Pemikiran Sains Bagi Setiap Siswazah

PADA tahun 1970an, ramai pelajar di tingkatan enam berasa lega sedikit perasaan apabila negara membuka Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebabnya ialah Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di universiti itu. Para pelajar yang memasuki tingkatan satu sekolah menengah kebangsaan tanpa perlu lulus peperiksaan darjah enam pada tahun 1965, dan melalui pula peperiksaan objektif dengan menanda kertas OMR pada tahun 1967, mengakui bahasa Inggeris mereka lemah meskipun semasa tingkatan enam mereka wajib lulus General Paper dalam bahasa Inggeris bagi mereka lulus Sijil Tinggi Persekolahan Penuh dan dengan kelulusan itu mereka boleh memasuki universiti, sangat gentar memasuki Universiti Malaya yang bahasa pengantarnya bahasa Inggeris. Namun apabila mereka memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia, mereka dari jurusan Sains Sosial atau Sastera ditakutkan pula oleh mata pelajaran Kenegaraan Malaysia yang di dalamnya terkandung pelajaran sains dan calon sains pula ditakutkan dengan kandungan sastera dan pengajian Islam dalam mata pelajaran tersebut.

Begitulah buah fikiran pengasas-pengasas Universiti Kebangsaan Malaysia yang mahukan siswazah yang dikeluarkan mempunyai fikiran yang liberal. Menghasilkan siswazah yang berfikiran liberal menjadi teras utama pengajaran dan dicatat di Universiti Kebangsaan Malaysia pada ketika itu. Mata pelajaran itu pula tidak diajar oleh seorang pensyarah sahaja sebaliknya oleh beberapa orang pensyarah secara berkongsi. Mereka pula dipilih oleh pengurusan universiti dalam kalangan pensyarah yang paling kanan. Antara pensyarahnya termasuklah arwah Profesor Ghazali Abdul Rahman, yang kemudian pernah menjadi Dekan Fakulti Sains, Timbalan Naib Canselor dan Ketua Pengarah Puspati (sekarang Mint), Profesor Khoo Kay Kim dan beberapa orang lagi. Hasilnya sizwazah Universiti Kebangsaan Malaysia pada zaman itu dapat memahami adanya jambatan antara dua dunia ilmu yang telah dipecahkan oleh pihak berkuasa seawal calon berusia enam belas tahun. Pemecahan aliran pemikiran itu diwarisi hingga ke hari ini tetapi model Universiti Kebangsan Malaysia itu telah dilarutkan oleh arahan daripada luar yang saban hari memikirkan cara menyeragamkan universiti untuk memudahkan pemantauan.

Model itu nampaknya telah digantikan dengan buah fikiran baru seperti Kemahiran Insaniah, Pengajian Asia Tenggara, Tamadun Islam dan macam-macam lagi dimasukkan ke dalamnya. Hal ini dikatakan penting demi kebolehpasaran siswazah. Beza aliran pemikiran pengasas-pengasas UKM dengan pemikir kurikulum universiti di Malaysia pada hari ini amat nyata. Pemikir pengasas UKM lebih menekankan alat asas kerangka pemikiran (sains, sastera dan Islam) supaya apabila mereka menjadi siswazah nanti mereka amat celik pelbagai disiplin ilmu guna menyelesaikan pelbagai masalah dunia sedangkan premis pemikir kurikulum semasa nampaknya lebih kepada mengupayakan mereka menarik perhatian golongan penemuduga yang mewakili majikan. Pemikir universiti sekarang seperti mengandaikan bahawa penemuduga yang mewakili majikan akan memilih calon yang berpakaian elok dan tidak menjolok mata, warna pakaian yang secocok antara seluar, baju dan kasut, tali lehernya kemas, lelaki yang bergunting pendek, bercakap sopan, tidak membantah dan banyak lagi aspek-aspek luaran. Mata pelajaran yang mengandungi semua keperluan itu diajar oleh pensyarah yang tidak perlu kuat disiplin utama ilmu seperti Fizik, Kimia, Sejarah, Matematik, Usuludin, Syariah atau yang seumpamanya seperti Profesor Ghazali dan Profesor Khoo Kay Kim. Ringkasnya, pemikir pengasas dahulu menekankan keupayaan menggunakan disiplin ilmu sementara pemikir sekarang menekankan tarikan pandang pertama atau first impression wakil majikan.

Tujuan saya menyentuh hal ini ialah sedikit sebanyak untuk menghibur kerisauan mengenai adanya siswazah yang tidak dapat berfikir menggunakan disiplin ilmu yang kuat. Sudah empat semester saya kembali mengajar untuk empat angkatan kumpulan pelajar sarjana, saya terasa ada sesuatu yang perlu dibekalkan sebelum mereka diijazahkan. Aplikasi pelbagai ilmu dalam menyelesaikan pelbagai masalah seperti tidak terisi. Para pelajar sarjana itu sendiri mengakui seperti terkejut apabila saya lebih menekankan aplikasi pelbagai disiplin ilmu itu dalam menghadapi sesuatu kes. Seperti terkesan tiadanya kerangka pemikiran sains walaupun mereka sedang mempelajari metodologi penyelidikan peringkat sarjana. Bukan salah mereka jika tidak sedar bahawa yang sedang dipelajari itu ialah kerangka pemikiran sains untuk mencari sesuatu kebenaran, menyemak sesuatu kebenaran semasa, atau menguji tahap kebenaran sesuatu pendirian atau perkara. Demikian juga apabila membaca blog atau paparan rakan-rakan facebook saya yang sudah ribuan jumlah ahlinya, asas kerangka pemikiran sains seperti tidak tampil walaupun mereka telah lulus dari sebuah universiti. Bukan salah mereka juga jika banyak siswazah yang masih bertahyul dan bermain perasaan tentang sesuatu kebenaran.

Apabila baru-baru ini saya berbual sambil minum pagi dengan rakan saya Profesor Mustamam Abdul Karim, seorang profesor fizik yang juga bekas Timbalan Naib Canselor Penyelidikan, kepercayaan saya menjadi semakin kuat bahawa setiap mahasiswa mesti dibekalkan dengan alat kerangka pemikiran sains tulen. Mereka mesti diajar beberapa perkara pokok di dalam sains, matematik, fizik, astronomi biologi dan sebagainya. Amat janggal jika nanti ada seseorang yang mempunyai ijazah Doktor Falsafah dan bertaraf Profesor dalam bidang yang bukan sains di universiti tetapi buta kayu sebuta-butanya mengenai perkara-perkara asas fizik seperti teori kuantum, relativiti dan chaos, matematik algebra, tidak tahu membezakan antara bintang dengan planet, tidak pernah mendengar tentang milky way, big bang, genetik dan lainnya yang menyediakan asas alam dan dirinya sendiri yang perlu dikenali. Sedangkan, di kalangan mereka itu ada yang sering menasihati supaya sebelum seseorang itu mengenali Tuhan dia hendaklah dahulu mengenali dirinya.

Semasa perbualan kami, Profesor Mustamam menyentuh isu Lynas di Gebeng, Pahang yang dipolitikkan habis-habisan ustazah politik yang seperti jahil sains tetapi dapat pula sambutan daripada golongan yang dijahilkan oleh ketua-ketua yang memimpin mereka. Kejahilan mereka pula tidak boleh diperbetulkan oleh orang yang tahu kecuali dibetulkan oleh salah seorang daripada mereka. Dalam kes Lynas itu negara masih amat bernasib baik kerana ada juga ahli politik yang waras dan merasa resah jika dia tidak menyatakan kebenaran. Tuduhan bahawa projek Lynas di Pahang itu bakal membawa bencana bahan buangan nuklear diperbetulkan oleh Dr Che Rosli, ahli Parlimen PAS di Hulu Langat yang berkelulusan sains nuklear.

Bersyukur kita kerana di dalam kelompok yang sepantas kilat bangkit mempolitikkan apa saja yang dilihat peluang membangkitkan kemarahan rakyat atau pengundi kepada pemerintah masih ada orang waras seperti Dr Che Rosli. Namun pihak yang telah menyesatkan itu jarang pula sudi memohon maaf memperbetulkan kesilapan untuk mencerahkan semula pemikiran segolongan yang telah digelapkannya itu. Ini adalah contoh hidup yang amat nyata akan pentingnya setiap rakyat atau siswazah khususnya mempelajari prinsip sains terus ke pangkal disiplin sains berbanding mencuri-curi disiplin itu yang diubahsuai menjadi, misalnya, statistik sains sosial atau kaedah penyelidikan kuantitatif tanpa memahami asal usulnya.

Profesor Mustamam menerangkan kepada saya hebatnya rare earth yang akan dihasilkan di Lynas yang boleh menjana tenaga untuk kegunaan yang besar dan tempoh yang panjang bagi Malaysia dan dunia. Pengeluar lain yang ada hanya negara China yang sentiasa mengawal nilai keluaran yang kemudiannya akan memonopoli pasaran. Malaysia akan jadi pengeluar di luar China dan akan dicemburui, tapi ada orang Malaysia tidak melihatnya sebagai rahmat untuk ramai, sebaliknya senantiasa mengintai peluang untuk merangsang kemarahan golongan yang sudah difanatikkan. Sudah terlalu banyak kes seperti ini muncul satu demi satu. Sesuatu perlu dilakukan di sekolah dan di universiti.

Riuh rendah pensyarah dan mahasiswa ketika ini cabar mencabar mengenai AUKU, hasil daripada keputusan mahkamah baru-baru ini seolah-olah itulah segala-galanya mengenai universiti, marilah pula tinjau perspektif selain dari isu hak dan perundangan di universiti yang turut menentukan kemuliaan martabat universiti dan kebijaksanaan siswazahnya menggunakan hak kebebasan untuk jangka lebih panjang.

Apa pun saya dan Profesor Mustamam berjanji untuk bertemu lagi dan berbincang sesuatu mengenainya untuk negara. Mustamam ahli fizik dan saya psikologi, terasa seperti menyamai perbincangan antara Einstein (ahli fizik) dan Freud suatu masa dahulu yang diterbitkan menjadi Einstein-Freud Correspondence untuk cuba memahami mengapa manusia suka berperang, memahami ‘instinct and survival’ dan memperkukuhkan teori psychodynamic yang berasal daripada teori fizik thermodynamic.

Membina Pelanggan Setia Umno

DUA minggu lalu saya mencadangkan supaya UMNO elok memikirkan untuk menstrukturkan dirinya bagi menghadapi cabaran-cabaran baru yang muncul dari alam kelilingnya. Dari situ saya menerima beberapa maklum balas yang menggambarkan keraguan tentang praktikalnya cadangan yang saya kemukakan. Ada yang mengatakan bahawa risiko perpecahan lebih besar dengan struktur yang saya cadangkan berbanding struktur sedia ada yang sudah tahan uji bertahun-tahun. Ada juga yang mengatakan bahawa dengan sistem badan gabungan yang saya cadangkan itu perebutan jawatan di pusat akan lebih ganas daripada sistem sedia ada.

Hujah mereka yang sangat baik dan munasabah ialah soal kesetiaan. Mereka yang percaya kepada struktur sedia ada merasakan kesetiaan kepada UMNO akan lebih kukuh dalam sistem itu berbanding jika pemimpin di pilih melalui pelbagai badan gabungan UMNO yang mempunyai autonomi. Saya mengakui hujah ini memang kuat tetapi saya terfikir pula bahawa kesetiaan yang disebutkan ialah kesetiaan ahli sedia ada dan bukan ahli-ahli baru yang belum mempunyai tradisi jiwa UMNO yang sudah berakar. Bagaimana pula dengan anak-anak muda yang mempunyai pilihan dalam pasaran yang terbuka luas?

Untuk menjawab persoalan saya itu mungkin pemimpin UMNO yang sentiasa mengemaskini ilmu pemasaran perniagaan boleh mengemukakan pelbagai strategi mengekalkan atau menambah pelanggan. Jika itu dilakukan sekali lagi cadangan struktur yang saya kemukakan itu kembali menjadi pilihan yang ‘viable’. Salah satu daripada tiang penting dalam strategi mengekalkan pelanggan setia ialah melakukan perancangan pemecahan pasar sasaran atau ‘market segmentation’.

UMNO telah pun melakukan ‘market segmentation’ tetapi strateginya sangat ortodoks dan tradisional. Maksud saya sasaran pasar dilihat oleh UMNO hanya dalam dua bentuk iaitu umur dan gender yang hasilnya ialah Wanita UMNO, Pemuda UMNO, Puteri dan Putera UMNO. UMNO tidak membuat pemecahan pasar mengikut idealisme, minat, gaya hidup, keperluan hidup dan pelbagai lagi yang semuanya itu mempengaruhi mereka menjadi pembeli berulang produk UMNO. Jika ada pun UMNO melakukannya, ia hanya bersifat kecenderungan pemimpin semasa, bukan sistem yang terbina dari dalam yang mewajibkannya melakukan pengkhususan itu. Di dalam dunia pemasaran perniagaan, pelanggan setia diertikan dengan mudah iaitu mereka yang menjadi pelanggan yang datang berulang-ulang membeli sesuatu produk. Mereka selalu disebut sebagai ‘repeat customer’. Pemecahan pasar UMNO mengikut hanya dua aspek iaitu gender dan umur bukanlah terlalu buruk tetapi keupayaan kapten pemasar akan menjadi terhad. Fokus, kemahiran dan strategi tidak dikhususkan kepada sasaran pasaran yang unik.

Mungkin UMNO selama ini merasakan pendekatan-pendekatan unik dan khusus tidak perlu kepadanya kerana dia melihat dirinya sebagai komoditi keperluan asas. Suka atau tidak suka orang akan tetap membeli. Namun dalam dunia yang sudah berubah jauh rupanya dalam komoditi pun sudah ada pihak yang menggunakan pendekatan pemasaran komoditi ‘prime’.

Orang pemasaran selalu memecahkan produk kepada dua iaitu produk komoditi dan produk ‘prime’. Produk komoditi mengutamakan jumlah atau ‘volume’ untuk mengira untung rugi sebaliknya produk ‘prime’ mengutamakan nilai. Komoditi mungkin boleh dijual di tepi jalan (kerana diperlukan ramai) sementara produk ‘prime’ akan di jual menggunakan ‘showroom’ di tempat yang berprestij. Isu penting perlu diputuskan oleh pemimpin UMNO sekarang ialah secara konsepsinya apakah kedudukan UMNO di pasaran? UMNO sebagai produk komoditi atau sebagai produk ‘prime’? Pesaing UMNO mungkin sudah menggunakan pendekatan pujukan pasaran dengan mengatakan ‘biarkan UMNO kekal menjual komoditi tetapi kami menjual ‘style’ atau gaya hidup’. Inilah yang saya lihat: pesaing UMNO sedang memalu gendang menjual gaya hidup.

