Sebarkanlah Kebaikan Bukan Melanjutkan Permusuhan

SAYA menerima pesanan ringkas daripada rakan karib saya semenjak kami remaja bernama Dr Hasan yang berasal dari Pontian. Sekarang beliau ialah Setiausaha Agung sebuah badan bukan kerajaan yang di dalamnya puluhan lagi badan-badan mewakili kepentingan Melayu menganggotainya. Pesanan ringkas itu mengajak menyertai perhimpunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur bagi memberi reaksi kepada kenyataan Presiden MCA yang dikatakan sedia berdiri senada dengan DAP bagi menuntut supaya syarat ekuiti bumiputera 30 peratus dalam pelbagai perkara ditiadakan secara beransur-ansur. Akhbar-akhbar juga menyiarkan pelbagai reaksi pemimpin Malayu.

Saya tahu Hasan dari Pontian ini semangat patriotismenya sangat tinggi. Dia tidak berucap berapi-api tapi sangat cekap membuat kerja-kerja operasi. Beliau pernah menjadi penerima Pingat Emas pelajar terbaik sebuah universiti, sebagai tanda dia seorang yang gigih. Oleh cemerlangnya ijazah sarjana mudanya dia terus diterima oleh Universiti London untuk membuat Ijazah Doktor Falsafah, jalan pintas tanpa perlu membuat Ijazah Sarjana. Beliau lulus Doktor Falsafah dalam bidang agronomi tepat pada masanya pada usia yang relatif muda. Personaliti Hasan sangat menawan, pertururannya teratur, budi bahasanya menyenangkan. Namun, Hasan yang saya kenali ada kalanya sangat degil setelah dia membuat sesuatu keputusan, sebab utama mengapa dia tidak lama menjadi pensyarah di sebuah universiti terkemuka di Malaysia.

Dr Chua Soi Lek pula lulusan MBBS Universiti Malaya pada tahun 1973. Untuk terpilih mengikuti pengajian dalam bidang perubatan tentu bukan calang-calang calon. Keputusan HSCnya tentu baik, jika tidak tentu beliau akan terpaksa merayau ke-merata dunia lain mencari tempat yang lebih mudah masuk jika dia telah bulat hati hendak menjadi Doktor Perubatan. Seperti Hasan, Dr Chua juga tidak lama sangat berkhidmat dengan jabatan kerajaan. Siapa tahu, alasannya meninggalkan perkhidmatan kerajaan juga sama dengan Dr Hasan.

Hasan orang Pontian dan Chua dari Batu Pahat. Keduanya tinggal di daerah yang berjiran. Hasan seorang intelektual dan begitu juga Chua. Kedua-duanya mempunyai kebolehan luar biasa untuk merancang strategi dan melaksanakan operasi masing-masing. Hasan mungkin di Kampung Baru dan Chua di Ampang, yang pastinya di Kuala Lumpur. Mereka akan terjun memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing. Gelanggangnya ialah bumi Malaysia yang saya dan keluarga saya juga adalah warganegaranya. Apakah kesudahannya? Apakah hasilnya nanti baik untuk saya dan keluarga saya atau sebaliknya? Oleh baik atau huduh kesudahannya nanti akan tetap tertimpa ke atas saya dan keluarga saya, bolehkah saya berkecuali, tidak mengambil bahagian? Demikian terdesaknya saya dan apakah pendirian saya? Bolehkah saya berkecuali, sedangkan untung nasib saya dan anak-anak saya akan ditentukan oleh tindakan-tindakan mereka? Apakah hak mereka mengheret saya dan orang lain seperti saya untuk menerima akibat daripada permainan fikiran mereka? Saya percaya persoalan seperti ini bermain dalam fikiran orang lain juga.

