pula melalui kertas kerja bertajuk The Transdisciplinary Evolution of the University – Condition for Sustainable Development menjelaskan bahawa:

“If the universities intend to be valid actors in sustainable  development they have first to recognize the emergence of a new type of knowledge. The transdisciplinarity knowledge – complementary to the traditional, disciplinary knowledge. The process implies a necessary multi-dimensional opening at the University: towards the civil society; towards the other places of production of the new knowledge; towards the cyber-space-time. Towards the aim of universality; towards a redefinition of values governing its own existence.   A viable education can only be an integral education of the human being, an education which is addressed to open totality of the human being and not to just one of its components.”

Ruben (2004) melihat bahawa perpecahan tradisi keilmuan umumnya timbul akibat pengkhususan ekstrem seseorang kepada bidangnya.  Hal ini boleh menjejaskan inisiatif antara disiplin yang  kepentingannya kini sedang meningkat.  Menurutnya:

“Whether in health care, community orchestras, or higher education, when organization subcultures become too differentiated and disconnected, core values, operational effectiveness, and ultimately institutional excellence are all at risk.”

Pendekatan interdisiplin ini dikatakan sesuai bagi perkembangan ilmu peringkat tinggi yang jelas berlaku interaksi antara manusia dengan sistem semula jadi, seperti bidang pertanian, perhutanan, industri, dan sebagainya. Pendekatan interdisiplin telah mula berlaku di IPTA negara ini seperti dalam bidang pembangunan teknikal (contoh, nuklear-teknologi, bioteknologi dan genetik); Pendekatan ini terbukti berkesan bagi bidang yang adanya interaksi antara pembangunan sosial, teknikal dan ekonomi dengan unsur-unsur nilai dan budaya – tenaga, penjagaan kesihatan, pemakanan, pembangunan lestari dan sebagainya.

Apabila semua Kementerian di Malaysia nanti menubuhkan universiti masing-masing, pendekatan transdisiplin yang dicadangkan oleh pelbagai pakar pengajian tinggi itu dijangka tidak akan terlaksana.  Universiti di Malaysia akan benar-benar menjadi sekolah vokasional dan cita-cita untuk menjadikan Malaysia menjadi hub kecemerlangan pengajian tinggi serantau akan hanya tinggal angan-angan kerana kerajaan sendiri nampaknya tidak mempunyai kepercayaan terhadap insititusi pengajian tinggi sedia ada yang ditubuhkannya sendiri.

KEPELBAGAIAN: APA KEWAJARANNYA?

1. Belanjawan: Purata perbelanjaan awal untuk penubuhan sebuah IPT adalah di antara RM300 – RM600 juta. Jika jumlah ini diperuntukkan kepada IPT sedia ada, ia mampu menampung penubuhan hampir 10 – 15 buah fakulti penuh.  Fakulti-fakulti ini berupaya menawarkan disiplin ilmu atau jurusan yang dicadangkan melalui penubuhan IPT khusus berkenaan. Misalnya penubuhan sebuah fakulti maritim/ pengurusan pengangkutan/ pengajian strategik yang lengkap cuma memerlukan belanjawan maksimum RM20j, merangkumi keperluan sumber manusia dan prasarana fizikal. Penambahan atau menaik-taraf fakulti di IPT sedia ada mungkin lebih relevan dan dapat menawarkan program-program berkaitan dengan lebih cekap dan berkualiti untuk pembangunan modal insan negara.

2.  Perkongsian pakar: Adalah lebih baik digembelingkan kepakaran dalam IPT sedia ada bagi mengembangkan bidang pengajian yang diperlukan berbanding membina sebuah IPT khusus (dengan kos pembinaan yang besar). Alasannya, setiap bidang tujahan masih memerlukan asas-asas disiplin ilmu yang generik dan komponen ini telah sedia ditawarkan oleh IPT yang ada dalam negara.