Menjual gaya hidup menyebabkan UMNO mempunyai saingan autoriti yang selari atau ‘parallel authority’. Mereka tidak lagi berkongsi lebuh raya pemasaran dengan UMNO. Mereka telah mencipta lebuh raya mereka sendiri. Mereka bebas bergerak dalam lebuh raya mereka yang UMNO sudah tidak mempunyai kuasa mencampuri atau memasukinya, apalagi menguatkuasakan kehendaknya di lebuh raya yang bukan miliknya itu. Akibatnya sebahagian daripada pelanggan yang tidak pernah duduk di dalam UMNO atau pelanggan yang telah meninggalkan UMNO melihat di dalam negara sudah wujud dua kerajaan. UMNO tidak lagi penguasa tunggal kerajaan dalam erti kata memberi tafsiran tunggal terhadap apa yang baik untuk mereka. Fatwa tentang kebenaran dan kebaikan sentiasa di cabar dengan itu dia telah tidak tunggal lagi.

Walaupun seperti jelas adanya pembahagian antara pelanggan setia kepada lebuh raya UMNO dan ada pula pelanggan setia lebuh raya baru namun ‘market share’ mereka yang berulang alik menggunakan jalan-jalan kecil dan sekali skala memasuki lebuh raya bertol UMNO atau yang satu lagi masih sangat besar. Mereka ini mempunyai cita rasa yang berlainan. Jika UMNO atau lawan UMNO ingin memperbesarkan sais pasar, mereka perlu memujuk kumpulan ini daripada menjadi pelanggan bebas kepada pelanggan setia.

Dalam dunia golf, jenama Big Berta pernah mencipta pasaran pelanggan golf yang telah tepu dengan mencipta ‘club’, yang di panggil ‘over-sized’, melebih besar saiz biasa, sedangkan ketika itu ‘club’ golf yang berkepala kecil kebanyakannya digunakan oleh orang yang benar-benar menyukai golf. Mereka yang baharu berjinak dengan golf akan segera ‘put off’ meninggalkan golf kerana kecewa oleh susahnya memukul bola yang kecil. Syarikat Callaway melihat peluang mencipta pasar baru dengan menghasilkan Big Berta yang berkepala besar menyebabkan orang yang baru berjinak dengan golf atau tidak pernah memegang kayu golf tiba-tiba menyukainya dan termotivasi kerana setiap pukulannya kena kepada bola berbanding dengan ‘club’ yang berkepala kecil. Pilihan lain kepada Callaway ialah mencipta permainan lain yang menggunakan bola yang lebih besar, dengan yang demikian nama permainan itu bukan lagi golf. Itu bermaksud Callaway terus keluar daripada keseluruhan pasaran.

Dari situ dapat dilihat Callaway telah keluar dari kelompok persaingan menjual set golf kepada kumpulan yang sama dan terhad kepada mencipta pasar baru iaitu mereka yang mulanya bukan pemain golf. Hasil ciptaan itu rupanya memberi kesan juga kepada pemain golf sedia ada dan yang telah lama kerana dengan set baru itu skor pukulan mereka menjadi lebih baik. Akhirnya untuk tempoh satu masa Callaway bukan sahaja mencipta pelanggan baru tetapi berkesudahan telah membolot keseluruhan pasaran yang pada mulanya dia hanya bertujuan melakukan ‘segmentation’.

Di dalam dunia pasaran perniagaan, sekiranya sesuatu produk itu menguntungkan pasaran akan cepat menjadi ‘crowded’. Mereka yang letih bersaing dengan margin keuntungan yang kian mengecil dan kos pemasaran terasa tinggi akan cepat-cepat keluar dari pasar yang terlalu ‘macet’ lalu mencipta pasar baru. Adakah UMNO masih terasa selesa dalam pasar yang sedia ada atau berminat mencipta pasar baru untuk menukar ‘non-players’ menjadi pemain UMNO yang bertenaga dan meriah? Sekali lagi UMNO dilihat perlu menstrukturkan dirinya bagi mencipta pengkhususan untuk membolehkannya mencipta pasar-pasar baru untuk mencipta pula pelanggan baru dan berulang. Untuk mencipta pasar baru kapten pemasaran mesti sangat kreatif dan penuh taktikal.

Jika pasukan bola Harimau Malaysia sudah mula memikirkan untuk mengadakan pasukan pakar taktikal, mungkinkah UMNO juga demikian atau UMNO memang sudah memilikinya?

(tulisan ini berurutan. boleh lihat dibawah untuk sebelumnya)

Memudakan Umno

SEBAGAI sebuah organisasi UMNO tidak sakit, UMNO juga tidak lemah, UMNO bukan tidak cekap dan UMNO juga bukan tidak berwibawa. UMNO sebagai UMNO (tidak mengapalah jika ada ahli atau pemimpinnya yang tidak menepati ciri-ciri kekuatan UMNO) terus mempunyai kekuatannya tersendiri tanpa apa-apa kekurangan. Namun demikian, UMNO sekarang dikelilingi oleh persekitaran yang berubah. Saya jangka jika ada yang ingin membuat kajian kes mengenai kekuatan UMNO hasilnya boleh ditamsilkan dengan dapatan kajian kes terhadap organisasi perniagaan dan perkhidmatan POS di sebuah negara maju.

Kajian kes United States Postal Service (UPSP) menarik jika dijadikan perbandingan dengan transformasi UMNO. UPSP ialah organisasi awam kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) dari segi bilangan pekerja seramai 671,687 orang dan operasinya sampai hampir ke setiap isi rumah. Berkurun-kurun UPSP menunjukkan organisasi itu sangat cekap pengurusannya, pekerjanya berdedikasi, visi dan misinya sangat jelas. Tiada apa salahnya dengan USPS sebagai sebuah organisasi perniagaan kerajaan. UPSP kekal sebagai organisasi monopoli pengumpulan, pemprosesan dan penyampaian surat-menyurat dan dengan demikian misinya ialah mengekalkan penguasaan yang telah dinikmatinya selama 200 tahun itu. Sihat atau sakitnya UPSP dianggap pertunjuk kepada sakit atau sihatnya kerajaan pusat AS.

Namun apabila teknologi berjaya mencipta mesin faks, tiba-tiba UPSP seperti akan lumpuh kerana saingannya bukan ada kaitan dengan pengurusan, bukan juga dengan sumber manusianya dan bukan juga dengan visi atau misinya. Pukulan teknologi internet yang bertalu-talu menambahkan keganasan cabaran kepadanya. UPSP telah mengalami kemerosotan jumlah penghantaran surat secara berterusan daripada 212 bilion pada tahun 2007 kepada tinggal 167 bilion pada tahun lepas, iaitu kehilangan 45 bilion yang bukan sedikit. Mungkinkah organisasi yang berumur dua kurun itu akan terus menjadi tidak relevan lagi nanti?

Demikianlah saya melihat UMNO yang sekarang sedang menghadapi cabaran di luar jangkauan pemikiran orang terdahulu tentang kesan ciptaan teknologi terhadap organisasi. Meskipun banyak ahli UMNO atau orang Melayu yang nostalgia dengan perjuangan pemimpin yang terdahulu seperti Datuk Onn, Tengku, Tun Razak dan seterusnya tetapi jika mereka masih hidup yang duduk di kerusi Najib pada ketika ini mereka pun belum tentu mampu menghadapi segala cabaran luar biasa yang dihadapi oleh Presiden UMNO sekarang. Cabaran Presiden UMNO pada ketika ini adalah di luar tradisi cabaran terhadap organisasi itu. Cabaran ini memerlukan transformasi yang didefinisikan oleh Levy and Merry (1986) sebagai penyusunan semula setiap dimensi kewujudan organisasi yang meliputi misi, matlamat, struktur dan budayanya. Perubahan yang berlaku secara kebetulan atau melalui proses evolusi tidak layak dipanggil transformasi.

Di manakah UMNO hendak mencari idea luar biasa bagi melaksanakan transformasi untuk menjamin monopoli kuasa memimpin negara dari sebelum merdeka hingga sekarang? Idea itu boleh saja datang dari Timur, Barat atau Kutub Utara atau Kutub Selatan. Tetapi, jangan lupa kadang-kadang idea boleh juga diperoleh dari belakang ceruk dapur sendiri. Meminjak kata-kata orang bijak terdahulu ‘ke Yathrib dan Maghrib mencari penyelesaian akhirnya menemuinya dalam rumah sendiri’. Lihat bagaimana idea ‘lif peluru’ yang dibina di luar bangunan yang bukan berasal daripada arkitek atau jurureka profesional sebaliknya adalah idea tukang cuci bangunan.

Secara organisasi UMNO sekarang wujud dalam bentuk struktur berperingkat dari cawangan, bahagian, negeri hingga ke negara. Keahlian adalah melalui cawangan. Oleh sebab banyak cawangan di luar bandar atau kampung ada pemimpin tertinggi UMNO yang mengatakan UMNO adalah parti kampung. Bagaimana pandai sekali pun seseorang itu jika dia berhajat hendak menjadi pemimpin tertinggi UMNO dia tiada pilihan kecuali pulang ke kampung mencari tapak. Ada juga beberapa contoh pemimpin korporat atau pemimpin awam yang merasa berkebolehan memberi sumbangan kepada UMNO di pusat, terpaksa pulang ke kampung mencari tapak itu, tetapi berkesudahan dengan kecundang dan kecewa. Antara tokoh terkenal, pernah dilihat sangat berkebolehan dan pernah dikecewakan itu termasuk Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, Nawawi Mat Awin, tokoh organisasi kewangan, Abdullah Ayub, tokoh pentadbiran awam dan banyak lagi.

Jika AS pernah dan masih menghadapi krisis menggantikan generasi ‘baby boomers’ yang memimpin segenap sektor di AS, Malaysia dan UMNO juga menghadapi krisis mencari pemimpin bagi menggantikan generasi merdeka, generasi 13 Mei dan generasi DEB sambil pada masa yang sama meneruskan kefahaman mendalam tentang tradisi perjuangan UMNO. Generasi baru seperti mula menjauhkan diri daripada UMNO. Ada juga seorang dua pemimpin UMNO bertanya saya bagaimana mengajak mereka menyertai UMNO? Amat susah saya hendak menjawabnya secara spontan.

Apabila saya membelek semula sejarah UMNO saya dapati parti itu tertubuh bukan dari kumpulan yang sama seperti sifatnya UMNO sekarang. Perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1 Mac hingga 4 Mac 1946 yang membawa kepada penubuhan UMNO didukung oleh 41 Pertubuhan-pertubuhan Melayu yang masing-masingnya berlainan dan berautonomi. Saya terfikir, mungkin inilah antara jawapannya yang telah lama tersimpan di stor UMNO yang sudah berdebu? Secara struktur mungkin UMNO boleh mula berfikir untuk menjadikannya sebuah badan induk parti yang membenarkan adanya badan gabungan selain daripada meneruskan kewujudan cawangan, bahagian dan negeri. Namun, dalam perhimpunan UMNO, perwakilan tidak lagi terhad kepada wakil-wakil bahagian sebaliknya akan ada wakil-wakil dari badan-badan gabungan. Tentang kuantum perwakilan badan gabungan dan bahagian tidaklah perlu diperincikan di sini sebaliknya boleh difikirkan dengan mendalam dan dimasukkan ke dalam perlembagaan UMNO nanti. Dalam istilah perniagaan UMNO melaksanakan transformasi struktur dengan ‘penggabungan dan pengambilalihan’ badan-badan Melayu yang begitu banyak di Malaysia sekarang seperti memberi nyawa semula kepada tarikh 1 Mac hingga 4 Mac 1946 itu.

Berbanding usaha UMNO mengadakan pelbagai projek mendekati mahasiswa, mendekati pelajar sekolah seperti kursus, projek khidmat masyarakat dan pelbagai lagi yang hasilnya agak lambat, dengan strategi yang dicadangkan UMNO akan tiba-tiba menjadi kaya dan muda semula. Tidak mustahil melalui transformasi struktur seperti ini orang seperti Tan Sri Khalid akan meninggalkan PKR dan menyertai UMNO semula dengan memimpin sebuah badan gabungan lain yang berautonomi. Pilihan mencari pemimpin UMNO terbaik akan menjadi terbuka luas semula seluas lautan biru. Melihat badan-badan Melayu berbondong-bondong menyertai UMNO dan dengan rasa tidak mahu ketinggalan gerabak, tidak mustahil PAS juga akan mencari jalan paling ‘terhormat’ untuk menyertai organisasi UMNO yang dipermudakan semula itu, seperti sifatnya pada 1973.

Apakah halangan utama kepada kemungkinan ini? Jawabnya tiada yang lain kecuali nostalgia, sentimen dan emosi. Tetapi, idea ini bukan hanya unik untuk UMNO kerana jika UMNO tidak berminat maka lawan UMNO akan melaksanakannya. Hadi Awang telah mengorak langkah menemui NGO seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM,) Persatuan Guaman Syariah Malaysia (PGSM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Ilmuan, Jaringan Siswazah Malaysia, dan Persatuan Pelajar Islam Selangor menyampaikan mesej kesamaan matlamat. Meski pun PAS tidak secomel UMNO tetap jika badan-badan Melayu yang banyak itu dibiarkan kekal sebagai penyokong luaran yang berkesudahan seperti melukut di tepi gantang atau seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, tidak mustahil mereka akan beralih haluan mencari pilihan lain yang lebih mengalu-alukan mereka.

Dua ratus tahun UPSP wujud dengan gagah tetapi tergugat oleh cabaran teknologi, terlalu muda untuk UMNO di tewaskan. UMNO mesti terus memudakan struktur binaannya bukan hanya pada solekan harian.

Berganjak Dari Pemikiran Silo

DI UNIVERSITI di Malaysia, kerap kali fakulti memperjuangkan kepentingan fakultinya, jabatannya, program pengajiannya dan lebih jauh lagi mengenai mata pelajaran masing-masing. Kadangkala para pentadbir akademik menghadapi jalan buntu bagaimana harus kepentingan-kepentingan nipis itu dapat disatukan semula menjadi kepentingan besar dan bersama. Ahli akademik pula membina dunianya dan meletakkan peraturan kepada ahlinya supaya jangan keluar dari dunia itu.

Dunia itu selalunya dibina berdasarkan latihan formal purata satu setengah tahun untuk Sarjana atau purata tiga tahun setengah untuk Doktor Falsafah yang kemudian menentukan corak hidup seorang ahli akademik puluhan tahun selanjutnya. Calon ditetapkan supaya mengajar, menyelidik, menulis, memberi khidmat masyarakat dan memberi rundingan profesional dalam dunia itu sahaja. Jika dia keluar, maka akan ada tukang sibuk menyemak dan mempersoalkan kenapa ahli akademik itu bekerja di luar dunianya. Seorang yang mempunyai Doktor Falsafah mungkin akan gagal dalam temu duga atau tapisan untuk menjadi seorang Profesor Penuh Gred Khas C jika didapati dia didapati oleh panel pemilih sebagai telah tidak mengajar, menyelidik, menulis dan pelbagai lagi dalam bidang pengkhususan Doktor Falsafahnya dahulu.

Hal ini dipertahankan oleh banyak ahli akademik yang telah berkedudukan dengan mengatakan itulah tradisi ilmu. Mungkin itu benar pada kurun ke-19 tetapi ia mungkin tidak benar lagi dalam kurun ke-21 ini. Apabila diteliti amalan universiti ternama di dunia, tradisi itu mereka telah tidak dipegang lagi. Saya pernah berjumpa dan berkenalan dengan beberapa Profesor (bukan seorang!) dari universiti yang selalu disebut sebagai universiti nombor satu di dunia yang tidak memenuhi kriteria profesor universiti di Malaysia itu.

Ada yang ijazah pertamanya dalam bidang bahasa dan linguistik kemudiannya meneruskan pengajian lanjutannya dalam bidang lain dan sekarang dia menduduki Profesor Berkerusi dalam bidang Teknologi Maklumat. Yang lain pula mempunyai Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah Tulen dan sekarang menduduki Profesor Berkerusi Unggul dalam bidang Pemasaran di Fakulti Pengurusan terunggul di dunia. Seorang lagi berkelulusan dalam bidang Kejuruteraan dan sekarang menduduki Profesor Berkerusi dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia yang teori dan bukunya menjadi pakaian di seluruh dunia.

Saya menekankan perkataan Berkerusi di sini untuk membezakannya dengan amalan Gred Gaji Khas C di Malaysia. Imbuhan dan prestij Profesor Berkerusi di negara maju berbeza antara satu kerusi dengan kerusi yang lain berbanding Gred Khas C di Malaysia yang menyeragamkan Gred Gaji dan taraf Profesor dalam apa jua bidang. Untuk makluman awam, berdasarkan skim akademik ini, secara hakikinya tidak ada seorang pun Profesor Berprestij di universiti awam di Malaysia! Asalkan mereka menjadi Profesor, semua mereka jadi sama sahaja, tidak lebih tidak kurang. Yang ada, mungkin Profesor senior kerana lama pada kedudukan mata gaji Profesor atau pada Gred B dan A (Bukan pun Turus!). Jika pun ada Profesor Berkerusi dan pemegangnya Profesor tempatan, imbuhannya akan diselaraskan dengan Gred-Gred tersebut.

Apakah kaitan Profesor Berkerusi dengan isu yang hendak diketengahkan? Sekali lagi kaitannya ialah sama ada yang berprestij itu ialah dunia akademik tertutup atau dunia akademik terbuka dan merentas bidang? Di Harvard, misalnya, terdapat dua jenis Profesor, iaitu Profesor Bidang dan Profesor Universiti. Mungkin terdapat ribuan Profesor Bidang yang tidak pula diikat oleh bidang pengajian dan penyelidikan Ph.D-nya tetapi ada beberapa kerat sahaja yang dipanggil Profesor Universiti. Yang jelas Profesor Universiti lebih tinggi prestijnya daripada Profesor Bidang. Hanya calon yang telah membuktikan keunggulan merentas bidang sahaja boleh berhajat untuk diangkat ke taraf itu. Maksudnya, seorang Profesor Fiqah tidak mungkin menjadi Profesor Universiti jika dia tidak keluar dari dunia itu dengan mengungguli (pengajaran, penulisan, perkhidmatan masyarakat dan perundingan profesional). Begitu juga dunia Usuluddin, Bahasa dan sebagainya. Ringkasnya, universiti ternama memberi prestij kepada mereka yang berupaya keluar daripada penjara thesis Ph.D-nya dan merentas serta menguasai pelbagai dunia lain.

Banyak penulis, yang antaranya termasuk David De Long (1997) yang menulis untuk Center for Business Innovation, Ernst and Young, percaya bahawa banyak inisiatif baru dalam dunia ilmu pengetahuan dibantutkan oleh budaya aktivis ilmu itu sendiri Oleh itu katanya, kita mesti menukar budaya itu. Yang mungkin kelihatan aneh dalam dunia ilmu ialah biasa aktivis ilmu memperjuangkan slogan ‘kebenaran dan tidak lain dari kebenaran’ tetapi mereka jugalah yang menutup kebenaran itu dengan tembok sempadan-sempadan yang mereka cipta sendiri.

Benar bahawa kemajuan inisiatif ilmu secara dominannya ditentukan oleh sekurang-kurangnya tiga faktor iaitu: (i) proses kerja dan aktiviti yang memanfaatkan ilmu pengetahuan itu sendiri (ii) Prasarana, umpamanya teknologi, yang menyokong perolehan ilmu, pemindahan ilmu dan penggunaan ilmu (iii) norma tingkah laku dan tabiat pekerja-pekerja ilmu – yang selalu disebut sebagai budaya organisasi atau dalam bahasa Inggeris ia popular sebagai ‘organisational culture’ atau ‘organisational behaviour’. Orang selalu percaya bahawa wang dan teknologi biasanya menjadi prasyarat kecekapan pengurusan ilmu. Namun, banyak juga pihak yang mengakui bahawa yang paling asas ialah tingkah laku yang membentuk budaya kerana pada kesudahannya budaya itulah yang akan menyokong atau membantutkan transformasi sesebuah institusi ilmu.

Apa yang cuba diutarakan setakat ini ialah tentang adanya dunia silo dalam alam universiti. Alam ini perlu dipecahkan dalam usaha membawa transformasi pengajian tinggi di Malaysia. Ini sangat fundamental. Adakah ia disentuh dalam dokomen transformasi edisi Kementerian Pengajian Tinggi yang akan dilancarkan tidak lama lagi? Jika tidak, ‘architecture’ Pengajian Tinggi Malaysia nanti mungkin akan kelihatan cantik dan kukuh di luar tetapi belum terjamin sedemikian juga di dalamnya.

Siapakah yang akan beruntung apabila budaya silo di universiti ini dapat dipecahkan? Tentulah pengguna. Pengguna ilmu dari dalam dan luar universiti sama ada pelajar, ahli masyarakat, pembuat dasar, pengguna teknologi dan sebagainya akan mendapat sebuah ‘gambar siap’ bukan cebisan gambar dari pelbagai tangan yang tidak saling mengenal antara satu sama lain. Pelajar misalnya kerap terkial-kial cuba mengintegrasikan sendiri pelbagai mata pelajaran yang diikutinya daripada seorang guru yang apabila ditanya kaitannya dengan mata pelajaran lain akan segera menutup soalan itu dengan jawapan ‘itu bukan bidang saya’. Pemecahan tembok silo akan membuka hijap inspirasi pelajar tadi.

Apakah budaya silo ini unik kepada dunia universiti sahaja di Malaysia? Jawabnya tidak! Budaya ini diamalkan secara meluas dalam segenap aspek kehidupan. Kaum di Malaysia bercakap mengenai kaumnya. Integrasi harus dipaksakan. Tidak ada kerelaan. Tidak banyak yang mahu berkongsi. Perkongsian ditafsir sebagai bertentangan dengan keutamaan merit. Parti politik dengan kepentingan parti masing-masing. Budaya pemikiran ‘biarlah jumlahnya sedikit asalkan dapat semua’ mengalahkan pemikiran ‘biar tidak dapat semua asalkan jumlahnya banyak’.

Dari perspektif sektor ekonomi pula setiap sektor mementingkan sektornya dan tidak melihatnya sebagai suatu rantaian aktiviti menguntungkan semua pihak yang merentas sektor. Apabila gaji naik misalnya peniaga akan menaikkan harga tanpa memikirkan kesan buruk jangka panjang yang lambat laun akan mengetuk pintu rumahnya sendiri. Jabatan-jabatan kerajaan juga hidup dalam silo masing-masing dengan bersaing-saing supaya dapat masuk buku baik autoriti tertentu. Antara satu perkhidmatan (service) bersaing dengan perkhidmatan lain dan mesti menang. Jika tidak menang tercalarlah imej perkhidmatan! Tentulah rakyat jelata amat berharap agar pemikiran silo tidak sampai menjengah pemimpin setinggi Menteri yang berfikir untuk Kementerian masing-masing sahaja.

Abad 21 nampaknya mengajak manusia seluruh dunia untuk keluar dari tempat pertapaan masing-masing. Marilah kita keluar beramai-ramai!

Demokrasi Lawan Autoritarian

“… Gaji pegawai kerajaan pula diletakkan pada kedudukan antara tertinggi di dunia. Hujahnya, walaupun tinggi, kos membayar gaji menteri dan pegawai kerajaan pada kesudahannya akan lebih murah daripada menanggung kos rasuah.

Singapura mengendalikan negara seperti mengendalikan sebuah syarikat. Baik mahu menjadi menteri, mahupun menjadi ketua eksekutif syarikat kerajaan Singapura, seseorang itu harus menanya dirinya adakah kebolehan dan kelayakan aku ini berharga lebih satu juta? Jika ragu-ragu, orang itu tidak akan berani mendekati jawatan-jawatan tersebut.

Singapura membeli social peace.

Setelah demokrasi, golongan reformis muda di Rusia begitu percaya bahawa, berlawanan dengan sistem komunis, perniagaan swasta lebih cekap berbanding yang diuruskan oleh negara. Oleh itu mereka tidak sabar-sabar untuk menswastakan semua perniagaan yang dimiliki kerajaan.

Golongan reformis muda ini mewujudkan kumpulan oligarki, yang dikatakan oleh Anatoly Chubais (salah seorang reformis), mencuri semua perniagaan kerajaan.”
……………………………………………………………………………………………………..

KALI terakhir saya mempelajari ekonomi makro secara formal ialah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1975. Tiba-tiba pada minggu lepas, saya mempelajari, membincang dan mendebatkannya semula di Harvard Business School. Rasanya sudah kira-kira 45 kajian kes kami perdebatkan dalam tempoh dua minggu setengah saya berada di sini. Beginilah cara pembelajaran di Harvard.

Minggu ini, dua daripada kes yang dibincangkan menyangkut ekonomi makro Singapura dan Rusia. Kes Rusia ditulis oleh Profesor Rawi Abdelal manakala kes Singapura oleh Profesor Richard H.K Vietor dan penyelidik Emily J. Thompson. Dalam dua kes ini, terserlah perbezaan antara dua negara mengatur kehendak dan keperluan ekonominya.

(tulisan ini telah disiarkan di ruangan rencana, 26/09/2006 Utusan Malaysia)

Pada 31 Disember 1999, Boris Yeltzin yang mengambil alih tampuk pemerintahan atas nama demokrasi pada tahun 1991 mengumumkan peletakan jawatan. Dalam ucapannya dia mengatakan segala mimpi yang kita kongsi selama ini tidak menjadi realiti. Mimpi itu yang kelihatan begitu mudah, rupanya terlalu amat susah. Sedangkan, pada tahun 1991 Yeltzin begitu percaya bahawa hanya dengan sekali pacuan, Rusia akan menjadi negara gagah, cerah, kaya dan bertamadun. Semasa dia membuat pengumuman persaraannya itu, dia kelihatan seperti orang sakit yang lebih tua daripada umur sebenarnya.

Yang nyata ekonomi Rusia merudum setelah politik Rusia didemokrasikan. Walaupun pendapatan meningkat daripada 72.1 bilion Rubel pada tahun 1994 kepada 608.0 bilion pada tahun 1999, tetapi hutang luar negara meningkat daripada 3.1 bilion kepada 88.9 bilion dan hutang luar terkumpul meningkat daripada 0 kepada 124.8 bilion. Hutang dalam negeri pula meningkat daripada 8.9 bilion kepada 73.9 bilion. Keseluruhannya imbangan pembayaran menjadi defisit daripada negatif 69.7 bilion kepada negatif 214.3 bilion.

Apabila lensa kamera dipindahkan ke Singapura pula, kelihatan Goh Chok Tong sambil duduk minum kopi pagi 1 Januari 2003, membelek nota untuk ucapan tahun barunya sambil merenung data terbaru pertumbuhan Singapura yang menunjukkan ekonominya mengecut kepada 2.2 peratus berbanding purata pertumbuhan lebih 10 peratus pada tahun-tahun sebelumnya. Rekod menunjukkan setelah 40 tahun Singapura melonjakkan pendapatan per kapitanya daripada AS$427 pada tahun 1960 kepada AS$20,748 pada 2002.

Cabaran besar Chok Tong dan PAP ialah mengembalikan pertumbuhan yang boleh bertahan lama. Syor Jawatankuasa Pemantau Ekonomi yang diketuai oleh Menteri Kewangan Lee Hsien Loong (sekarang Perdana Menteri) ialah supaya Singapura mengurangkan pergantungan kepada ekonomi Amerika Syarikat dan industri elektronik dengan membina strategi yang dinamakan ekosistem untuk menjana inovasi dan kepelbagaian ekonomi. Caranya ialah dengan menabur wang dalam bidang sains dan teknologi untuk bergerak ke arah rantaian nilai sektor berasaskan pengetahuan (knowledge-based).

Dalam perbincangan kajian kes ini, Profesor Julio yang mengendalikan kelas sentiasa merujuk kerajaan Singapura sebagai kerajaan autoritarian. Dia terbahak-bahak mentertawakan pelajar dari Singapura yang bangun dengan berani mempertahankan tindak-tanduk kerajaan Singapura meskipun hujah-hujah yang dikemukakan sangat menarik dan meyakinkan (perlu dipelajari oleh orang Malaysia, supaya ada pilihan selain daripada hanya berdemonstrasi setiap kali Malaysia dikritik).

Pada Julai 2006, aset simpanan Singapura berada pada kedudukan AS$129.9 bilion, Simpanan Wang Luar AS$128.3 bilion dan Sekuriti bernilai AS$120.5 bilion. Pertumbuhan dalam negara penggal kedua Singapura berada pada paras 8 peratus.

Cerita dua negara ini menunjukkan dua imej berbeza: Singapura negara autoritarian dan Rusia negara demokrasi. Yeltzin menyerah kalah, Goh membangkitkan semula Singapura. Mengapa hal ini terjadi?

Rusia sememangnya sangat kaya dengan gas asli, minyak galian dan pelbagai lagi yang semuanya ini semasa sistem komunis dimiliki oleh negara. Setelah demokrasi, golongan reformis muda di Rusia begitu percaya bahawa, berlawanan dengan sistem komunis, perniagaan swasta lebih cekap berbanding yang diuruskan oleh negara. Oleh itu mereka tidak sabar-sabar untuk menswastakan semua perniagaan yang dimiliki kerajaan.

Golongan reformis muda ini mewujudkan kumpulan oligarki, yang dikatakan oleh Anatoly Chubais (salah seorang reformis), mencuri semua perniagaan kerajaan. Namun, dia mengatakan itu tidak mengapa, biarkan mereka terus mencuri, mencuri dan terus mencuri kerana pada kesudahannya mereka akan menjadi pemilik dan pentadbir yang bersih bagi semua harta itu. Kumpulan oligarki ini menjadi kaya-raya dan menjadi penaja ahli-ahli politik.

Pada Mac 1995, Bank Oneksim yang dipengerusikan oleh Vladimir Potanin mencadangkan kepada Yeltsin cara menyelesaikan masalah kewangan Rusia. Dengan menghubungi pelbagai bank, Potanin mencadangkan supaya semua bank itu menawarkan pinjaman setahun kepada kerajaan. Sebagai jaminan, bank-bank itu akan memegang saham secara blok bagi 29 syarikat terbesar milik kerajaan di Rusia yang kebanyakannya berkaitan dengan minyak dan galian (seperti Lukoil, Sidanko, Yukos dan Norilsk Nickel). Blok-blok ini dijadikan ‘lelong janji’ yang jika pada 1 September 1999 kerajaan gagal membayar maka hak milik akan dipindahkan kepada pemenang lelongan itu.

Yeltsin meluluskan cadangan itu pada 31 Ogos 1995 di bawah Dikri 889. Selepas gagal, hak milik itu akan berpindah kepada pembida yang realitinya tidak perlu ada wang kerana urusan wang boleh dikendalikan kemudian dengan pihak bank. Melalui cara ini lahirlah para oligarki yang disebutkan. Para ahli politik pula bergantung kepada kumpulan ini untuk memenangi pilihan raya. Oleh kerana terhutang budi kepada golongan ini maka legislator tidak dapat membuat undang-undang atau peraturan negara yang tidak secocok dengan kehendak golongan ini. Ekonomi negara pun hancur.

Singapura pula, dengan gaya autoritariannya memastikan tidak ada rasuah seperti yang terjadi di Rusia. Semasa berucap untuk menaikkan gaji para menteri Singapura, Chok Tong berkata: ‘‘Kalau kita katakan kita lali kepada rasuah, kita sebenar-benarnya mempertaruhkan masa depan kita. Rasuah adalah penyakit dunia yang merebak dengan meluas di Asia, dan kita juga dengan mudah dijangkiti. Hanya dengan kawalan rapi kita akan dapat mengawalnya.’’

Untuk mengurangkan rasa mengidam kepada rasuah, sesiapa yang didapati bersalah rasuah boleh didenda S100,000 dan penjara lima tahun. Gaji pegawai kerajaan pula diletakkan pada kedudukan antara tertinggi di dunia. Hujahnya, walaupun tinggi, kos membayar gaji menteri dan pegawai kerajaan pada kesudahannya akan lebih murah daripada menanggung kos rasuah.

Singapura menjadi terlalu banyak wang tetapi negara itu tetap menggalakkan pelbagai insentif seperti pengecualian cukai kepada pelaburan langsung luar negara (FDI). Mengapa? Soalan ini diajukan bertalu-talu kepada kami oleh Profesor Julio. Buat apa lagi FDI? Syarikat-syarikat besar Singapura dimiliki oleh kerajaan dan berjaya. Ini berlawanan dengan kenyataan-kenyataan akademik mengatakan swasta lebih cekap daripada kerajaan mengendalikan urus niaga. Mengapa?

Rumusannya Singapura mengendalikan negara seperti mengendalikan sebuah syarikat. Baik mahu menjadi menteri, mahupun menjadi ketua eksekutif syarikat kerajaan Singapura, seseorang itu harus menanya dirinya adakah kebolehan dan kelayakan aku ini berharga lebih satu juta? Jika ragu-ragu, orang itu tidak akan berani mendekati jawatan-jawatan tersebut. Profesor Julio kesudahannya berkata Singapura membeli social peace.

Dengan rumusan itu Profesor Rawi memberi tajuk kes Rusia sebagai Russia: The End of a Time of Trouble? dan kes Singapura pula diberi tajuk oleh Profesor Vietor sebagai Singapore Inc. Syarikat milik negara Singapura kini berniaga di seluruh dunia – membuka jalan untuk membeli pelbagai syarikat di negara lain terutamanya negara jiran, oligarki Rusia pula ke luar negara membawa kekayaan tetapi bukan untuk negaranya.

Alangkah gembiranya saya apabila hari ini, hari Rabu (20 September 2006) buat kali pertama profesor mengiktiraf komen saya sebagai ‘lesson for AMP 171 of the day’ di hadapan 70 CEO (dalam kumpulan saya) dari seluruh dunia sambil menutup kuliahnya. Semua ini untuk Malaysia!

Sebarkanlah Kebaikan Bukan Melanjutkan Permusuhan

SAYA menerima pesanan ringkas daripada rakan karib saya semenjak kami remaja bernama Dr Hasan yang berasal dari Pontian. Sekarang beliau ialah Setiausaha Agung sebuah badan bukan kerajaan yang di dalamnya puluhan lagi badan-badan mewakili kepentingan Melayu menganggotainya. Pesanan ringkas itu mengajak menyertai perhimpunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur bagi memberi reaksi kepada kenyataan Presiden MCA yang dikatakan sedia berdiri senada dengan DAP bagi menuntut supaya syarat ekuiti bumiputera 30 peratus dalam pelbagai perkara ditiadakan secara beransur-ansur. Akhbar-akhbar juga menyiarkan pelbagai reaksi pemimpin Malayu.

Saya tahu Hasan dari Pontian ini semangat patriotismenya sangat tinggi. Dia tidak berucap berapi-api tapi sangat cekap membuat kerja-kerja operasi. Beliau pernah menjadi penerima Pingat Emas pelajar terbaik sebuah universiti, sebagai tanda dia seorang yang gigih. Oleh cemerlangnya ijazah sarjana mudanya dia terus diterima oleh Universiti London untuk membuat Ijazah Doktor Falsafah, jalan pintas tanpa perlu membuat Ijazah Sarjana. Beliau lulus Doktor Falsafah dalam bidang agronomi tepat pada masanya pada usia yang relatif muda. Personaliti Hasan sangat menawan, pertururannya teratur, budi bahasanya menyenangkan. Namun, Hasan yang saya kenali ada kalanya sangat degil setelah dia membuat sesuatu keputusan, sebab utama mengapa dia tidak lama menjadi pensyarah di sebuah universiti terkemuka di Malaysia.

Dr Chua Soi Lek pula lulusan MBBS Universiti Malaya pada tahun 1973. Untuk terpilih mengikuti pengajian dalam bidang perubatan tentu bukan calang-calang calon. Keputusan HSCnya tentu baik, jika tidak tentu beliau akan terpaksa merayau ke-merata dunia lain mencari tempat yang lebih mudah masuk jika dia telah bulat hati hendak menjadi Doktor Perubatan. Seperti Hasan, Dr Chua juga tidak lama sangat berkhidmat dengan jabatan kerajaan. Siapa tahu, alasannya meninggalkan perkhidmatan kerajaan juga sama dengan Dr Hasan.

Hasan orang Pontian dan Chua dari Batu Pahat. Keduanya tinggal di daerah yang berjiran. Hasan seorang intelektual dan begitu juga Chua. Kedua-duanya mempunyai kebolehan luar biasa untuk merancang strategi dan melaksanakan operasi masing-masing. Hasan mungkin di Kampung Baru dan Chua di Ampang, yang pastinya di Kuala Lumpur. Mereka akan terjun memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing. Gelanggangnya ialah bumi Malaysia yang saya dan keluarga saya juga adalah warganegaranya. Apakah kesudahannya? Apakah hasilnya nanti baik untuk saya dan keluarga saya atau sebaliknya? Oleh baik atau huduh kesudahannya nanti akan tetap tertimpa ke atas saya dan keluarga saya, bolehkah saya berkecuali, tidak mengambil bahagian? Demikian terdesaknya saya dan apakah pendirian saya? Bolehkah saya berkecuali, sedangkan untung nasib saya dan anak-anak saya akan ditentukan oleh tindakan-tindakan mereka? Apakah hak mereka mengheret saya dan orang lain seperti saya untuk menerima akibat daripada permainan fikiran mereka? Saya percaya persoalan seperti ini bermain dalam fikiran orang lain juga.

Kalau Hasan dan Chua dari Pontian dan Batu Pahat, saya pula dari Teluk Intan. Kampung saya bersebelahan dengan Kampung Sungai Manik. Tentu ramai juga yang ingat cerita di Johor dan Perak terutamanya Batu Pahat dan Sungai Manik. Arwah Datuk saya terkenal sebagai ahli silat sendeng. Dia selalu bercerita tentang Kiyai Saleh di Batu Pahat. Kemudian saya membaca buku mengenai Kiyai Saleh. Pada bab-bab tertentu meremang juga bulu roma. Tiga orang yang ada hubungan dengan saya mati dibunuh semasa pemerintahan Bintang Tiga: Cikgu Ajmain, seorang guru, khabarnya dimasukkan ke dalam guni oleh sepasukan Bintang Tiga dan tidak pulang-pulang selepas itu. Cikgu Ajmain, seorang guru, ialah adik kepada ibu arwah ibu saya. Yunan pula, adalah adik kepada datuk saya Haji Abdul Hamid. Yunan gugur dalam pertempuran senjata tangan dengan Bintang Tiga. Haji Sidek adalah seorang guru agama terkenal di daerahnya. Dia juga tidak pulang setelah ditangkap Bintang Tiga. Dia berpesan supaya muridnya, iaitu datuk saya Haji Abdul Hamid menjaga isterinya jika apa-apa terjadi kepadanya. Akhirnya bekas isteri Haji Sidek menjadi nenek tiri saya. Ketiga-tiga mereka menerima nasib buruk itu di Batu Pahat, sezaman dengan Kiyai Saleh yang ceritanya telah dibukukan itu. Khabarnya datuk saya Abdul Hamid juga berperanan di Sungai Manik. Cerita ini membangkitkan semangat saya semasa saya seorang remaja lelaki yang baru membina otot-otot penting.

Sebagai remaja seperti disebutkan, saya meminta supaya datuk saya mengajar saya pencak silat mempertahankan diri dan menyerang. Datuk saya terus mentah-mentah menolak. Katanya orang sekarang tidak lagi bersilat lengan tapi bersilat otak. Saya marah dan merajuk kepada arwah datuk. Hanya kemudian saya tertanya-tanya mengapa dia menolak, bahkan melarang saya belajar silat. Sehingga sekarang saya terus tidak pandai langsung bersilat. Tetapi, ingatannya bahawa orang sekarang bersilat otak sangat berkesan kepada hidup saya.

Semasa remaja juga saya membaca novel kecil cerita rekaan bertajuk ‘Lembing Awang pulang ke Dayang’. Novel itu menceritakan seorang anak muda yang merantau untuk mencari sedikit kesenangan supaya nanti pulang berkahwin dengan tunangnya dan hidup aman. Sebaik pulang, dia mengalami kepedihan hati apabila yang dihadirinya ialah perkahwinan tunangannya, Dayang, dengan orang lain. Orang dahulu, menjinjing buntil bekalan dengan lembing. Dia melejangkan lembingnya ke tengah orang ramai. Yang terkena, mencabut dan melejangkannya pula. Demikianlah berterusan sehingga ramai yang cedera dan mati dan akhirnya singgah di perut ayah Dayang. Ayah Dayang berkata, ‘disinilah akhir lembing ini’ dan dia tidak melejangkan lembing itu seterusnya.

Daripada empat cerita yang saya utarakan: Dr Hasan, Dr Chua, diri saya dan Lembing Awang, saya ingin membuat suatu rumusan berikut: Dr Hasan, sebagai seorang agronomis, menjaga pohon-pohon ujikajinya dengan cermat. Saya sempat melawat makmalnya semasa dia membuat Ph.D di London. Bahannya ialah durian dan mungkin manggis. Bayangkan kalau pohon kecilnya itu cedera tentu susah untuk memperolehi gantinya di London. Dr Chua mengaji bidang perubatan dan saya mengaji psikologi kaunseling. Kedua-dua kami tentu telah membaca ‘sumpah hippocratic’ yang antaranya menyebut sumpah moral supaya tidak menyakiti orang lain walaupun kesakitan itu bagi menyembuhkan. Hasan, Chua dan saya amat tahu kategori moral ‘nonmaleficence’, iaitu larangan supaya jangan sekali-kali kita menyakiti orang lain walaupun tujuan kita untuk membuat kebaikan. Tugas kita kepada manusia lain ialah sentiasa membuat kebaikan, terutamanya apabila menjadi pemimpin. Apabila berlaku dilemma moral yang berkonflik antara memberi autonomi, membuat kebaikan berterusan, larangan menyakiti yang datang serentak, maka utamakanlah dahulu moral menjauhi perbuatan menyakiti. Demikian saya andaikan seorang Doktor Falsafah dan Doktok Perubatan berfikir. Pegangan moral mereka mesti melangit.

Kesimpulannya saya, biarlah Dr Chua menuntut sesuatu untuk kaumnya, biarkan Dr Hasan menyuarakan kepentingan kaumnya tetapi saya tidak akan sekali-kali akan membalas kejadian yang menimpa keluarga saya pada zaman Bintang Tiga dengan lengan saya. Saya bercita-cita untuk membalas kejahatan dengan kebaikan seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi saya atau sekurang-kurangnya menjadi seperti ayah Dayang. Saya berangan-angan untuk, jika berpeluang, untuk menolong Cina miskin supaya keluar daripada kemiskinan mereka. Saya ingin menolong orang Tamil papa yang malang, akibat estet tempat mereka tinggal telah dibina perumahan gergasi, supaya keluar daripada kepapaan mereka. Saya ingin mengeluarkan Cina tak berpelajaran di Ulu Lenggong supaya sampai ke Universiti. Bolehkah Dr Hasan dan Dr Chua melakukan yang sama? Bolehkah Dr Cua tidak mengajak rakan karib saya sekarang Tie Tech Kui ke Ampang dan Dr Hasan tidak mengajak saya ke Kampung Baru. Bolehkah saya yang jemput mereka berdua datang ke Sintok yang dingin ketika ini untuk beberapa hari duduk bertiga memerah otak dan daya intelektual tinggi kita mencari jalan bagaimana menolong Melayu, Cina dan Tamil yang miskin dan tidak berpelajaran keluar daripada kemiskinan dan kejahilan, bukan meneruskan dendam Bintang Tiga dan Lembing Awang?

Saya baharu mengulangkaji teori psikoanalisis Sigmund Freud untuk tujuan mengajar di kelas saya. Antara tajuk yang saya baca ialah helah beladiri ‘reaction formation’. Adakah saya sekarang sedang menggunakan helah beladiri jenis tersebut. Jika benar, saya memerlukan seorang ahli therapist untuk menganalis saya.

(selesai ditulis pada 17 Ogos 2010 waktu isu ini sedang berkocak)

Ucapan Majlis Konvokesyen UUM

KALAU kita baca sejarah yang ada ialah India. Pakistan tidak ada. Tapi oleh kerana mereka ini adalah sama, kaumnya sama, bukan ada orang Melayu di India, semuanya orang India masa itu. Tapi hanya kerana mungkin perbezaan agama, pada hal mungkin adik beradik pun mereka ini, lalu orang Hindu dan orang Islam berperang. Orang Hindu tidak selesa hidup dengan orang Islam, orang Islam pun kata tidak boleh hidup aman dengan adanya orang Hindu di sebelah. Akhirnya berlakulah pemecahan India satu majoriti Hindu, satu majoriti Islam yang dinamakan Pakistan.

Ditubuhkanlah apa yang dipanggil Republik Islam Pakistan atas alasan hanya apabila hidup berasingan barulah kita jadi aman. Republik Islam pun ditubuhkan. Apabila ditubuhkan Republik Islam Pakistan, India yang majoriti Hindu, saling takut-menakuti antara satu sama lain. Orang Hindu takut Islam akan meyerang dan orang Islam juga takut orang Hindu akan menyerang. Lalu mereka menggunakan sumber kewangan negara untuk membina persenjataan.

Sekarang India menjadi sebuah negara nuklear. Pakistan juga menjadi sebuah negara nuklear tetapi hampir 50 tahun mereka menghabiskan wang itu untuk membeli benda persenjataan sehinggakan mereka lupa menggunakan wang itu untuk membangun manusia, rakyat jelatanya. Berbalik kepada Pakistan yang menyatakan kita hanya boleh hidup dengan aman kalau sekiranya kita tidak bercampur dengan orang lain, rupanya tidak begitu kesudahannya. Dalam masa yang singkat sahaja orang Islam sesama orang Islam berperang, lalu muncullah sebuah negara baru yang bernama Bangladesh, yang asalnya Pakistan. Pengajaran ini harus menjadi iktibar kepada kita sama ada kita sanggup atau tidak untuk hidup bersama walaupun kita berbeza agama, berbeza kulit, mungkin berbeza asal usul. Alhamdulillah kita telah menjaganya setakat ini adakah kita mahu merosakkannya.

Di timbulkan isu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada masa ini, pada hal mungkin kalau kita merenung secara mendalam DEB itulah yang menyelamatkan kita dapat hidup aman dari tahun 70-an sehingga sekarang selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kenapa saya katakan begini? Peristiwa 13 Mei berlaku akibat daripada ketidakpuasan hati sesama macam-macam kaum yang ada dalam negara kita. Lalu DEB diperkenalkan yang mungkin kaum lain, pada ketika itu memang sangat ragu-ragu dengan apakah niat DEB. Bahkan banyak yang menentang. Tetapi rupanya DEB telah ditekankan dia tidak akan merampas hak sesiapa, sebaliknya kita memperbesarkan kek ekonomi dengan menumpukan tenaga untuk pembangunan ekonomi.

Sebagai contoh apa yang dimaksudkan dengan memperbesarkan ekonomi. Mungkin anak-anak muda di sini tidak faham. Satu-satunya universiti yang ada sebelum tahun 1970 ialah Universiti Malaya (UM). Jumlah pelajarnya ialah 5,000 orang. Jumlah pelajar Bumiputera di Universiti Malaya terutama dalam bidang sains ialah empat peratus sampai ke tahun 70. Bermakna tiap-tiap 100 orang pelajar di Universiti Malaya hanya ada empat orang Melayu Bumiputera pada tahun 70 walaupun dia telah ada di situ semenjak tahun 63. Mungkin kaum lain akan marah apabila datang DEB dengan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus Bumiputera di universiti. Kemudian pada tahun 1981 dasar itu diubah di IPT supaya 51/45, tetapi rupanya banyak orang bukan Melayu/bukan Bumiputera menyedari selepas beberapa tahun tidak terlampau buruk.

Kalau sekiranya orang bukan Melayu kekal hendak 96 peratus tempat di universiti, mesti diberi kepada orang bukan Bumiputera berdasarkan kepada merit. Ok, tetapi 94 peratus daripada 5,000. 94 peratus daripada 5,000 mungkinlah dalam 4,500 bukan Bumiputera, dan ada dalam 500 untuk Bumiputera. Dan itu kekal sehingga sekarang mungkin iaitu hanya ada 4,500 walaupun mengekalkan peratusan 96 peratus, tetapi memperbesarkan kek ekonomi bererti sekarang kita ada 20 universiti. Walaupun ia hanya mungkin 45 peratus atau 40 peratus bukan Bumiputera tetapi 40 peratus daripada 200,000. Dia sudah menjadi hampir 100,000, jadi yang mana yang kita nak, real number atau percentage? Pada hal kita belajar, statistics can be abused. Peratusan mungkin kita lihat besar tetapi nombor sebenar bagaimana? Adakah kita nak kekal 4,000 atau kita nak dapat 90 ribu orang pelajar bukan Bumiputera di dalam universiti. Inilah yang harus difahami apakah maksud memperbesarkan kek ekonomi yang menjadi inti kepada DEB.

Yang kedua, mulai tahun 1970 juga disasarkan supaya Bumiputera akan memiliki 30 peratus daripada kekayaan di dalam negara. Pada masa itu Bumiputera hanya ada 2.4 peratus dalam tahun 1970. Bermakna kalau ada 100 ringgit di dalam negara, milik Bumiputera pada masa itu hanya ada RM2.40. Cakap Kedah kata dua ringgit empat kupang. Tapi bukan semuanya pula milik bukan Bumiputera. Milik bukan Bumiputera ialah 30 ringgit atau 30 peratus. Negara kemudian bukannya kerajaan orang Melayu tetapi kerajaan yang bersama-sama berkongsi pada ketika itu memutuskan keadaan ini tidak elok untuk negara, lalu dicari formula hak Bumiputera di dalam milik ekuiti, hendaklah ditingkatkan kepada 30 peratus. Ia dibuat bukan melalui paksaan tetapi melalui peluang-peluang yang disediakan untuk mereka boleh memajukan diri, dan tempoh yang diberikan ialah 20 tahun. Menjelang tahun 1990, angka disemak semula didapati Bumiputera memang mengalami peningkatan. Semua kita adalah hasil daripada DEB. Kadang-kadang kita lupa. Peningkatan telah berlaku daripada RM2.40 ekuiti Bumiputera di dalam tiap-tiap RM100 di dalam negara pada tahun 1990, telah meningkat menjadi RM22, walaupun tidak mencapai RM30. Akibat daripada serangan ekonomi tahun 1997, angka berkenaan merosot menjadi lebih kurang 18.6 peratus ataupun RM18.60 sekarang.

Tapi apabila kita lihat pula bukan Bumiputera yang dahulu ianya RM30 telah meningkat dalam tahun 1990 menjadi RM36. Bukan tidak meningkat mungkin peratusan peningkatan tidak seperti mana peningkatan Bumiputera sebanyak 20 peratus tetapi dia meningkat daripada 30 peratus hingga ke 36 peratus, kemudian akibat daripada serangan ekonomi, bukan Bumiputera juga turun semula kepada 34 peratus. Jadi bermakna kedua-dua pihak boleh membawa keuntungan melalui formula ini. Semua orang dapat. Bagaimana semua orang boleh dapat?

Kita ambil contoh, saya pun dulu pernah sebut contoh ini. Katakan sebuah Rancangan FELDA membuka mungkin 500 hektar tanah di hutan Pahang untuk Bumiputera. Projek FELDA ini untuk Bumiputera. 500 hektar tanah, kemungkinan boleh memuatkan kira-kira 400 penghuni-penghuni FELDA yang terdiri daripada mungkin orang Melayu dari kampung-kampung. Negara mungkin terpaksa berbelanja mungkin juga RM100 juta. Jadi RM100 juta diluluskan oleh Parlimen untuk orang Melayu. Ini nampak tidak adil RM100 juta untuk orang Melayu. Sedangkan yang membayar cukai bukan semuanya orang Melayu. Gambaran awal kelihatan tidak adil. Tapi, kepada mereka yang mahu menyelam untuk memahami, didapati bukan tidak adil kerana RM100 juta itu peruntukan untuk Melayu, 500 hektar tanah untuk peneroka FELDA menanam getah. Peneroka FELDA menanam getah akan menunggu tujuh tahun baru getah itu boleh ditoreh yang mungkin mereka dapat masa itu dalam RM700, iaitu selepas tujuh tahun mereka menunggu. Pendapatan bulanan mungkin dalam RM40 sahaja sara hidup mereka pada ketika itu, sebagai peneroka-peneroka awal. Jadi ke mana duit itu pergi?

Walaupun projek itu diluluskan atas nama Bumiputera tetapi apabila tiba kepada menebang hutan masa itu tidak ada Bumiputera mempunyai jentera untuk menebang hutan besar di hutan Pahang. Jadi mungkin habis RM20 juta. RM20 juta serta merta pergi ke tangan bukan Bumiputera untuk menebang hutan. Walaupun projek itu dulu RM100 juta diperuntukkan untuk Bumiputera. Jadi bermakna walaupun projek itu diluluskan atas nama Bumiputera, orang bukan Bumiputera juga memperolehinya. Mungkin seperti saya katakan tadi peneroka FELDA menunggu tujuh tahun untuk memperolehi RM700 sebulan, tapi bukan Bumiputera boleh memperolehi 20 juta dalam tempoh serta-merta untuk menebang hutan.

Selepas hutan ditebang, jalan perlu dibina. Mana ada Bumiputera masa itu boleh membina jalan. RM10 juta pula untuk membina jalan. Habis sudah RM35 juta juga serta-merta. Faedahnya pergi pada semua orang. Selepas jalan dibina, paip air hendak dimasukkan. Habis lagi RM10 juta. Sudah RM55 juga. Selepas paip air dimasukkan rumah-rumah hendak dibina dengan cepat. Lagi RM15 juta sebab tidak ada Bumiputera yang boleh membuat rumah-rumah FELDA dengan cepat. Sekolah kena dibina dan sebagainya. Akhirnya RM100 juta itu habis dapat dinikmati oleh semua orang.

Saya percaya kerana inilah pemimpin-pemimpin pelbagai kaum baik Melayu, Cina dan India yang dulu mereka sangat fahami hal yang seperti ini. Sebab keputusan itu bukan dibuat keputusan berseorangan tapi keputusan semua orang. Akhirnya semua orang rupanya mendapat nikmat walaupun projek itu diluluskan atas nama Bumiputera. Jadi saya amat berharap graduan UUM adalah mereka yang sangat memahami hal seperti ini kerana kalau kita lupa tentang formula seperti ini berkemungkinan kita bukan menyumbang ke arah kebaikan negara, tapi sebaliknya mungkin membawa negara kita ke arah kemerosotan.

Di tempat lain saya tidak dapat bercakap seperti ini mungkin tetapi di hadapan saya ini, saya rasa bertanggungjawab kerana mahasiswa dulunya di sini telah pun diajar dan sekarang akan menjadi graduan yang akan berjuang di tengah-tengah masyarakat. Kami ingin memesankan pesanan yang terakhir sebelum saudara-saudari menjadi anggota masyarakat sepenuhnya di luar sana supaya apabila kita ada masalah, kita kembali kepada mengapakah sesuatu itu dibuat. Mungkin ada alasan-alasan yang kita selama ini tidak faham sehingga menjadikan kadang-kadang membangkitkan emosi dan sebagainya yang bukan bakal membawa kebaikan. Oleh itu saudara-saudari sekalian menjadi kewajipan kita untuk menjaga negara kerana negara tidak jadi seperti ini dengan sendirinya.

Siapa sangka dulu bukan Bumiputera yang dulunya di dalam Perlembagaan negara yang layak untuk menerima bantuan-bantuan kewangan dalam bentuk biasiswa pendidikan ialah Bumiputera, tetapi sekarang kita telah pun dapat menyediakan wang PTPTN misalnya kepada semua orang yang memang layak tidak kira kaum. Proses ini akan berlanjutan, berterusan supaya semua orang merasa mendapat keadilan berdasarkan kepada kerana bukan Bumiputera tiba-tiba terus dapat. Sebaliknya kepada mereka yang layak. Saya misalnya, anak saya ada empat orang. Tiga orang sudah masuk universiti. Ketiga-tiganya saya tidak dapat PTPTN kerana pendapatan saya dikatakan tidak layak menerima PTPTN. Walaupun kadang-kadang pening juga duit pun tidak berapa cukup juga untuk membiayai anak. Tapi oleh kerana saya tidak layak, saya tidak layaklah walaupun saya Bumiputera. Bendahari UUM, Dato’ Maidin Syed Ali menghantar anak beliau ke Indonesia untuk mengambil bidang perubatan juga mungkin tidak layak untuk menerima bantuan dan sebagainya. Terpaksalah mencari kewangan sendiri. Faedahnya ialah untuk generasi akan datang.

Mudah-mudahan satu ketika nanti hal ini tidak akan berlaku lagi kerana masing-masing telah boleh berdiri sendiri tanpa bantuan. Kerana itu diserukan kepada Bumiputera terutama Melayu supaya perlahan-lahan kita buangkan tongkat sokongan ini, kerana andaikan satu ketika nanti tongkat tidak ada lagi bolehkah Bumiputera berdiri sendiri tanpa bantuan. Bolehkah mereka berhubung sesama sendiri antara rakyat dengan rakyat tanpa ada campur tangan daripada kerajaan.

Tapi malangnya sehingga sekarang kalau disuruh rakyat melakukannya secara sukarela supaya bekerjasamalah sesama kaum, ianya tak terjadi sehingga terpaksa dilakukan campur tangan oleh kerajaan. Ianya tidak berlaku walaupun dibuat secara putih hati, sukarela dan jiwa murni. Di dalam kampus pun, saya lihat Bumiputera tidak hendak bergaul dengan bukan Bumiputera, bukan Bumiputera pun bergaul sesama sendiri. Apabila keadaan semuanya menyokong ke arah itu, semua orang berfikir ini adalah baik. Walaupun baik kita keberatan melakukannya sehingga terpaksa diadakan campur tangan daripada pihak pentadbiran dan sebagainya untuk membolehkan saudara-saudari bergaul. Kalau didudukkan satu bilik saja pun seorang yang bernama Ramlah dan seorang lagi bernama Siow Mei Mei, misalnya, akan datanglah ke Pejabat Naib Canselor kerana tidak selesa duduk berbeza kaum.

Pada hal apa salahnya, inilah peluang mungkin pada masa akan datang, manalah tahu saudara-saudari pelbagai kaum dapat membina jaringan perhubungan persahabatan yang akhirnya dapat membina empayar perniagaan di luar kerana dulu dia adalah kawan baik saya. Kalau kita belajar di luar negara hendak sangat pula kita duduk dengan “Mat Saleh” . Kalau kita belajar di United Kingdom atau Amerika Syarikat mahu pula duduk di asrama “if possible I want to live in the same room with student of Mat Saleh, I don’t want to live with my colleagues from Malaysia, but why can’t we do it here in Malaysia”. Kenapa? Bukankah ini tempat yang paling baik kita untuk menyemai benih supaya pada masa akan datang sempadan-sempadan seperti ini akan tiada lagi.

Tapi apabila masing-masing membina kelompok-kelompok, tidak berinteraksi, berfikir di dalam kotak masing-masing. Sorang duduk di dalam bakul, seorang duduk di dalam tempayan, seorang duduk di dalam cerek lalu semuanya kita lihat perspektif kenegaraan dilihat dalam cerek. Perspektif kenegaraan kita lihat dalam bakul, perspektif kenegaraan kita lihat dalam tempayan. Graduan, “graduate”, di Malaysia ini hanya terdiri dalam lingkungan 20 peratus sahaja orang yang seumur, 80 peratus lagi ialah mereka yang tidak berpeluang untuk masuk ke universiti.

Bayangkan kalau yang 20 orang daripada tiap-tiap 100 ini tidak mampu mencorakkan negara yang bakal menikmati kemakmuran dan keamanan apa akan jadi kepada 80 yang lain atau adakah nanti saudara-saudari keluar yang 80 itu akan menggoda saudara-saudari untuk menjadi seperti mereka. Sensitif perkauman, sentimental perkauman, dogmatik kepada ideologi perkauman, saudara-saudari tidak akan dapat melihat anak-anak saudara-saudari dapat duduk dengan aman sebanyak 21 kali di UUM seperti yang telah kita dapat lihat sekarang. Inilah harapan saya. Sebelum saya berhenti daripada berucap saya hendak tunjukkan video klip yang saya telah minta Pejabat Perhubungan Awam menyediakan sebagai barangkali ingatan semula kita kepada perjuangan kita yang belum lagi tamat. Kita belum boleh lagi bermain-main, silakan….

Perjuangan Yang Belum Selesai

Langkah, beribu langkah,
Ke destinasi yang di impi,
Tiba terhenti, tercari-cari,
Haluan arah, yang telah pun musnah,
Harapan tak kesampaian.

Hina, hinanya diri,
Hanya menantikan bantuan,
Bagaimanakah ini terjadi,
Kerdilnya diri bukan lagi tuan,
Inikah rupanya nasib bangsaku.

Langkah demi langkah,
Biarkan bertatih,
Impiankan juga terlaksana,
Martabat diri ini, tiadakan bererti,
Tanpa usaha, janganlah leka.

Mewah negaraku semerbak harumnya,
Renjisan keringat oh bangsaku,
Teruskan langkah ini,
Biarkan ia kekal selamanya…
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya.

Bukankah sejak zaman berzaman,
Mereka menjadi pelaut, pengembara,
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,
Menjadi pedagang dan peniaga,
Selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang?

Bukankah bangsaku pernah mengharung samudera,
Menjajah dunia yang tak dikenal?
Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau,
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian?
Di manakah silapnya?

Langkah demi langkah,
Biarkan bertatih,
Impian kan jadi terlaksana,
Martabat diri ini, tiadakan bererti,
Usahalah, jangan leka.

Mewah negaraku semerbak harumnya,
Renjisan keringat oh bangsaku,
Teruskan langkah ini,
Biarkan ia kekal sentiasa…

Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku,
Kerana masa depan belum tentu menjanjikan syurga,
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa,
Perjuangan kita belum selesai,
Kerana hanya yang cekal dan tabah,
Dapat membina mercu tanda,
Bangsanya yang berjaya.

Saya ini anak kampung. Saya biasa bekerja kampung dan di kampung kebudayaan seni silat dan sebagainya memang menjadi kebiasaan. Datuk saya dikatakan sebagai seorang pendekar, tapi pernah semasa kecil semasa saya sudah kenal orang, saya berjumpa dengan datuk saya, “datuk”, saya kata, “ajarlah saya bersilat”. Datuk saya telah berkata kepada saya, “orang sekarang tidak bersilat-silat lagi. Orang sekarang menggunakan otak”. Jadi saya hairan mengapa datuk saya yang di kampung itu yang disebut-sebut sebagai pendekar tidak mahu menurunkan kependekarannya kepada saya. Rupanya mungkin datuk saya berpesan kepada saya lebih baik kamu tumpu kepada mengaji, belajar mengasah otak. Bukan saya kata bersilat ini tidak bagus, minta maaf saya, tetapi supaya kita berangan-angan pada satu ketika nanti kita akan dapat menolong orang dengan lebih banyak lagi.

Selain daripada mungkin di dalam bentuk semata-mata persilatan. Saya tidak sekali-kali memperkecilkan persilatan tapi maksud saya bagaimanakah cara-cara lain yang, mungkin datuk saya ingin tanamkan kepada saya, yang kamu Nordin boleh mencari jalan dapat menolong orang lain tanpa mengira kaum. Kemudian baru saya faham. Oleh kerana saya orang Islam, saya tidak ada pilihan. Saya mesti bekerja bersungguh-sungguh, jika saya hendak tempat yang mulia sebagai orang Islam yang mati nanti, tempat yang mulia ialah yang paling banyak membawa kebaikan kepada manusia. Agama tidak berkata kepada orang Islam sahaja kerana saya diajarkan bahawa orang Islam yang baik ialah orang Islam yang dapat membawa yang dipanggil sebagai “Rahmatal lilalamin”, rahmat kepada seluruh alam. Bila rahmat kepada seluruh alam bermakna bukan untuk orang Islam sahaja tetapi juga untuk kucing, tikus, babi, biawak, buaya semuanya mendapat rahmat kerana adanya Islam.

Apa lagi orang yang bukan Islam yang mereka juga adalah manusia kerana mereka itu mungkin lebih-lebih lagi sayangnya kita kepada mereka. Jadi inilah yang saya harap terutamanya orang Melayu Bumiputera berazam untuk bangun bukan untuk menindas orang lain, tetapi berazam untuk bangun bagi bagi membolehkan kita sentiasa dalam kedudukan menolong orang lain. Kalaulah misalnya nanti saudara-saudari senang di dalam kehidupan selepas graduat dari UUM, namanya mungkin Abdullah, tiba-tiba dia terdengar di Kampung Ulu Grik ada seorang mungkin Cina miskin namanya Tan Ker Ker atau anaknya bernama Siow Mei Mei. Siow Mei Mei tidak dapat menyambung pelajaran kerana tidak ada duit, saya berharap Abdullah yang akan pergi segera berlari ke Ulu Grik untuk bercakap kepada Tan Ker Ker, jangan bimbang Siow Mei Mei akan dapat belajar. Saya akan membiayainya. Saya harap semua graduan UUM bercita-cita seperti ini. Saya tidak berani untuk menyeru kaum Cina, kaum India nanti kata sebab Nordin orang Melayu, tapi saya juga berharap kalau itu juga dapat dilakukan.

Kalau saudara-saudari mendengar kaum lain mendapat kesusahan, cepat-cepat berlari untuk menolong mereka supaya kita dapat buktikan kepada mereka bahawa bantuan pertolongan kepada manusia tidak ada sempadan berdasarkan kepada kaum supaya dengan demikian bangsa akan dimuliakan dan dihormati. Inilah agak tadi yang disebutkan tadi, perjuangan kita yang belum selesai kerana kita ingin membawa mesej kemanusiaan di dalam negara kita sambil juga membawa mesej kemanusiaan ke seluruh dunia. Inilah formula yang telah kita pegang selama ini. Dan hati-hati, jangan-jangan kita mencari formula yang lain, yang mungkin baik dan mungkin tidak baik untuk kita. Jangan sampai apa yang kita kendong berciciran, apa yang kita kejar tidak dapat. Kita bimbang nanti yang telah tercicir itu tidak dapat dikutip lagi yang telah tidak dapat itu tidak dapat dikembalikan.

Mungkin inilah pesanan kami daripada pihak pengurusan dan guru-guru di universiti. Mudah-mudahan menjadi bekal kepada saudara-saudari untuk menjadi pemimpin dalam apa juga bentuk di tengah-tengah masyarakat.

(tarikh ucapan 17 Mac 2008)

Universiti dan Kuasa Badan Berkanun

DALAM tulisan saya terdahulu yang menyentuh isu kemunculan universiti apex Malaysia, saya ada mengemukakan beberapa cadangan bagaimana impian itu boleh dilaksanakan. Apabila ianya muncul nanti, universiti apex itu bukan sekadar ‘apex’ melalui pengisytiharan kerajaan Malaysia, sebaliknya apex yang mendapat pengiktirafan dunia melalui beberapa proses lazim yang dilalui oleh universiti unggul di dunia. Dalam cadangan itu saya kemukakan beberapa model atau pakej yang boleh dijadikan panduan.

Kali ini, saya ingin menimbulkan semula isu yang suatu ketika dahulu menjadi perbincangan yang sangat meriah mengenai universiti awam di Malaysia. Isunya ialah isu pengkorporatan pengajian tinggi. Setelah mendapat tempat yang begitu meluas dalam ruangan-ruangan media, selain menimbulkan sedikit histeria di kalangan ahli komuniti universiti, isu itu akhirnya tenggelam sepi. Pengkorporatan yang diimpikan atau dirisaukan hanya berkesudahan dengan pengenalan istilah Lembaga Pengarah Universiti (LPU) bagi menggantikan Majlis Universiti (MU), sementara perkara-perkara pokok yang lain kekal tidak berubah.

(tulisan ini telah disiarkan di ruangan rencana, 1/11/2007 Utusan Malaysia)

Pengalaman pengkorporatan universiti tentulah berbeza dengan pengalaman Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Telekom Malaysia yang masing-masing menjadi Tenaga Nasional dan TM. Pengalaman Abu Zarin, sebagai Ketua Pengarah LLN dahulu, tentulah berbeza dengan cara Che Khalib, CEO Tenaga Nasional Malaysia sekarang. Sedangkan cara Ungku Aziz menerajui Universiti Malaya beberapa tahun yang silam mungkin masih dipakai oleh Rafiah Salim sekarang.

Apakah yang menghalang universiti daripada mengalami transformasi seperti yang dialami oleh beberapa badan berkanun yang benar-benar dikorporatkan? Isunya selalu kembali kepada ringgit dan sen. Banyak isu yang terbit dan berlegar di sekitar perkara paling pokok itu. Kalangan pelajar dan ibu-bapa menjadi murung kerana bimbang yuran pengajian dan sara hidup mahasiswa akan meningkat dengan mendadak. Para pensyarah pula bimbang kalau-kalau skim gaji baru mereka akan dibezakan mengikut bidang yang mempunyai nilai ekonomi dengan yang tidak.

Apakah kaitan isu ini dengan isu mewujudkan universiti apex? Kaitannya ialah: sama ada universiti apex yang bakal diwujudkan itu nanti akan menikmati status seperti Tenaga Nasional dan TM? Bolehkah nanti universiti apex itu mendapat autonomi seperti dua contoh badan korporat yang telah saya sebutkan itu? Bolehkah nanti Naib Canselor univerisiti apex diberikan kuasa ‘hire’ dan ‘fire’ dengan tidak perlu melalui proses di Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perkhidmatan Awam? Mereka juga boleh mempunyai skim gaji sendiri berdasarkan ROI (return on investment) institusi? Bolehkah mereka mempunyai urus tadbir kewangan sendiri tanpa terikat sepenuhnya kepada arahan-arahan perbendaharaan?

Jika hal yang disebutkan itulah yang dipinta oleh universiti apex dan universiti-universiti awam yang lain juga, ia bukanlah permintaan baru. Sebaliknya, ia suatu permintaan untuk mengembalikan universiti awam menikmati statusnya di bawah undang-undang badan berkanun dengan tujuan-tujuan asalnya ia diatur sedemikian. Pada ketika ini universiti awam dijadikan sama seperti jabatan-jabatan kerajaan persekutuan yang lain, sedangkan Akta Badan Berkanun menjanjikan autonomi kepadanya. Isu perjawatan, kewangan, urus tadbir, semuanya telah mengguna pakai pelbagai pekeliling perkhidmatan awam dan perbendaharaan. Hampir tidak ada Lembaga Pengarah Universiti yang berani membuat keputusan tidak mengguna pakai pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan dalam siri PPA dan “TI’, sampailah kepada hal jadual waktu masuk dan keluar bekerja.

Di dalam ‘Pelan Strategik Pengajian Tinggi, Bahagian B-Tunggak Institusional’, halaman 19, ada disebutkan frasa berikut: “Pada tahun 1998, satu cadangan telah dibuat untuk menjadikan IPTA sebagai entiti korporat. Walau bagaimanapun, perubahan ini tidak dapat dilaksanakan atas alasan tertentu. Pada masa ini, amalan pentadbiran berpusat tidak begitu sesuai. LPU terus berfungsi sebagai majlis universiti tetapi tidak mempunyai kuasa bertindak seperti lembaga korporat. Pindaan akta berkaitan perlu dibuat bagi menjelaskan bidang kuasa lembaga pengarah universiti dengan terperinci. LPU akan dipertanggungjawabkan dengan prinsip pentadbiran seperti yang diamalkan oleh badan perniagaan korporat’. Ini suatu yang menjanjikan kegembiraan.