Kalau Hasan dan Chua dari Pontian dan Batu Pahat, saya pula dari Teluk Intan. Kampung saya bersebelahan dengan Kampung Sungai Manik. Tentu ramai juga yang ingat cerita di Johor dan Perak terutamanya Batu Pahat dan Sungai Manik. Arwah Datuk saya terkenal sebagai ahli silat sendeng. Dia selalu bercerita tentang Kiyai Saleh di Batu Pahat. Kemudian saya membaca buku mengenai Kiyai Saleh. Pada bab-bab tertentu meremang juga bulu roma. Tiga orang yang ada hubungan dengan saya mati dibunuh semasa pemerintahan Bintang Tiga: Cikgu Ajmain, seorang guru, khabarnya dimasukkan ke dalam guni oleh sepasukan Bintang Tiga dan tidak pulang-pulang selepas itu. Cikgu Ajmain, seorang guru, ialah adik kepada ibu arwah ibu saya. Yunan pula, adalah adik kepada datuk saya Haji Abdul Hamid. Yunan gugur dalam pertempuran senjata tangan dengan Bintang Tiga. Haji Sidek adalah seorang guru agama terkenal di daerahnya. Dia juga tidak pulang setelah ditangkap Bintang Tiga. Dia berpesan supaya muridnya, iaitu datuk saya Haji Abdul Hamid menjaga isterinya jika apa-apa terjadi kepadanya. Akhirnya bekas isteri Haji Sidek menjadi nenek tiri saya. Ketiga-tiga mereka menerima nasib buruk itu di Batu Pahat, sezaman dengan Kiyai Saleh yang ceritanya telah dibukukan itu. Khabarnya datuk saya Abdul Hamid juga berperanan di Sungai Manik. Cerita ini membangkitkan semangat saya semasa saya seorang remaja lelaki yang baru membina otot-otot penting.

Sebagai remaja seperti disebutkan, saya meminta supaya datuk saya mengajar saya pencak silat mempertahankan diri dan menyerang. Datuk saya terus mentah-mentah menolak. Katanya orang sekarang tidak lagi bersilat lengan tapi bersilat otak. Saya marah dan merajuk kepada arwah datuk. Hanya kemudian saya tertanya-tanya mengapa dia menolak, bahkan melarang saya belajar silat. Sehingga sekarang saya terus tidak pandai langsung bersilat. Tetapi, ingatannya bahawa orang sekarang bersilat otak sangat berkesan kepada hidup saya.

Semasa remaja juga saya membaca novel kecil cerita rekaan bertajuk ‘Lembing Awang pulang ke Dayang’. Novel itu menceritakan seorang anak muda yang merantau untuk mencari sedikit kesenangan supaya nanti pulang berkahwin dengan tunangnya dan hidup aman. Sebaik pulang, dia mengalami kepedihan hati apabila yang dihadirinya ialah perkahwinan tunangannya, Dayang, dengan orang lain. Orang dahulu, menjinjing buntil bekalan dengan lembing. Dia melejangkan lembingnya ke tengah orang ramai. Yang terkena, mencabut dan melejangkannya pula. Demikianlah berterusan sehingga ramai yang cedera dan mati dan akhirnya singgah di perut ayah Dayang. Ayah Dayang berkata, ‘disinilah akhir lembing ini’ dan dia tidak melejangkan lembing itu seterusnya.

Daripada empat cerita yang saya utarakan: Dr Hasan, Dr Chua, diri saya dan Lembing Awang, saya ingin membuat suatu rumusan berikut: Dr Hasan, sebagai seorang agronomis, menjaga pohon-pohon ujikajinya dengan cermat. Saya sempat melawat makmalnya semasa dia membuat Ph.D di London. Bahannya ialah durian dan mungkin manggis. Bayangkan kalau pohon kecilnya itu cedera tentu susah untuk memperolehi gantinya di London. Dr Chua mengaji bidang perubatan dan saya mengaji psikologi kaunseling. Kedua-dua kami tentu telah membaca ‘sumpah hippocratic’ yang antaranya menyebut sumpah moral supaya tidak menyakiti orang lain walaupun kesakitan itu bagi menyembuhkan. Hasan, Chua dan saya amat tahu kategori moral ‘nonmaleficence’, iaitu larangan supaya jangan sekali-kali kita menyakiti orang lain walaupun tujuan kita untuk membuat kebaikan. Tugas kita kepada manusia lain ialah sentiasa membuat kebaikan, terutamanya apabila menjadi pemimpin. Apabila berlaku dilemma moral yang berkonflik antara memberi autonomi, membuat kebaikan berterusan, larangan menyakiti yang datang serentak, maka utamakanlah dahulu moral menjauhi perbuatan menyakiti. Demikian saya andaikan seorang Doktor Falsafah dan Doktok Perubatan berfikir. Pegangan moral mereka mesti melangit.