3. Pengiktirafan Antarabangsa: IPT sedia ada telah mempunyai jaringan serta pengiktirafan antarabangsa yang sekian lama terbina kukuh. Oleh itu, kepakaran luar negara dalam pelbagai disiplin ilmu menjadi lebih mudah untuk dikongsi atau diperolehi. Walaupun agensi-agensi yang bercadang menubuhkan IPT tersendiri turut memiliki kelebihan ini berdasarkan latarbelakang agensi berkaitan, adalah lebih berfaedah jika ianya disalurkan melalui IPT sedia ada bagi menawarkan sebarang bentuk program yang sesuai sama ada secara kerjasama langsung atau kawal selia. Kaedah ini memang telah lama digunapakai oleh IPT-IPT dengan kolej/IPTS dalam dan luar negara.

4. Jenama IPT: Kewujudan IPT dengan penjenamaan yang terlalu spesifik mungkin melambangkan kejumudan disiplin ilmu itu sendiri. Ia juga mungkin mengurangkan daya saingan serta ‘sustainability’ pasaran graduan yang dihasilkan. Dalam masa yang sama, syarat-syarat kemasukan akan menjadi terlalu rigid atau mungkin juga terlalu khusus untuk kelompok-kelompok bakal pelajar yang tertentu sahaja.

5. Brain drain: Penubuhan IPT baru pasti memerlukan sumber manusia yang ramai seperti tenaga mahir atau bepengalaman. Walaupun ini suatu situasi yang boleh merangsang upaya gunatenaga di kalangan tenaga kerja di pasaran, masalah mungkin timbul apabila berlaku ‘aliran keluar’ tenaga mahir/pakar daripada IPT sedia ada. Secara langsung situasi ini mungkin menjejaskan kemajuan dan pembangunan IPTA sedia ada akibat daripada kehilangan beberapa pakar/tenaga mahir yang berhijrah keluar. Seperti dimaklumi, bukanlah mudah untuk sesebuah IPTA atau IPTS melatih tenaga kerjaya sehingga mencapai tahap kepakaran/kemahiran tertentu. Secara langsung ia akan memberi kesan negatif kepada IPT asal, berbanding mungkin kesan positif kepada IPT yang dicadangkan penubuhannya.

6.      Tujahan ilmu: Di samping bersifat transdisiplinari, IPT sedia ada memang sudah memiliki upaya tujahan ilmu (niche area) yang tersendiri.  Adalah wajar untuk sebarang cadangan program pengajian baru diselaraskan melalui program atau fakulti di IPTA-IPTA sedia ada berbanding menubuhkan IPT baru yang semata-mata terkhusus kepada sub-bidang tertentu sahaja.

RUMUSAN DAN CADANGAN

Keputusan mengujudkan kepelbagaian sistem pengajian tinggi adalah langkah ke belakang jika negara-negara yang IPT-nya telah sampai ke tahap terbilang dijadikan rujukan.

Kementerian Pengajian Tinggi mesti terus menjadi kementerian tunggal dalam memaju, mengurus dan memantau perkembangan pengajian tinggi di negara ini.

KPTM haruslah menjadi penasihat kepada kerajaan supaya universiti tidak boleh sewenang-wenangnya ditubuhkan untuk menyelesaikan suatu masalah jangka pendek dengan mengambilkira:

a)      akan berlaku pembaziran kewangan sedangkan wang yang ada boleh digunakan untuk membangunkan program-program di Universiti sedia ada.

b)      akan ujud pertindihan Ijazah dan subjek-subjek dalam bidang berkenaan yang menimbulkan persoalan kualiti dan kecekapan tenaga akademik, pentadbiran dan pelbagai lagi.

c)      akan ujudnya `brain drain’, di mana berdasarkan pengalaman, institusi baru ini akan mencubit tenaga akademik IPTA dan IPTS sedia ada.

d)      akan menimbulkan persoalan bagaimanakah masa depan Institusi baru yang terlalu khusus itu apabila permintaan dan penawaran kerja dalam bidang berkenaan telah `tepu’.

e)    mengenai status institusi di bawah kementerian tertentu yang bakal mengeluarkan ijazah, apakah ianya boleh dikategorikan sebagai IPTA atau IPTS?

Implikasi negatif  akibat kewujudan trend Kementerian atau organisasi  mewujudkan institusi mengeluarkan Ijazah masing-masing patut dimaklumkan kepada rakyat secara meluas supaya ia tidak menjadi program separuh jalan dan selepas itu menjadi gajah putih yang akan bakal dipersoalkan oleh pembayar cukai.

IPTA yang telah diwujudkan mempunyai wawasan yang jelas demi memenuhi hasrat Dasar Pelajaran Kebangsaan.  Kekurangan-kekurangan yang ada hendaklah dibaiki, bukan dengan cara menubuhkan Universiti (atau apa jua nama yang seerti dengannya) dengan skopnya begitu kecil sekali. Jalan keluar masih ada iaitu dengan mengadakan kerjasama dengan universiti sedia ada.

Implikasi yang lebih besar adalah bahawa dengan penubuhan IPT oleh pelbagai kementerian akan membawa maksud bahawa Kementerian Pengajian Tinggi yang baharu berumur dua tahun ini sudah tidak relevan lagi.

Oleh itu dicadangkan supaya kerajaan tidak membenarkan mana-mana pihak atau mana-mana Kementerian selain daripada Kementerian Pengajian Tinggi, menubuhkan institusi pengajian tinggi yang menawarkan ijazah bernaung di bawah mereka bagi mengelakkan pelbagai kerugian kepada negara dalam usaha mencapai status hub kecemerlangan pengajian tinggi serantau.

Nota

Memorandum ini merupakan hasil Perbincangan Meja Bulat Hala Tuju Institusi Pengajian Tinggi yang diadakan di Bilik Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 16 Julai 2006, jam 9.30 pagi hingga 11.30 tengahari  (ahli meja bulat: lihat muka sebelah). Konteks memorandum ini dan jawatan ahli perbincangan meja bulat, berdasarkan kedudukan semasa pada tahun 2006).

AHLI PERBINCANGAN MEJA BULAT

HALA TUJU PENGAJIAN TINGGI

1. Dato’ Dr Nordin Kardi                                                   (Pengerusi)

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM)

Merangkap Presiden Penaja Persatuan Universiti Malaysia

2.  Prof. Dato’ Dzulkifli bin Abdul Razak

Naib Canselor

Universiti Sains Malaysia (USM)

Merangkap Presiden Majlis Naib Canselor Malaysia

3.  Prof. Dato’ Dr. Ramlah Adam

Ketua Eksekutif

Kolej Yayasan Melaka

4. Dato’ Shagul Hamid Abdullah

Ketua Pengarah

Biro Tatanegara (BTN)

5. Prof. Madya Datuk Dr. Ahmad Faiz Abdul Hamid

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

UUM

6. Prof Dr Aminah Ayob

Timbalan Naib Canselor (Akademik) UPSI

(Wakil Naib Canselor)

7. Prof. Madya Dr. Abdul Razak Chik

Timbalan Naib Canselor

(Hal Ehwal Akademik dan Pengantarabangsaan) UUM

8. Dato’ Prof. Dr. Shahol Hamid Abu Bakar

Timbalan Naib Canselor (A)

Universiti Teknologi MARA (UiTM)

(Wakil Naib Canselor)

9.  Prof. Madya Dr. Zul Azhar

Timbalan Rektor (P & I)

Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM)

(Wakil Rektor)

10. Prof. Hamdan Suhaimi

Timbalan Rektor

Kolej Universiti Sains & Teknologi Malaysia (KUSTEM)

(Wakil Rektor)

11. Prof. Datuk Dr. Khalid Yusoff

Dekan

Fakulti Perubatan UiTM

12. Datuk Saifuddin Abdullah

Pengerusi Akademi Belia

13. Prof. Dr. Ding  Choo Ming

Senior Research Fellow ATMA

Universiti Kebangsaan Malaysia

14.  Dr. Haji  Mahmood Bin Jaafar

Director

International Universiti College of Technology Twintec (IUCTT)

Urus Setia

  1. 1. Harun Amin
  2. 2. Anuar Mahayudin Mokhtar
  3. 3. Kori Ariff

Hello world!

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!