Jika diteliti asal usul akta badan berkanun (termasuk universiti) jelas dinyatakan bahawa akta tubuh badan berkanun mempunyai autonomi di bawah kuasa Menteri mengikut Ministerial Function Act 1969 (Akta 2) pindaan tahun 1999. Laporan Ketua Audit Negara mengenai badan berkanun, 2005 jelas menyebutkan tentang autonominya setiap badan berkanun: ‘Bidang kuasa sesebuah Badan Berkanun Persekutuan adalah luas dan antaranya boleh membuat pinjaman, memberi pinjaman, melabur, menubuhkan syarikat subsidiari, kumpulan wang, akaun amanah dan melaksanakan program atau aktiviti tertakluk kepada akta tubuhnya’.

Laporan itu juga menegaskan bahawa, ‘Universiti sebagai badan berkanun sepatutnya boleh menggubal peraturan kewangan, sistem dan prosedur sendiri serta menetapkan polisi perakaunan selagi tidak bercanggah dengan piawaian perakaunan yang diterima umum. Badan Berkanun Persekutuan adalah tidak tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan dan sebarang pekeliling kerajaan kecuali yang khusus berkaitannya’. Tegas, bahawa hanya pekeliling mengenai badan berkanun yang boleh dipakai bukan pekeliling umum kepada semua jabatan kerajaan persekutuan.

Oleh itu, sangat jelas bahawa banyak kuasa boleh dikembalikan kepada menteri dan universiti tanpa perlu ada akta-akta baru yang dicadangkan untuk diwujudkan. Memadai sekiranya Menteri mengarahkan Lembaga Pengarah dan eksekutif universiti menyemak semula secara menyeluruh peraturan-peraturan universiti, terutamanya berkaitan perjawatan, perkhidmatan dan kewangan yang telah diadaptasi daripada Pekeliling Perkhidmatan Awam dan Pekeliling Perbendaharaan untuk diubah semula dengan tujuan mengembalikan kuasa autonomi kepada univerisiti. Ini mudah dilakukan dengan hanya melalui keputusan-keputusan Lembaga Pengarah Universiti tanpa perlu menteri meminta Parlimen meluluskan akta baru yang prosesnya akan lebih panjang.

Saya pernah berbual dengan Che Khalib, CEO TNB yang UUM telah lantik bagi menasihati UUM dalam satu program akademik. UUM tertarik melantik beliau berdasarkan pengalaman beliau ‘turn around’ Keretapi Tanah Melayu, KUB dan sekarang Tenaga Nasional. Semasa perbualan itu kami ada berbincang tentang beberapa perkara penting termasuk bagaimana cara mencemerlangkan univerisiti. Beliau bersetuju antara lain bahawa kuasa kewangan dan perjawatan adalah amat kritikal bagi seseorang Ketua Eksekutif. Jika kuasanya dalam aspek itu terlalu terhad, sehebat mana pun personaliti Ketua Eksekutif itu, dia tidak akan boleh ‘turn around’ sesebuah organisasi yang sakit.

Bayangkan bagaimana saya boleh berkesan di UUM jika saya hanya hendak melantik seorang profesor dari luar negeri saya terpaksa melalui proses sekurang-kurangnya setahun melalui pelbagai birokrasi di KPT, JPA dan diskrutini pula oleh LPU. Munasabahnya, pihak Kementerian dan JPA bolehlah memberi panduan peraturan umum, LPU meneliti ‘output dan KPI’, sementara Ketua Eksekutif pula hendaklah diberi kebebasan menguruskan proses. Sewajarnya, jika Profesor yang dilantik oleh eksekutif tidak berprestasi atau tidak memenuhi KPI, LPU kemudiannya bolehlah meminta eksekutif untuk menamatkan perkhidmatan profesor tersebut atau mengeluarkan celaan kepapda eksekutif kerana tidak melaksanakan proses dengan sebaiknya. Ketua Eksekutif dinilai melalui outputnya bukan proses, kecuali hal yang berkaitan salah laku.

Oleh kerana ‘nature’ IPTA berbeza-beza antara satu sama lain, maka adalah kurang bijak jika Kementerian Pengajian Tinggi yang menyediakan suatu KPI seragam. Sebaiknya Kementerian hendaklah memberi kepercayaan kepada LPU yang dilantiknya untuk menggubal dan memantau KPI untuk universiti berkenaan. Dengan cara begini Kementerian juga boleh menilai sejauh mana kebijaksanaan dan kefahaman setiap individu LPU yang dilantik di bawah kuasa menteri dalam memainkan peranan mereka sebagai ahli LPU yang berkesan. Keputusan untuk melantik atau menyambung tempoh ahli LPU hendaklah berasaskan prestasi mereka dalam aspek ini. Ketua Eksekutif pula bolehlah ditamatkan atau tidak disambung perkhidmatan jika berlaku salah laku atau kerana tidak memenuhi KPI yang mewakili indeks ‘output’. Semua ini telah ada peruntukan dalam akta tubuh dan ‘spirit asal penubuhan’ badan berkanun yang boleh dikembalikan semula. Tujuan asal mengapa diwujudkan badan berkanun ialah untuk memendekkan proses pelaksanaan pelbagai agenda penting kerajaan dan negara, tetapi perlaksanaannya kini mengambil masa yang lebih panjang.

Saya berpengalaman mengetuai sebuah jabatan penuh kerajaan persekutuan dan sekarang menerajui universiti sebagai sebuah badan berkanun dan dapat membuat perbandingan peribadi, walaupun mungkin tidak semestinya representatif. Saya mendapati, semasa mengetuai jabatan yang lama, banyak proses berjalan dengan lebih cepat berbanding tanggungjawab saya sekarang. Dalam aspek perjawatan, contohnya, saya berurusan terus dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan dalam aspek kewangan saya berurusan terus dengan Perbendaharaan. Ketua Jabatan saya pada ketika itu, iaitu Ketua SetiausahaNegara, menasihati saya dan ‘facilitate’ cadangan-cadangan yang saya kemukakan. Semuanya berlaku cepat. Sekarang, saya harus melalui Majlis Eksekutif Universiti (dalaman universiti), melalui LPU dan melalui Kementerian, sebelum saya sampai ke JPA dan Perbendaharaan.

Kalau dahulu saya hanya perlu menjelaskannya kepada ‘immediate boss’ sekarang saya perlu menjelaskannya kepada sangat banyak orang. Prestasi saya dahulu sebagai Ketua Pengarah dinilai oleh dua orang, yang saya sentiasa boleh menyemak dan berbincang kelemahan-kelemahan saya, dan sekarang saya tak tahu siapa dan berapa banyak yang menilainya. Jika lebih dipercayai bahawa Ketua Eksekutif sesuai dinilai oleh banyak orang yang ada kepentingan (stake-holders), seperti pemegang saham, mungkin elok universiti mengadakan mesyuarat agong tahunan sama seperti amalan Universiti Malaya pada masa lalu atau seperti kewajipan semua badan-badan perniagaan sekarang.

Rumusannya, mengambilkira cadangan Pelan Strategik Pengajian Tinggi yang antara lain meminta supaya univerisiti diberi ‘empowerment’ (tidak disebut autonomi) untuk menjadi cemerlang, mungkin baik jika disemak semula kuasa-kuasa sedia ada di universiti yang diperuntukkan di bawah akta badan berkanun. Kesudahannya, boleh jadi banyak perkara yang dituntut telah pernah ada di universiti, tetapi melalui peredaran masa orang universiti telah menyerahkan perkara yang dituntut itu kepada pihak lain. Atas alasan inilah saya selalu mengajak rakyat Malaysia melihat hal-hal ‘indigenous’ juga selain mesti membuat rujukan-rujukan di dunia luar. Kerap kali kebijaksanaan tempatan ‘terlepas pandang’ kerana terlalu takjub melihat ukuran-ukuran luar.

Pengalaman autonomi universiti di Britain dengan tradisi ‘Royal Charter’ yang memberi kuasa pemutus kepada universiti sama dengan ‘Royal Charter’ yang diberikan kepada Syarikat Hindia Timur Inggerís yang menakluk negeri-negeri di Asia mungkin boleh diambil kira. Atas semangat yang sama bolehkah universiti di Malaysia menikmati kuasa sekurang-kurangnya menyamai syarikat-syarikat GLC Malaysia melalui akta tubuh badan berkanun?

Tradisi Ivy atau Oxbridge

USAHA kerajaan Malaysia hendak mewujudkan sebuah dua universiti apex seperti yang dinyatakan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi sangat merangsang fikiran. Mungkin rakyat Malaysia, terutamanya kalangan intelektual, berdebar menunggu apakah modeliti yang bakal digunakan oleh Malaysia. Adakah Malaysia akan mencipta modelitinya sendiri bagi melahirkan universiti apex atau akan menyerah sahaja kepada pelbagai badan pengeluar ‘ranking’ seperti akhbar Times Higher Education Supplement (THES) dan banyak lagi.

Raffles dalam Memoir Lady Raffles hampir dua ratus tahun yang lalu menyatakan bahawa beliau pernah bercadang mendirikan sebuah universiti di Malaya yang bukan hanya untuk Malaya sebaliknya untuk region yang melewati sempadan Malaya. Alasannya ialah wilayah ini tidak sekali-kali kekurangan tradisi ilmu tinggi berbanding apa yang ada di Eropah. Yang perlu ialah sebuah institusi yang boleh mengumpul ilmu tinggi di wilayah ini ke dalam suatu sistem, iaitu universiti. Jika pendapat Raffles ini diyakini juga oleh para pemimpin Malaysia sekarang dalam melihat pengajian tingginya, dijangka universiti apex Malaysia akan muncul dengan modelitinya sendiri.

(tulisan ini telah disiarkan di ruangan rencana, 25/09/2007 Utusan Malaysia)

Sebagai panduan untuk mencari modeliti universiti apex Malaysia, kita mungkin boleh merujuk sekurang-kurangnya tiga modeliti universiti yang boleh dipanggil sebagai apex di dunia: model Bologna-Paris di Eropah, model Ivy League di Amerika Syarikat dan model Oxbridge di Great Britain. Meneliti model-model ini, kita akan menemui kepelbagaian asal-usul kewujudannya.

Model Bologna-Paris menunjukkan kewujudannya berdasarkan keutamaan pengajian. Paris menekankan teologi kerana dia diwujudkan oleh kuasa gereja bagi melahirkan ahli agama, sementara Bologna menekankan ‘hujah’ atau reason yang kemudiannya mencipta undang-undang kanun. Bologna diwujudkan oleh golongan yang sudah sedia intelektual. Dari sana mereka menjadi universiti apex seawal 200 tahun sebelum Melaka dibuka. Jika ini modelitinya, universiti apex di Malaysia mungkin akan memilih sebuah universiti liberal arts dan sebuah universiti khusus atau teknikal. Kedua-duanya akan menyumbang kepada pembinaan tamadun hadapan Malaysia melalui dua jalur garisan selari, tetapi tidak sama.

Bagi model Oxbridge pula, tradisinya penuh dengan tradisi persaingan. Oxford dilahirkan apabila rakyat England yang asalnya mahasiswa di Universiti Paris dihantar pulang, antaranya kerana ada konfrontasi istana di antara dua negara. Selain daripadanya, mereka ingin bebas daripada kekuasaan gereja terhadap universiti. Sebelumnya England tidak ada universiti.

Universiti Cambridge pula tertubuh daripada larinya mahasiswa dan guru di Oxford kerana sekali lagi inginkan kebebasan daripada kuasa mahkota. Oleh kerana sejarah yang demikian, persaingan sentiasa menjadi sengit. Jika modeliti ini pula dipilih oleh Malaysia, universiti apex ini nanti akan muncul atas perlumbaan sengit sesama universiti yang ada di Malaysia kini dan akan datang.

Model Ivy juga sangat menarik diperhatikan. Universiti Ivy di Amerika Syarikat kini terkenal sebagai antara sepuluh universiti teratas dalam ranking dunia. Lapan buah universiti dikelompokkan dalam kumpulan ini iaitu Universiti Brown, Columbia, Cornell, Dartmouth, Harvard, Pennsylvania, Princeton dan Yale.

Yang saya katakan menarik ialah konsep Ivy tidak berasal daripada kecemerlangan ilmiah sebaliknya adalah bermula daripada liga sukan. Oleh itu, berbeza dengan tradisi Oxbridge yang saling bersaingan idea, tradisi Ivy lebih berbentuk bagaimana mereka boleh bekerjasama menganjurkan sukan. Yang bersaing ialah sukannya tetapi mereka bersatu dari segi organisasi. Melalui kerjasama organisasi ini, mereka kemudian berjaya menjadi cemerlang dalam bidang ilmiah sehingga Lord Robins, yang mengkaji semula kedudukan pengajian tinggi di England, mengakui bahawa universiti di Amerika Syarikat, walaupun telah ditubuhkan oleh kuasa kolonial Inggeris, telah jauh berada di hadapan berbanding universiti negara bekas penjajahnya. Perlu diulang sebut bahawa tradisi Ivy tidak berasaskan tradisi persaingan.

Satu perkara yang wajar diperhatikan ialah, kesemuanya – Paris-Bologna, Oxbridge dan Ivy tidak muncul melalui pengisytiharan kerajaan. Sebaliknya mereka muncul melalui proses yang sangat natural.

Rakyat Malaysia menunggu adakah kerajaan akan mengisytiharkan universiti yang akan menjadi universiti apex seperti sebuah negeri di Malaysia pernah mengisytiharkan negeri itu sudah menjadi negeri maju sepenuhnya, atau sama seperti kerajaan mengisytiharkan beberapa universiti sebagai universiti penyelidikan tidak lama dulu. Walaupun cara seperti ini tidak begitu biasa berlaku di negara yang sudah maju sepenuhnya, ia tidak akan pelik jika berlaku di Malaysia dan ia bukanlah suatu kesalahan. Ini mungkin acuan kita dan kita tidak perlu rasa bersalah dengan cara itu kerana budaya kita memang kaya dengan tradisi ceremonial. Tentulah nanti akan ada acara gilang-gemilang untuk melancarkan universiti apex itu.

Beberapa modeliti yang telah saya kemukakan mungkin boleh menjadi panduan pemimpin kerajaan dalam membuat persediaan sebelum memutuskan bagaimana universiti apex Malaysia harus muncul.

Jika model Bologna-Paris hendak dipilih, kerajaan boleh melihat beberapa alternatif. Antaranya mungkin kombinasi universiti awam-universiti swasta, kombinasi liberal arts-teknikal atau khusus, dua atau lebih universiti tertua, dan ada beberapa cara lagi.

Jika model Oxbridge hendak digunakan, mungkin boleh dicari apakah ada ideologi tertentu yang saling bertentangan antara universiti di Malaysia seperti ideologi ekonomi, ideologi agama, ideologi falsafah dan sebagainya. Tujuannya supaya negara akan sentiasa mendapat yang terbaik daripada dua aliran pendapat yang sentiasa berbeza dalam melihat pelbagai isu ilmu, kemasyarakatan dan keagamaan. Apabila negara berada di persimpangan, misalnya menghadapi kemelut ekonomi seperti yang pernah berlaku pada tahun 1997, dua universiti akan berperang bagaimana cara untuk menghadapi masalah itu. Apabila bajet dibentangkan, dua universiti ini akan sentiasa memberi pendapat yang bertentangan. Demikian pula dalam mengeluarkan fatwa keagamaan. Akhirnya negara boleh memilih yang paling sesuai dan praktikal untuk kesejahteraan rakyat.

Jika Malaysia ingin berinovasi dengan cara Ivy pula, mungkin kerajaan boleh menggabungkan beberapa universiti yang sudah sangat kuat. Bayangkan apa akan terjadi jika Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), yang telah diakui kekuatan mereka dalam penyelidikan di Malaysia, digabungkan menjadi sebuah universiti sahaja dengan empat kampus berlainan. Jumlah pelajarnya akan menjadi 90,000 orang.

Jumlah pensyarahnya yang juga saintis akan menjadi lebih 8,000 orang di bawah satu bumbung pentadbiran. Nilai aset keempat-empat universiti itu jika disecuritize akan bernilai lebih RM10 bilion. Universiti baru itu boleh berdiri sendiri dari segi kewangan bukan setakat seperti sekarang menyumbang 20 peratus untuk belanja operasi setiap tahun. Saya fikir universiti baru hanya memerlukan satu malam untuk mendapat tempat sepuluh universiti terbaik di dunia. Kerajaan Malaysia tidak perlu menunggu lama untuk hal ini terjadi.

Jika penggabungan ini berlaku, beberapa universiti lain di Malaysia juga mungkin sesuai digabungkan mengikut suatu cara tertentu. Contohnya, semua universiti yang muncul pada atau selepas tahun 1980 boleh digabungkan menjadi sebuah universiti yang mengamalkan sistem federal seperti sistem University of California, State University of New York (SUNY) dan sistem University of Wales.Ini bermakna, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan beberapa lagi universiti yang asalnya kolej universiti akan digabungkan menjadi sebuah universiti sahaja dengan sistem cawangan. Atau, suatu cara lain ialah semua universiti teknikal dengan diketuai oleh UTM akan bergabung menjadi sebuah universiti teknikal unggul seperti Universiti CALTEC atau yang boleh setara MIT di Boston.

Pada kesudahannya hanya ada lima sistem universiti sahaja di Malaysia iaitu Sistem Universiti Nasional Malaysia atau ‘Malaysia National University System’ (UM, UKM, UPM, USM, UTM), Universiti Teknologi Mara, Sistem Universiti Malaysia Moden atau ‘Modern Malaysia University System’ (UUM, UMS, UNIMAS, UMT, UMAP dan lain-lain), Universiti Syarikat Berkepentingan Kerajaan atau Malaysia GLCs’ University (MMU, Universiti Petronas, Universiti Tenaga, Universiti Islam) dan universiti swasta. Bayangkan kekuatan lima sistem itu belayar (bukan bersaing) di pentas dunia.

Cara berfikir begini mungkin asing bagi mereka yang sentiasa memikirkan persaingan seperti tinju satu lawan satu sesama sendiri dalam dunia akademik. Bagi mereka yang memilih untuk belayar di lautan biru yang luas, mereka akan melihat kekuatan bahtera universiti Malaysia melayari lautan ilmu dan bakal menemui sumber kekayaan yang baru. Saya percaya Timbalan Perdana Menteri yang dikatakan berminat dengan Strategi Lautan Biru dapat memahami cadangan ini.

Adakah ini akan menghilangkan tradisi? Memang sebahagian tradisi itu akan hilang dan suatu tradisi baru akan terbina. Bagaimana pula nilai sentimental? Untuk sementara, tentulah akan ada tangisan di sana-sini seperti hilangnya Bank Bumiputera yang kini menjadi CIMB atau seperti Guthrie dan Sime Darby yang akan mungkin mendapat nama baru di bawah Synergy Drive. Soalannya mudah: Mahukah? Beranikah? Namun jawapannya tentulah tidak semudah menyoal.

Peperiksaan Ganti Pendidikan?

SUDAH dua minggu Datuk Seri Najib Tun Razak menimbulkan perkara pendidikan yang menarik perhatian saya. Ada teman-teman mula mempersoalkan mengapa saya tiba-tiba berminat mengikuti perkembangan pemikiran Timbalan Perdana Menteri.Yang mana sempat bertanya terus kepada saya, saya memberitahu mereka bahawa tumpuan saya adalah kepada buah fikiran yang menarik mengenai pendidikan.

Kali ini Timbalan Perdana Menteri menyeru Kementerian Pelajaran mengkaji semula kurikulum pendidikan yang menekankan kepentingan peperiksaan awam. Semasa beberapa tahun saya menjadi guru dalam bidang kaunseling di Universiti Putra Malaysia, rakan-rakan sekerja dan bekas pelajar-pelajar tentu masih ingat saya tidak habis-habis membicarakan hal ini. Di dalam dewan kuliah, tutorial, seminar kebangsaan dan berikan saja apa jua peluang halal, saya akan menyuarakannya pada ketika itu. Isu penting yang dipersoalkan di sini ialah, bolehkan peperiksaan awam di Malaysia melihat potensi sebenar seorang rakyatnya?

(tulisan ini telah disiarkan di ruangan rencana, 21/04/2007 Utusan Malaysia)

Apabila kerajaan membuat keputusan menghapuskan gred peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sayalah antara orang pertama yang melompat kegembiraan. Betapa tidak? Saya pernah katakan, di Malaysia walaupun seseorang itu telah menerima anugerah akademik sehingga diiktiraf sebagai Tokoh Sains Negara, Sasterawan Negara atau apa lagi pun, orang awam masih cuba menyingkap apakah gred SPMnya, dan jika dahulu dia mendapat gred 3, sampai ke kubur pun orang akan kata dia bukan budak pandai! Pendidikan Malaysia sangat uni-dimensi, kata saya ketika itu. Guru-guru bekerja menghabiskan silibus bukan mendidik murid! Dengan perubahan itu saya terasa seolah-olah, walaupun mungkin bukan kerana hasil kerja saya, apa yang saya impikan bertahun-tahun itu telah membuahkan hasil. Nasib anak muda akan lebih baik!

Namun demikian, kegembiraan saya itu sangat pendek umurnya – tidak sampai setahun. Tiba-tiba, seluruh masyarakat menggila pula menggantikan gred dengan berapa bilangan A yang diperoleh calon. Ibu bapa, pengetua, guru-guru dan murid-murid pun menggila pula untuk mencapai tidak kurang daripada 5A. Murid-murid pun berlumba-lumba untuk memecahkan pelbagai rekod bilangan A terbanyak. Ini disokong pula oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, Majlis Amanah Rakyat (Mara) Petronas dan banyak lagi penaja yang memberi pelbagai insentif untuk mereka yang mendapat paling banyak A.

Terkenang saya kepada cerita lama semasa berada di Amerika Syarikat membuat master hampir 30 tahun lalu. Betapa banyaknya rakan-rakan saya lulusan diploma Institut Teknologi Mara (ITM) berpeluang membuat ijazah pertama dengan berbekalkan SPM gred 3. Di manakah mereka sekarang? Antaranya menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat-syarikat, profesor, eksekutif kanan bank dan banyak lagi. Mengapa demikian? Jawapannya ialah ketika itu biasiswa untuk lepasan diploma lebih banyak daripada biasiswa untuk lepasan ijazah.

Rakan sekelas saya semasa tingkatan enam telah memperolehi dua ijazah sarjana double masters kerana dia ada diploma ITM berbanding sulitnya saya mendapatkan biasiswa kerana saya lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia yang sudah ada ijazah pertama. Yang ke universiti ketika itu perlu ada STPM yang baik tetapi tidak ke ITM. Maksud saya di sini ialah, bukan gred peperiksaan SPM penentu kejayaan anak Malaysia.

Berbalik kepada kegilaan mendapat bilangan A terbanyak dalam peperiksaan SPM, suatu trend terkini, Kementerian Pelajaran bukanlah bertanggungjawab sepenuhnya. Pencipta kegilaan ini akan termasuk penaja-penaja yang saya sebutkan tadi seperti JPA, Mara, Petronas, Bank Negara dan banyak lagi yang tidak lagi melihat lepasan-lepasan diploma berbekalkan seumpama gred 3 SPM dahulu yang ditaja dan kemudian berjaya sehingga menerajui beberapa GLC negara.

Dalam keadaan tertentu anak muda sekarang tidak salah jika mereka menuduh orang dewasa seperti saya dan rakan-rakan seangkatan saya sebagai telah mungkir janji dan mengkhianati mereka. Betapa tidak! Saya pernah menyeru mereka supaya belajar sampai mati. Mereka pun menurut nasihat saya. Mereka belajar mati-matian. Jangan dapat gred 3, kata saya dan kawan-kawan saya. Mereka pun mencapai sekurang-kurangnya empat kredit dengan agregat tidak lebih daripada 34 yang mengikut ukuran dahulu ialah gred 2.

Setelah ribuan orang mencapainya, institusi yang dahulu pernah menempatkan golongan gred 3 menaikkan syarat memasukinya dengan lima kredit. Dahulu lima kredit dengan agregat lebih 20 sudah mendapat gred 1. Bayangkan bagaimana tempat yang dahulu memberi peluang kepada lepasan SPM gred 3 tiba-tiba mengubahnya kepada gred 1. Gred 1 juga belum cukup, ditambah pula dengan bilangan A yang telah diperoleh. Nasib baik juga sistem sekolah telah melatih anak-anak muda tidak bersuara kritis seperti yang dikehendaki oleh Timbalan Perdana Menteri kerana sibuk menyediakan diri untuk peperiksaan, jika tidak, sulit juga orang dewasa hendak mengurus suara-suara mereka.

Pusat Asasi Sains Universiti Malaya angkatan awal menerima masuk calon yang gagal STPM sains tetapi bolehkah golongan ini menghampiri pusat itu sekarang? Saya jangka banyak orang tidak ingat lagi fakta yang saya sebutkan ini. Pelajar kumpulan awal pusat ini yang pernah mengikuti Group Dynamics yang saya menjadi fasilitatornya (masa itu saya masih remaja) tentu tidak akan lupa fakta ini. Sayangnya Ungku Aziz, pejuang Pusat Asasi, pun tidak pernah mengingatkan para pembuat dasar pendidikan akan cerita unik ini. Ungku Aziz tentu tidak lupa pertemuan penting beliau dengan Perdana Menteri ketika menentukan nasib pusat ini di Kem Ulu Seperi suatu ketika dahulu.

Setelah mengalami dua keadaan yang saya sebutkan, SPM dahulu dan SPM sekarang, saya mula terfikir bahawa yang hendak diubah bukan kurikulum. Sebaliknya, yang hendak diubah ialah peranan SRP, SPM dan STPM. Beranikah Malaysia menghapuskan semua peperiksaan itu dan menggantikannya dengan yang lain? Bolehkah Malaysia menggantikannya dengan peperiksaan yang lebih menguji kecenderungan seperti SAT, LSAT di Amerika Syarikat? Peperiksaan sedemikian boleh diambil bila-bila masa sahaja oleh calon yang ingin ke pengajian tinggi. Mungkin yang berminat boleh ambil semasa tingkatan empat, lima dan enam mengikut keselesaan mereka.

Kemasukan ke universiti pula akan menggabungkan keputusan peperiksaan kecenderungan dengan purata timbunan (CGPA) yang diperoleh sepanjang pengajian di sekolah menengah yang digred oleh guru mereka sendiri. Sekarang, murid belajar di Kuala Lumpur digredkan oleh guru di Kelantan yang tidak dikenali oleh calon. Dengan kaedah ini, integriti guru dan penghormatan terhadapnya akan dapat dikembalikan. Setiap murid tidak akan mempunyai pilihan melainkan menghampiri guru mereka. Dalam sistem sekarang mereka yang tidak hormat kepada guru semasa belajar akan tetap dihormati oleh sekolah jika mereka mendapat banyak A. Dia mengharumkan nama sekolah, kata pengetua kemudiannya.

Saya pernah mengajak rakan-rakan di Majlis Peperiksaan yang saya menjadi ahlinya dan respons yang saya peroleh ialah Malaysia belum bersedia melaksanakannya serta-merta walaupun ia sedang menuju ke arah itu. Hujah yang digunakan antaranya guru dikhuatiri tidak berintegriti dalam memberikan gred kepada pelajarnya.

Soalan saya ialah mengapa pensyarah di universiti diberi autoriti memberi gred kepada pelajarnya, dan autoriti yang sama tidak diberikan kepada guru sekolah? Padahal pensyarah di universiti mendapat latihan yang sangat minimum dalam aspek pengajaran dan pembelajaran berbanding dengan latihan yang telah dilalui guru sekolah. Mengapa orang awam tidak percaya kepada guru sedangkan mereka percaya kepada pensyarah pengajian tinggi? Impak lulusan pengajian tinggi lebih besar berbanding lulusan SPM dan STPM jika kedua-dua golongan ini dilatih oleh pihak yang tiada integriti?

Jika kita masih terus-terusan mahu mengikut British, sememangnya masih banyak kelulusan profesional yang berpusat di sana tidak mementingkan pembelajaran. Mereka hanya mengendalikan peperiksaan. Tentang pembelajaran pula ia dipulangkan kepada calon masing-masing. Calon ACCA, City and Guilds dan banyak lagi tidak kisah di mana dan bagaimana calon belajar. Kerja mereka adalah menyediakan soalan peperiksaan dan memberikan gred. Jika tidak lulus, ulanglah lagi.

Timbalan Perdana Menteri mengajak kita melihat semula apa yang sekarang selesa dilakukan. Sanggupkah dunia pendidikan Malaysia menyahut seruan ini? Bolehkah saya katakan bahawa selama ini orang dewasa telah menggantikan pendidikan dengan peperiksaan? Jalan mudah ialah menyalahkan Kementerian Pelajaran tetapi bagaimana tangan-tangan lain yang memberikan insentif, dorongan, motivasi, perniagaan, perundingan, publisiti dan pelbagai lagi untuk peperiksaan? Sekali lagi saya bertanya, “adakah peperiksaan boleh menggantikan pendidikan?”

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.