Kesimpulannya saya, biarlah Dr Chua menuntut sesuatu untuk kaumnya, biarkan Dr Hasan menyuarakan kepentingan kaumnya tetapi saya tidak akan sekali-kali akan membalas kejadian yang menimpa keluarga saya pada zaman Bintang Tiga dengan lengan saya. Saya bercita-cita untuk membalas kejahatan dengan kebaikan seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi saya atau sekurang-kurangnya menjadi seperti ayah Dayang. Saya berangan-angan untuk, jika berpeluang, untuk menolong Cina miskin supaya keluar daripada kemiskinan mereka. Saya ingin menolong orang Tamil papa yang malang, akibat estet tempat mereka tinggal telah dibina perumahan gergasi, supaya keluar daripada kepapaan mereka. Saya ingin mengeluarkan Cina tak berpelajaran di Ulu Lenggong supaya sampai ke Universiti. Bolehkah Dr Hasan dan Dr Chua melakukan yang sama? Bolehkah Dr Cua tidak mengajak rakan karib saya sekarang Tie Tech Kui ke Ampang dan Dr Hasan tidak mengajak saya ke Kampung Baru. Bolehkah saya yang jemput mereka berdua datang ke Sintok yang dingin ketika ini untuk beberapa hari duduk bertiga memerah otak dan daya intelektual tinggi kita mencari jalan bagaimana menolong Melayu, Cina dan Tamil yang miskin dan tidak berpelajaran keluar daripada kemiskinan dan kejahilan, bukan meneruskan dendam Bintang Tiga dan Lembing Awang?

Saya baharu mengulangkaji teori psikoanalisis Sigmund Freud untuk tujuan mengajar di kelas saya. Antara tajuk yang saya baca ialah helah beladiri ‘reaction formation’. Adakah saya sekarang sedang menggunakan helah beladiri jenis tersebut. Jika benar, saya memerlukan seorang ahli therapist untuk menganalis saya.

(selesai ditulis pada 17 Ogos 2010 waktu isu ini sedang berkocak)

Post a comment or leave a trackback: Trackback URL.

Comments

  • Sulaiman Thambee  On September 1, 2010 at 8:28 pm

    Tuan Nordin,

    Saya hairan seseorang yang berstatus seperti Tuan memerlukan satu long-winded methodology, prosa yang sungguh panjang dan verbose serta analisis yang tidaklah boleh saya kategorikan “intellektual” untuk meyampaikan point dan fakta yang, rupa-rupanya, tidaklah besar mana sangat pun. Jika pembaca umum ingin diperingatkan mengenai apa-apa yang tertera dalam konklusi Tuan ini, saya rasa memadailah mereka hanya membaca mana-mana blog melayu picisan saja untuk peningkatan ilmu atau pengetahuan.

    Tulisan Tuan berlingkar ke sana ke sini sebelum sampai kepada maksudnya sebenar. Tuan mempamirkan “Object of Qualm” Tuan dalam tiga watak yang berbeza tetapi samada untuk convenience atau hanya kerana personal flattery, Tuan memasukkan watak ke-empat ya itu diri Tuan sendiri, seolah-olah ingin menyampaikan kepada umum bahawa Tuan juga sebaris dengan mereka-mereka ini, kalau tidak segi impak masyarakat, sekurang-kurangnya dari segi kelulusan.

    Setiap insan dirangkakan untuk ke hadapan dan menjadi tunjang bagi pembangunan minda terutama sekali mereka-mereka yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat, natijah dari pengalaman, kecerdikan serta idea-idea dan penulisan beliau.

    Kedudukan Tuan dalam masyarakat dan penulisan serta idea-idea tuan, tidak sekufu.

    Sekian Terima Kasih

    S.T.

    (Tuan boleh memilih untuk tidak menyiarkan ulasan saya ini.
    )

  • nordin kardi  On September 1, 2010 at 11:03 pm

    perpusing-pusing seperti prosa roman sejarah ya. saya pun rasa macam tu juga. selalu saya tulis mengalir macam tu saja – tak kawal. aduuhhhh kena lagi saya. terima kasih feedback.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: